Pegar Makan Padi

Scroll Facebook nampak semula peribahasa pegar makan padi.

Tapi betulkah pegar yang makan padi?

Peribahasa asal berbunyi, “Harapkan pagar, pagar makan padi” yang bermaksud menyerahkan sesuatu tugas atau amanah kepada seseorang yang dipercayai tetapi dia mengkhianatinya.

Polemik pegar makan padi timbul kerana dikatakan berlaku kekeliruan dalam transliterasi jawi kepada rumi; ejaan pagar dan pegar dalam jawi klasik adalah sama. Kekeliruan ini telah diselesaikan dalam jawi moden – ejaan pagar mempunyai alif sebagai sebutan pa.

Selain daripada pegar, simpulan bahasa “mata keranjang” juga dikatakan sebenarnya berbunyi “mata ke ranjang”, disebabkan ejaan jawi klasik “ke ranjang” adalah rapat.

Tapi mengambil kira ketinggian Bahasa Melayu dan kebijaksanaan orang pada zaman dahulu, adalah tidak logik burung pegar digunakan dalam peribahasa ini.

ayam pegar

Kita boleh lihat dalam peribahasa sinonim; “tongkat membawa rebah” dan “pancing makan umpan.”

Kedua-dua objek tongkat dan pancing adalah sesuatu yang dipercayai untuk menjalankan tugas yang diamanahkan; tongkat untuk menahan diri daripada jatuh, dan pancing untuk memegang umpan ketika mengail. Tapi akhirnya kita dikhianati; tongkat patah membawa rebah, umpan pula hilang dari mata pancing.

Jadi adalah tidak logik burung pegar yang sememangnya diketahui burung liar yang makan bijirin diamanahkan untuk menjaga padi. Seolah-olah kita menyuruh kucing jaga ikan, ataupun lelaki jaga perempuan; kedua-duanya tidak boleh dipercayai.

Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa burung pegar sifatnya tidak makan padi yang berada di tangkai, tapi apabila jatuh ke tanah ia akan mula mengais dan mematuk makan padi tersebut. Tapi pandangan ini masih belum mencapai konteks peribahasa dalam menceritakan tugas atau amanah yang terkhianati.

Tambahan lagi, sekiranya kita merujuk perkataan “pagar” dalam Kamus Dewan kita akan menemui istilah “pagar desa” yang bermaksud orang yang ditugaskan menjaga keamanan kampung. Ini dapat difahami pagar sememangnya dinisbahkan kepada sesuatu yang sifatnya menjaga.

Mungkin juga “pagar” berasal daripada perkataan “pak guard.” Pagar. Pak guard. Haha.

Jadi persoalannya, bagaimana pagar boleh makan padi? Inilah silapnya. Makan tidak hanya bererti mengunyah. Makan angin; bersiar-siar melancong. Makan suap; mengambil rasuah. Brek tak makan; brek tak berfungsi. Pagar makan padi bererti pagar jatuh merosakkan tanaman padi.

Apapun pelajar UPSR dan SPM tak perlu pening, DBP masih mengekalkan “pagar makan padi” jadi sebutan dan ejaan inilah yang seharusnya digunakan dalam peperiksaan.

RUJUKAN
http://dwnkosmik.dbp.my/?p=1490
http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pagar+desa
http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pagar+makan+padi&d=82736
http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=makan
https://ms.wikipedia.org/wiki/Ayam_Pegar

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain