Cerpen: Gemersik Kalbu

Morning.”

Morning,” balas Puan Zarina. Suffian mencium tangan ibunya lalu mengambil tempat di sebelah.

“Ini ada kuih bingka roti dari Kampung Baru. Papa punya favourite,” ujar Suffian sambil meletakkan tupperware di atas atas meja. Dia tersenyum memandang Raihana.

“Hai,” sapa Suffian. Raihana terkebil-kebil membisu.

“Pagi-pagi lagi dah sampai. Selalunya susah nak bangun pagi,” Puan Zarina memerli anak lelakinya.

“Eh, Ma. Kan kata Ana ada kelas pagi. Kalau saya sampai lambat nanti lambat pula dia masuk kelas,” balas Suffian. Dia menuang jus oren ke dalam gelas.

“Betul kan, Ana?” sambungnya lagi. Suffian memandang Raihana. Tiada respon. Masih terkebil-kebil.

“Sekejap ya, Aunty.” Raihana bangkit dari kerusi. Dia beredar mahu mengelak daripada Suffian.

Ana,” panggil Suffian. Raihana berpaling.

“Lain kali, kurangkan manis dalam minuman. Tapi tambahkan manis dalam senyuman.”

* * * * * * * * * *

Atiqa Hanifa berguling-guling mendengar ayat Suffian sambil tergelak. Kelakar dengan telatah Suffian. Hampir sahaja dia terjatuh dari sofa.

Drama Gemersik Kalbu yang sedang ditayangkan di TV3 itu sudah 3 minggu dia ikuti. Adaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama hasil karya Anis Ayuni. Dibintangi Aqasha sebagai Suffian dan Ayu Raudah sebagai Raihana.

“Seronok nampak. Sampai nak jatuh dari sofa ibu tengok,” tegur Radin Rahmah. Dia duduk di sisi anaknya. Atiqa Hanifa membetulkan duduk memberi ruang.

Suffian comel sangat. Gagal menahan diri daripada gelak,” jawab Atiqa Hanifa.

“Ada sahaja idea nak kenakan si Raihana. Kesian Ika tengok.” Dia mengengsot lalu baring di pangkuan ibunya. Lembut jari Radin Rahmah membelai rambut anak perempuan hasil cintanya dengan suami.

“Ibu, dulu ayah macam itukah?” Tiba-tiba Atiqa Hanifa bertanya. Radin Rahmah tersenyum mendengar soalan anaknya.

“Susah nak cerita,” jawabnya.

“Kalau begitu, cuba cerita bagaimana ayah dan ibu boleh berkahwin,” petah Atiqa Hanifa memberikan cadangan. Berbakat besar dalam mengorek maklumat peribadi. Mungkin suatu hari nanti bakal menjadi wartawan tersohor.

“Nak mula dari mana ya,” Radin Rahmah mengimbau kenangan lama.

* * * * * * * * * *

“Assalamualaikum. Ini Azim Yusof kah?”

“Waalaikumsalam. Ya, saya bercakap.”

“Ini Radin Rahmah. Tahun 5. Boleh minta jadi musyrif tak malam ini? Dari Mounira ke Sayyeda.”

Azim Yusof diam sebentar. Malam ini memang dia bertugas sebagai musyrif. Dia mengingat-ingat jadual hari ini sebelum memberikan keputusan.

“Boleh. Pukul berapa?”

“Pukul 8. Kami ada 3 orang.”

Azim Yusof memerhati jam dinding. Baru pukul 2 petang. Bagus perempuan ini. Mematuhi syarat 6 jam permohonan musyrif.

Okay, rumah Radin Rahmah di mana?”

* * * * * * * * * *

“Sekejap, sekejap. Musyrif itu apa ibu?” Atiqa Hanifa memotong cerita ibunya.

“Ibu dan ayah dulu belajar di Mesir kan?” Radin Rahmah memulakan penjelasan. Atiqa Hanifa mengangguk.

