Rentetan daripada BTN, maka saya menjadi patriotik dan memikirkan bahawa politik itu sangat penting tuan-tuan.

Negara kita mengamalkan raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Maka, soalan saya: adakah anda tahu apa itu demokrasi?

Kali ini kita bercerita tentang konsep demokrasi.


1. Democracy is not about choosing which side you like most. It’s about choosing which side you hate less.

“Elections are won by men and women chiefly because most people vote against somebody rather than for somebody.”
-Franklin P Adams

Maka, untuk menang dalam pilihanraya, taktik yang wajib digunakan adalah memburukkan pihak lawan. Sesiapa yang berjaya mendedahkan lebih banyak keburukan pihak lawan boleh dianggap menguasai pertempuran pilihanraya.

Analogi konsep ini umpama anda berada di negara yang tiada lembu; hanya ada anjing dan babi. Maka anda pun pergi ke kedai untuk membeli daging. Mereka berdua akan sedaya upaya menonjolkan kenajisan pihak yang lain, sedangkan mereka berdua sememangnya najis. Tak kiralah BN atau PR.

Bagaimana pula menjadikan diri anda kurang dibenci, ‘hated less’? Menderma pada saat-saat akhir sebelum pilihanraya tunjuk muka (selepas pilihanraya boleh hilang), menurunkan harga minyak menjelang pilihanraya (selepas pilihanraya naikkan balik), dan umumkan projek di kawasan pilihanraya (selepas pilihanraya projek terbengkalai).


2. A form of government where the leader is chosen by popularity rather than ability to run a country.

Dalam pilihanraya, apa yang penting adalah muka anda dikenali. Maka taktik yang wajib dilakukan adalah ziarah dari rumah ke rumah, berceramah di seluruh pelosok jalanan, masuk TV apabila memberi derma, dan paling penting membentangkan manifesto yang mencakupi seluruh golongan masyarakat; serendah-rendah pengutip sampah hinggalah setinggi-tinggi sultan.

Maka mereka yang suka bekerja di sebalik tabir tidak layak menjadi ahli politik dalam sebuah negara demokrasi. Sekiranya anda adalah seorang rakyat yang hebat tapi tidak popular, anda perlu menjadi popular dengan menonjolkan sesuatu yang tidak ada pada orang lain; contohnya anda seorang cikgu sekolah rendah yang berjaya.

Berdasarkan konsep ini juga, artis yang popular dan memenangi Anugerah Bintang Popular 5 tahun berturut-turut seharusnya cuba untuk bertanding dalam pilihanraya. Mereka dijangkakan menang majoriti besar.


3. Right to vote is always misunderstood as responsibility to vote.

“The hottest places in hell are reserved for those, who in times of great moral crises, maintain their neutrality.”
-Dante

Pernahkah anda menonton Gundam Seed?

Dalam Gundam Seed, 2 pihak yang berada dalam ‘moral crises’ adalah ZAFT (Coordinator) dan EARTH; masing-masing bertempur dan berperang kerana berbeza keturunan. ORB pula negara yang ‘neutral’ kerana mereka berpegang pada prinsip tidak ingin mencampuri urusan pihak luar dan berpandangan bahawa keturunan Earth dan Coordinator boleh hidup bersama.

Apa yang jadi pada ORB? Mereka menjadi sasaran kedua belah pihak.

Dalam demokrasi kita diberi hak untuk memilih, tapi seringkali hak itu disalah erti sebagai kewajipan untuk memilih. Dunia yang penuh dengan najis politik kadang-kadang menjadikan kita merasa jijik untuk berkecimpung dalam dunia politik. Namun, alasan yang diberikan supaya kita memilih dan mengundi adalah konsep yang pertama tadi; memilih pihak yang lebih buruk dengan harapan pihak yang kurang buruk akan membawa negara ke arah yang lebih baik.

Dua-dua najis, kenapa pula kita mesti pilih salah satu?


Kesimpulan

Sekiranya kita ada 2 pilihan, tapi kita tak suka kedua-dua pilihan tersebut, apa yang perlu kita buat?

Carilah pilihan ketiga.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memilih calon Bebas dalam pilihanraya akan datang sekiranya anda sudah muak dengan permainan kotor BN dan PR, UMNO dan PAS, PKR dan DAP, MCA dan MIC. Kalau tiada calon bebas, berpakatlah dengan orang kampung untuk menaikkan seorang dari kalangan kampung anda sebagai calon Bebas.

Saya juga ingin lihat bagaimana rupa sebuah negara yang dikuasai calon Bebas tiada pengaruh parti politik.

Harap perkongsian kali ini bermanfaat.

Majulah demokrasi untuk negara. ;)

Sila klik iklan Nuffnang kerana saya sekarang kekurangan duit =P