Hi Bye Mama: Ringkas Tapi Menuntut Huraian Kompleks

Ceritanya mudah. Seorang perempuan mengandung meninggal kemalangan, lalu dihidupkan kembali selepas 5 tahun berkeliaran sebagai hantu.

Minjeong, Seowoo, Yuri

Ini cerita tentang Yuri, tanpa sebab dan tujuan yang jelas, hidup kembali sebagai manusia. Segalanya cuma andaian; andaian dia hidup kembali kerana memaki Tuhan. Andaian dia dihidupkan kembali selama 49 hari untuk menjalani ujian. Bahkan tempoh 49 hari itu juga cuma andaian. Tiada perutusan, tiada tanda atau peringatan, cuma Kun Fayakun dengan latar petir dan hujan.

Lalu cerita ini bermain-main dengan Yuri ke sana sini tanpa hala tuju yang jelas. Berbeza dengan 49 Days lakonan Lee Yowon dan Nam Gyuri yang spesifik mahukan Nam Gyuri cari air mata 3 orang yang sayangkan beliau supaya dapat masuk syurga. Yang pasti, matlamat hidup Yuri kali ini mahu memastikan anaknya Seowoo tidak lagi diganggu hantu-hantu yang merencatkan perkembangan zaman kanak-kanaknya.

Tapi hidup kedua Yuri bukan semudah itu. Bagaimana penerimaan suami yang telah berkahwin semula? Bagaimana penerimaan keluarga dan sahabat handai yang telah beransur-ansur menerima pemergian beliau? Bagaimana pula reaksi hantu-hantu lain yang semuanya inginkan peluang kedua?

Bagi saya cerita ini agak-berjaya memahamkan penonton bahawa hidup kita bukan milik kita seorang. Kekuatan Hi Bye Mama adalah penceritaan hubungan antara watak-watak yang hidup dalam lingkungan kehidupan Yuri. Kembalinya beliau dalam hidup mereka membuka sinar baru, dan mungkin inilah misi sebenar Yuri – memberi mereka peluang untuk menerima pemergian beliau.

Kadang-kadang ada juga dialog dan babak mengesankan. Babak hantu-hantu terdiam ketika Yuri memberi pilihan satu permintaan paling penting untuk beliau laksanakan itu cukup membuatkan kita turut sama merenung kembali hidup sendiri. Luahan hati Minjeong selaku ibu tiri Seowoo mampu membuatkan anda menukar cara pandang terhadap seorang ibu yang cuma membesarkan.

Ibu tiri juga seorang ibu

Namun begitu selepas 9 episod, masih agak-gagal menjawab persoalan-persoalan sekiranya seorang manusia dihidupkan semula. Mungkin juga ini bukan fokus utama cerita, tapi masih sedikit sebanyak mengganggu perasaan ketika menonton. Rasa ada kekurangan di situ. Seolah-olah hidup semula adalah sesuatu yang normal.

Recommended untuk mereka yang suka genre slice-of-life. Mereka yang suka menonton ‘cerita’.

Pertama kali tonton drama Korea, suka dengan hubungan Yuri-Minjeong. Boleh dikategorikan rival cinta, tapi mudah-mudahan boleh jadi best friend sampai akhir episod.

Ulasan ini telah disiarkan dalam Group Facebook GengKDrama

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain