Xiang Ru Yi Mo – Lebih Baik Tak Pernah Bertemu

Kalau pempuan suka seorang lelaki, apa dia perlu buat?

Bagi Lady Wuyi, beliau masak beberapa hidangan dan minta komen membina daripada lelaki tersebut. Tak, ini bukan bagi makan nak pikat lelaki melalui perut, tuan puan sekalian. Ini cara meminang guna resepi masakan.

Setelah beberapa kali Lady Wuyi bagi petunjuk melalui masakan beliau, akhirnya fahamlah Majistret Zhou bahawa perempuan di hadapannya sedang meluahkan perasaan dan menunggu jawapan.

Sampai giliran hidangan terakhir berupa dua ekor ikan masak stim, Lady Wuyi berkias, “Hidangan ini saya namakan Xiang Ru Yi Mo” (Bahasa: Saling membasah dengan air liur. Makna: Saling membantu dalam kesempitan) untuk menyatakan keinginan beliau hidup bersama Majistret Zhou.

Apa majistret tersebut balas?

“Kalau tak salah, kata-kata asal Zhuang Zi berbunyi;

相濡以沫 (xiang ru yi mo)
不如 (bu ru)
相忘于江湖 (xiang wang yu jiang hu)"

“Daripada hidup bersama dalam kesempitan, bukankah lebih baik kalau tak pernah bertemu dan hidup senang dalam lautan?”

“Xiang ru yi mo” merupakan cerita tentang dua ekor ikan dalam sebuah kolam yang hampir kering. Terdesak untuk hidup, mereka guna air liur masing-masing untuk basahkan tubuh satu sama lain agar terus bernafas. Pepatah ini dinukilkan ahli falsafah China, Zhuang Zi yang hidup lebih kurang 300SM untuk menunjukkan semangat bantu membantu walaupun dalam kesempitan hidup.

Cerita-cerita latar zaman lama sedap dengan dialog menggunakan pepatah dan bidalan sastera lama. Benda ni susah nak dilihat atau diwujudkan dalam drama kontemporari.

Ini babak menolak lamaran terbaik pernah jumpa. Keberanian Lady Wuyi melawan arus persepsi negatif perigi cari timba perlu dipuji. Tambah lagi petunjuk yang beliau guna dalam masakan dan penolakan secara halus Majistret Zhou hanya difahami mereka yang berpelajaran tinggi pada masa itu.

Beliau mempamerkan kebijaksanaan dan keupayaan dalam ruang lingkup darjat dan kedudukan perempuan pada waktu tersebut, kontra dengan heroin Zhou Ying yang lebih agresif memecah benteng adat dan kebiasaan.

Satu sebab kenapa drama Nothing Gold Can Stay masuk Red Zone untuk close monitoring sebelum Admit.

Selamat Hari Perempuan Sedunia.

Tulis puisi dalam cerita – Sekolah Penulisan Ramadan 2021

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

1 thought on “Xiang Ru Yi Mo – Lebih Baik Tak Pernah Bertemu

Komen di sini, bukan di tempat lain