“Musyrif itu satu sistem yang direka khas bertujuan menjaga keselamatan perempuan di sana. Kalau ingin keluar malam, mesti ditemani lelaki. Maklumlah, hidup di negara orang macam-macam boleh terjadi.”

“Macam body guard?” Atiqa Hanifa membuat kesimpulan sendiri.

“Lebih kurang,” Radin Rahmah menjawab.

“Kiranya kalau ada orang jahat, musyrif akan jadi hero menumpaskan orang jahat?”

“Lebih kurang.”

“Tapi musyrif ini tiada kaitan pun dengan perempuan itu kan?”

“Lebih kurang.”

“Wah, cool!” Atiqa Hanifa sedikit teruja. Sanggup jadi pelindung kepada perempuan yang tiada kaitan. Lainlah kalau perempuan itu adik atau isteri.

“Tapi kenapa ibu jawab ‘lebih kurang’?” Soalnya kembali. Matanya berkelip-kelip meminta penjelasan.

“Sebab perempuan itu mungkin akan ada kaitan pada masa akan datang,” jawabnya.

“Macam ibu dan ayah?”

Radin Rahmah hanya senyum. Anak siapakah yang sangat bijak ini?

* * * * * * * * * *

“Assalamualaikum, maaf lambat,” ujar Azim Yusof apabila mendapati Radin Rahmah dan 2 lagi rakannya sudah menunggu di bawah rumah. Sempat dia mengerling sekilas jam di tangan kiri, tepat jam 8.

“Tak mengapa, tepat-tepat jam 8.”

“Kalau begitu, marilah gerak sekarang.” Azim Yusof mendahului mereka, mencelah deretan kereta menuju ke jalanraya.

Malam musim sejuk di Kaherah terasa dingin. Baru bulan Disember, permulaan musim. Kalau sampai waktu kemuncak, suhu boleh mencapai 5°C.

Mereka merentas jalan menuju ke Stesen Metro Sayyeda Zeinab. Dari Mounira menuju ke Sayyeda Zeinab perlu merentasi laluan keretapi atau lebih popular dipanggil Metro. Stesen Metro Sayyeda Zeinab terletak bersebelahan dengan Stesen Bas Abu Risy, menjadikan kawasan penempatan di situ agak mudah mendapatkan pengangkutan untuk ke mana-mana.

Sesekali Azim Yusof menoleh, memastikan perempuan di belakangnya tidak terlalu jauh. Perempuan kalau bersiap selalunya lama, berjalan pula selalunya lambat. Lelaki pula jalannya laju, terus ke destinasi tanpa sedar apa yang terjadi di sekeliling.

Kalau musyrif terlalu laju di hadapan, meninggalkan perempuan terkontang kanting di belakang, adakah tercapai maksud dan tujuan sistem musyrif ini? Lebih-lebih lagi kalau perempuan tersangat ramai, seperti pengembala menghalau lembu balik ke kandang. Terlepas pandang, mungkin hilang seekor dua.

Azim Yusof, di sini,” suara Radin Rahmah memecah kesunyian. Dia menunjuk ke satu arah. Tidak lama kemudian mereka berhenti di sebuah bangunan berhadapan KFC.

“Terima kasih,” ucap Radin Rahmah. Rakannya yang lain sudah mula masuk. Azim Yusof hanya mengangguk.

“Ini ada sikit buah tangan,” hulur Radin Rahmah. Azim Yusof menggaru kepala sebelum akhirnya menyambut pemberian perempuan di hadapannya.

* * * * * * * * * *

“Wah, ibu bagi buah tangan!” Atiqa Hanifa sekali lagi mencelah. Radin Rahmah ingin ketawa melihat telatah anaknya. Tiba-tiba memotong cerita.

“Kenalah bagi buah tangan. Common courtesy. Musyrif tak dapat gaji tahu?” Radin Rahmah menjelaskan.

