Islam Kita Pada Nama?

Saya tidak tahu hendak dibuat tajuk apa. Tapi persoalan ini telah membelenggu saya sekian lama, dan setelah dihimpun-himpun barulah saya berselera untuk membuat satu entry. Persoalannya:

Kenapa Mesti Wujud Perkataan Islam, Barulah Ramai Orang Berminat Pada Benda Tersebut?

Situasi Satu: Persatuan, Pertubuhan, dan Parti.

Saya hairan kenapa mesti wujud nama “Islam” pada persatuan, pertubuhan atau parti. Lebih menghairankan, kebiasaannya pertubuhan yang mempunyai perkataan “Islam” ini lebih mudah mendapat sokongan serta penglibatan daripada ahli.

Biasanya pertubuhan yang mempunyai nama “Islam” ini lebih mudah mendapat pengikut. Dijaja nama “Islam”, kemudian bertanding siapa lebih power tarbiyah. Siapa lebih kuat beramal. Siapa lebih ikhlas mengajar.

Berkenaan penglibatan ahli pun sama. Kalau Persatuan Bahasa Melayu (PEBAM) mengadakan Pertandingan Menulis Cerita, dibandingkan dengan Persatuan Persuratan Islam Melayu (PPIM PAPISME), pastinya umat Islam berpusu-pusu menyertai pertandingan anjuran PAPISME. Kadang-kadang tak perlu buat pertandingan, berlambak-lambak hasil karya masuk ke peti emel PAPISME minta disiarkan.

Kenapa saya hairan?

Persatuan Kebangsaan Melayu (PKM) tidak boleh laksanakan Islamkah? Kalau nama PKM mesti buat maksiat. Memang termaktub dalam perlembagaan mereka Fasal 165: Semua aktiviti mestilah berlandaskan maksiat dan menyembah syaitan. Kalau nak buat amal kebajikan, sertailah Persatuan Islam Se-Malaysia (PIS).

Kemudian, Pertandingan Menulis Cerita anjuran PEBAM itu wajib mengandungi unsur kafirkah? Tidak bolehkah menulis cerita bertemakan Islam untuk pertandingan anjuran mereka? Hairan kan?

Agaknya PERUBATAN selepas ini perlu ditukar kepada Jemaah Ikatan Muslimin Perubatan Islam Malaysia – Se-Mesir (JISM PERUBATAN) barulah peti emel The Zikr dan PERUBATANonline v3 penuh dengan tazkirah, cerpen serta novel.

Situasi Dua: Produk

Sekarang berlambak-lambak produk jualan. Kalau novel, mesti ada dua – novel biasa atau novel Islamik. Kalau baju pula samada baju perempuan atau baju Muslimah. Sampaikan syarikat-syarikat tubuhkan 2 anak syarikat untuk membezakan 2 entiti ini.

Kenapa saya hairan?

Kalau tulis novel, cerpen dan sebagainya, kalau dimasukkan unsur Islam, mesti diterbitkan oleh Penerbit yang ada perkataan Islamkah? Tak boleh kalau novel pasal jihad, tudung labuh, usrah, hukum-hakam diterbitkan oleh penerbit biasa? Lebih hairan lagi, kenapa perlu dipanggil novel Islamik? Cerpen Islamik? Kalau tulis pasal kisah seorang guru, tak bolehkah dimasukkan petikan ayat Quran ataupun ajaran Islam yang mudah, kemudian, tidak dilabel sebagai cerpen Islamik?

Memang tidak boleh eh? Apa definisi Islamik itu sebenarnya?

Saya cuma hairan kerana ada sesetengah orang sebelum membaca sesebuah buku, soalan yang mereka tanya, “Cerita ni Islamik tak?”

Kalau baju pula, apabila labuh menutup punggung, lengan panjang, agak longgar sikit, terus dipanggil baju Muslimah. Baju-baju lain pula tidak dipanggil sedemikian. Seolah-olah baju orang Islam semuanya hanya satu fesyen. Lebih menghairankan, baju biasa yang tidak dilabel baju Muslimah itu bukan baju yang menutup aurat dan tidak sesuai untuk perempuan Islamkah?

Penutup:

Soalan saya cuma kenapa mesti ada perkataan “Islam” dalam sesetengah perkara di atas. Mungkin ada yang tidak faham apa yang saya maksudkan.Saya rephrase balik;

Kenapa apabila hendak mewujudkan sesuatu yang bersifat Islam, mematuhi syariat dan memperjuangkan Islam, mesti ditambah perkataan “Islam” tersebut? Tidak Islamikkah kalau tidak dinamakan “Islam”?

Supaya orang ramai tidak keliru?
Alasan apakah itu? Tujuan asal Islam datang sebagai rahmat ke seluruh alam.
Proses pemisahan ini menyebabkan seolah-olah memberi pilihan kepada manusia untuk mengambil rahmat atau laknat. Kenapa tidak dihilangkan garis pemisah, terus sahaja menawarkan rahmat?

Tidak sekularkah? Sekular dalam halus mungkin.

Bayangkan kalau baju Muslimah yang saya sebutkan di atas tidak dilabel sebagai “baju Muslimah”, rasanya berapa puluh perempuan Muslimah yang tidak menutup aurat pada hari ini, memakai baju tersebut?

Bayangkan pula kalau novel yang so-called Islamik di atas, terus je diterbitkan ADAM Publisher, agaknya berapa banyak novel Islam yang menyeru kebaikan dibaca golongan yang anti pada ADAM Islamic Publisher pada hari ini?

Orang sering kata sekular itu memisahkan agama dari kehidupan seharian. Jauhkan. Tapi tanpa sedar, mereka sendiri yang meletakkan agama dalam kedudukan tertentu sahaja dalam kehidupan. Orang sering kata, sekular mengajar agama hanya di masjid. Jauhkan. Tapi tanpa sedar, mereka sendiri yang mengajar agama hanya pada sesetengah produk.

Tapi, the damage is done. Maka kita terima je lah. XD

Saya cuma lontarkan persoalan. Kadang-kadang berfikir tentang apa yang terjadi pada hari ini, membuatkan kita berhati-hati di masa hadapan. Saya tidak mengutuk pertubuhan “Islam”, saya tidak menghina penerbit buku Islamik, saya tidak mengeji penulis cerpen Islamik, saya juga tidak mengkritik penjual baju Muslimah.

Saya cuma hairan. Ataupun kita hanya mengaku Islam, kerana Kad Pengenalan kita bertulis Islam? =?

p/s: Mood memeningkan kepala dengan persoalan retorik dan tidak logik datang lagi. Maaf.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

4 thoughts on “Islam Kita Pada Nama?

  1. kita mensekularkan agama? kalau dah kata Islam syumul, patutnya apapun adalah Islam kan? tak perlu ada dua – islamik dan tidak.

    mungkin berpunca dari tidak Islamik dan kemudian baru yang Islamik muncul – ni kalau tgk dr sudut perbankan, kewangan, dll. yang konvensional dulu bertapak kemudian baru nak ada yg lain. Tapi yg utk baju n novel tu, rasanya tak perlu kot nak mensekularkan antara keduanya.

Leave a Reply to SophonCancel reply