Pena dan Kertas

Hari ini cerpen SPM saya – Kerana Semangkuk Bubur – disiarkan dalam laman web iLuvIslam. Ditulis pada pertengahan 2009, tangan saya gatal menghantar cerpen tersebut dalam tahun 2010 – saya sendiri sudah lupa bila. Maka apabila ia disiarkan, amat mengujakan ditambah pula dengan gaya bahasa yang tidak teratur dan tatabahasa yang salah.

Penulisan merupakan satu cabang yang bagi saya, adalah sangat penting. Penulisan menggunakan kemahiran mengolah ilmu kepada bentuk imaginasi menggunakan kreativiti yang kita miliki. Tidak kiralah ilmu ada berbentuk ilmu sains, ilmu pengalaman, atau ilmu matematik, penulisan menjadikan ilmu tersebut disebarkan menerusi bentuk yang dikehendaki penulis. Ditambah pula pada zaman yang dikuasai bahasa SMS dan bahasa rojak, penulisan boleh mengembalikan kita kepada bahasa yang sebenar.

Tidak hairanlah kita sering mendengar kisah dakwat yang menghitamkan sungai, kisah penulisan di dalam penjara, kisah penghasilan jilid-jilid tafsir, sebagai lambang kepentingan ilmu.

Sekolah menengah dahulu merupakan medan latihan bagi saya dalam bidang penulisan. Antara pilihan soalan karangan SPM Bahasa Melayu adalah peribahasa. Selalunya soalan ini agak mudah untuk dijawab kerana semua orang sudah tahu bentuk cerita yang perlu ditulis. Begitu juga dengan subjek Bahasa Inggeris. Ada pilihan soalan bina karangan daripada satu perkataan.

Saya masih ingat soalan karangan Bahasa Inggeris mempunyai pilihan Diary, maka saya merepek menulis sebuah cerita. Malangnya masa yang diperuntukkan hanya cukup untuk saya menulis suku daripada cerita tersebut, menyebabkan saya mengolah kembali cerita yang ditulis dan mengakhirinya secara tiba-tiba (abrupt ending). Satu kegagalan, tapi berita baiknya saya menerima pujian ‘idea yang bernas dan kreatif’.

Format karangan SPM juga sedikit sebanyak membantu saya dalam penulisan. Had perkataan 350 atau lebih menjadikan rasa menulis itu pendek dan menolong perancangan menulis. Ditambah pula pelajar biasanya diajar menulis dalam 6 perenggan; ada pembuka, penutup dan 4 isi utama. Satu perenggan pula ada satu ayat menceritakan isi, satu ayat sokongan isi dan satu ayat kesimpulan isi. Bagi saya ini adalah satu latihan penulisan yang baik.

Saya tahu tidak semua orang boleh menulis dengan baik, tapi saya tetap merasakan semua orang perlu berusaha menulis. Walaupun cuma dengan bahasa yang tiada bunga. Walaupun tiada siapa yang akan melihat dan membaca. Walaupun cerita kita cuma cerita yang biasa-biasa.

Malangnya ramai yang melihat penulisan sebagai sesuatu yang remeh temeh. ‘Aku cuma bercerita tentang apa aku makan pada pagi ini maka apa perlunya bunga bahasa?‘ menyebabkan mereka menulis blog dan status menggunakan bahasa rojak. Cuba anda ceritakan dengan bahasa baku, tatabahasa yang betul dan lengkap serta penggunaan kata, simpulan bahasa serta peribahasa yang sesuai. Pengakhiran pula diselit dengan petikan ucapan tokoh terkenal, cerita anda tidak lagi dilihat sebuah cerita yang biasa-biasa.

Waktu cerpen ini ditulis, Damak dan Radin masih lagi memegang jawatan sebagai Exco Biro Penerbitan & Penerangan maka saya sengaja menggunakan nama mereka. Mungkin ramai yang mengenali nama watak-watak dalam cerpen ini tapi kisah ini cuma rekaan hasil daripada perkongsian pendapat di forum. Idea bubur pula merupakan kisah yang agak panjang, mungkin ada yang tahu kisah di sebaliknya.

Ada juga yang bertanya kenapa tajuknya tiada kaitan dengan isi? Jawapannya, tajuk adalah ayat terakhir cerpen tersebut. Cuba sambung sendiri dan fikir-fikirkan. ;)

“Radin Rahmah yang buat. Pergi complaint kat dia.” jawab Bebe selamba sambil merampas shawarma dari tangan Adam.

Damak tersedak. Adam hanya gelak.

Kerana semangkuk bubur, …

IKLAN!
How do we define ourselves as a Malaysian? Well, in the spirit of Merdeka, here are videos featuring Malaysians defining Malaysia.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

2 thoughts on “Pena dan Kertas

Komen di sini, bukan di tempat lain