“Ibu bagi buah tangan apa?”

“Yang itu rahsia,” Radin Rahmah senyum.

“Beritahulah ibu, beritahu. Beritahu, beritahu. Beritahu.” Atiqa Hanifa merengek seperti budak kecil. Dia sudah berguling-guling hingga ke bawah.

“Eh, budak ini macam budak kecil. Tahun ini umur Ika 16 tahun, tahu? Sila berperangai dengan matang,” sanggah ibunya.

Atiqa Hanifa mencebik.

“Nak ibu sambung tak cerita ini?”

“Ya lah. Sila sambung cerita,” dia kembali baring di pangkuan ibunya.

* * * * * * * * * *

“Assalamualaikum, Azim Yusof.”

“Ya saya.”

“Malam ini pergi kelas Ustaz Hakim Akmal tak?”

“InsyaALLAH pergi. Nak minta jadi musyrif ke?”

“Ya, nak pergi sekali boleh?”

* * * * * * * * * *

“Nanti, nanti. Asyik cerita pasal musyrif, bosanlah.”

Radin Rahmah ketawa. Atiqa Hanifa sudah bengang.

“Waktu itu, nak memikat kena pandai. Antaranya, pergunakan sistem musyrif.”

“Kiranya ibu sengaja minta jadi musyrif?”

Radin Rahmah mengangguk. “Kira satu kesalahan sebab salah guna sistem musyrif. Ika ingat ibu baik sangat?” Radin Rahmah ketawa lagi.

“Seronoklah ibu tiap-tiap kali musyrif, bagi buah tangan kan?” Atiqa Hanifa membuat andaian.

Radin Rahmah senyum lagi. Anak ini terlalu bijak. Memang itu cara dia memberi hint.

“Okay, sambung.”

“Ibu langkau laju sikit ke depan. Waktu itu baru selesai Revolusi 25 Januari.” Radin Rahmah kembali menyambung cerita.

* * * * * * * * * *

Tahap keselamatan selepas Revolusi 25 Januari menurun berbanding biasa. Walaupun situasi secara umumnya sudah dianggap selamat, namun kebarangkalian berlakunya jenayah meningkat berbanding biasa. Setiap minggu pasti akan ada kes-kes yang melibatkan keselamatan.

“Kalau nak pergi sekali, kita gerak pukul 6. Saya tunggu di bawah rumah,” pesan Azim Yusof.

Dia tiba di bawah rumah 5 minit sebelum pukul 6. Tidak lama selepas itu Radin Rahmah turun bersama rakan serumah yang lain.

Kelas pengajian Ustaz Hakim Akmal diadakan setiap minggu pada malam Jumaat. Walaupun isi pengajian cuma berkisarkan Fardu Ain namun kelas sebegitu adalah taman syurga yang seharusnya tidak dilepaskan oleh setiap orang Islam yang mempunyai ruang dan peluang.

Mereka menuruni tangga Stesen Bas Abu Risy. Selepas itu mereka akan melintas jalan menuju ke arah Sayyeda Zeinab.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan tidak jauh dari tempat mereka. Azim Yusof terkejut lalu tunduk melutut sebelah kakinya ke tanah.

Orang ramai sudah mula bertempiaran. Keadaan panik dengan jeritan dan bunyi orang ramai melarikan diri.

Azim Yusof, apa nak buat sekarang?” Perempuan di belakangnya masih kaku. Gagal memikirkan tindakan terbaik. Mereka sekarang di kawasan terbuka. Ingin melintas jalan menuju ke bangunan seberang atau kembali ke belakang berlindung di stesen bas?

Dia melilau memerhatikan keadaan sekeliling mencari arah tembakan.

“Patah balik, patah balik. Stesen bas!” Azim Yusof memberi isyarat. Lagaknya sudah seperti komando dalam Counter Strike, berlindung di sebalik gerai buah-buahan yang ada.

Beberapa tembakan lagi dilepaskan. Sangat dekat. Kawasan terbuka bakal menjadikan mereka sasaran peluru sesat. Ingin menunggu ditakuti penembak mendekat, ingin melarikan diri takut ditembak. Dia mengucap beberapa kali.

Setelah memastikan perempuan terakhir selamat sampai ke tangga stesen bas, dia mengatur langkah. Berlari laju.

Bunyi tembakan lagi.

Azim Yusof sudah tidak tahu apa yang berlaku. Dia cuma tahu badannya melayang ke hadapan, bergolek di atas jalanraya dengan bajunya berlumuran darah. Pandangannya kabur.

* * * * * * * * * *

“Eh, kena tembak?” Atiqa Hanifa bangkit duduk memandang ibunya. Radin Rahmah mengangguk.

“Tak pernah tahu pun ayah kena tembak.”

Radin Rahmah hanya senyum.

“Ini cerita betul atau rekaan?” Atiqah Hanifa mempersoalkan kesahihan cerita ibunya. Radin Rahmah senyum lagi.

“Cerita betul, tak tipu,” Radin Rahmah meyakinkan anaknya.

“Tapi mesti tak mati kan?” Atiqa Hanifa membuat kesimpulan. Radin Rahmah hanya senyum.

“Kalau mati mesti kasihan. Pergi Mesir nak belajar, tapi mati sebab jaga anak orang yang tiada kaitan,” Atiqa Hanifa menunjukkan muka sedih. Dalam fikirannya membayangkan orang lain terkena tembakan, rebah bersama-sama, sebab itu bajunya turut berlumuran darah.

“Pengakhirannya mati. Terkena tembakan dari jarak jauh sebelum Arab yang lain datang pukul penembak gila itu,” satu suara mencelah perbualan mereka. Radin Rahmah menoleh.

“Eh, abang,” pantas Radin Rahmah bangkit dari sofa dan mencium tangan suaminya. Langsung tidak sedar suaminya pulang.

“Kalau mati, kenapa ayah masih hidup lagi?” Atiqa Hanifa pening.

“Ibu tak cakap pun lelaki itu ayah Ika,” jelas Radin Rahmah. Dia memandang suaminya. Mereka senyum. Atiqa Hanifa bengang.

“Ibu cerita panjang-panjang tapi tiada kaitan dengan ayah, apa ni?!” Dia menghentak kaki lalu menuju ke bilik. Radin Rahmah dan suaminya ketawa.

“Sebab itu baru bahagian pertama!”



Waktu saya menulis Kerana Semangkuk Bubur dahulu, teman-teman iLuvIslam mengajukan permintaan sambungan. Tapi sungguh, saya tiada idea untuk menyambung cerita tersebut. Jadi kali ini, saya tunaikan permintaan tersebut di samping mengasah kembali teknik penulisan saya yang sudah lama berkarat kerana ‘kami’ ada projek penulisan kreatif tahun ini. Nantikan.

Sebarang komen sangat dialu-alukan. Terutamanya gaya bahasa dan teknik penceritaan. Ini pun idea spontan yang terlintas. Pengakhirannya seolah-olah hint untuk bahagian kedua, tapi… tengoklah dahulu. :P

Oh ya, jangan lupa layan Gemersik Kalbu (Download sini), sebab Suffian comel gila! Raihana pun! 36D mungkin. Kyaaa! #fangirl

p/s: Dah baca sila Like dan Share. (Mengade suruh orang :P)

IKLAN!
Ini kisah krew-krew Formula F1. Samakah dengan apa yang kita bayangkan selama ini?

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

6 thoughts on “Cerpen: Gemersik Kalbu

  1. hahahahahahahahaahahahahahahahahahaha okay sesuai la watak dalam cerita ni, sesuai. you really capture the essence of the character.

  2. STYLO!! tergelak guling2 sambil menangis (mungkin sebab aku kenal karakter tu) :D

Leave a Reply to arnablautCancel reply