Suami Dia Hidup Lagi

“Kau yang periksa isteri aku tadi kan?” Tiba-tiba sahaja kecoh di ruang asma. Semua yang ada di zon kuning tertumpu ke situ. Menjengah mahu tahu apa yang sedang berlaku.

Seorang Encik bercekak pinggang berhadapan dengan salah seorang pegawai perubatan yang sedang memeriksa pesakit. Gaya seperti mahu bertumbuk.

Jeda seketika. Memproses minda cuba mengingati isteri mana yang dimaksudkan.

“Ya saya, kenapa Encik?” Terbayang-bayang perempuan muka pucat nampak lemah yang datang ke zon kuning 2-3 jam yang lalu.

“Kenapa kau periksa bahagian bawah dia tak beritahu aku?” Tangan sudah ditunjuk-tunjuk ke muka pegawai perubatan tersebut.

“Isteri Encik datang kurang darah. Saya kena periksa nak tengok kalau dia ada pendarahan di mana-mana.”

“Tapi kenapa kau tak bagitau aku? Bodohlah doktor begini!” Berdesing pula bila dengar dokter yang tolong isteri dia dilabel bodoh.

“Ya, saya dah minta izin daripada isteri Encik, dia tak ada masalah apa-apa pun. Lagipun bukan saya seorang, doktor perempuan lain pun ada di situ.” Masih lembut menjelaskan.

“Siapa caperon tadi?” Ada yang bertanya. Biasanya kalau dokter lelaki memeriksa pesakit perempuan, pasti ada staf perempuan bersama.

“Dokter Airis,” yang lain pula menjawab.

“Aku suami dia hidup lagi tau? Ada tunggu dekat luar!” Dinding ditumbuk kasar. Berderai kepingan cat kuning yang sudah lusuh.

Adik 4 tahun yang sedang mengambil Neb melopong. Pakcik di katil hujung sedang dibuat ECG rasanya sudah ada ectopic beat. Pesakit zon merah sedang CPR tiba-tiba ROSC.

“Panggil sekuriti.” Kedengaran suara pegawai perubatan yang lain memberi arahan.

“Kau memang kurang ajar kan? Siapa nama kau?” Tanda nama di dada dibelek-belek. Dokter Hakim.

“Aku memang tak boleh pergi dengan kau. Kalau tak jumpa di luar tidak mengapa.” Sejurus kemudian dia berlalu dari ruang asma. Entah pulang ke rumah atau kembali ke wad di mana isterinya dimasukkan.

Dua orang sekuriti badan sado masuk dari pintu zon kuning. Kelibat Encik tadi sudah tidak kelihatan.

Semua di situ seolah-olah baru mencerna kejadian yang baru berlaku, “Urm… Kalau suami dia sudah meninggal baru kita boleh periksa ke?”

“Pesakit mana sebenarnya?” Sesi membawang bermula. Ramai-ramai sudah berkumpul membuat bulatan gembira.

“Tadi ada pesakit perempuan datang, hemoglobin 3. Dokter Hakim periksa kalau berak hitam atau tak.” Biasanya berak hitam menandakan berlaku pendarahan dalam perut.

“Dokter Airis ada kat tepi baru sahaja selesai scan beliau. Kalau taknak dokter lelaki boleh sahaja minta beliau periksa. Tapi isteri dia pun tak cakap apa-apa.”

“Baru periksa bontot, kalau periksa jalan beranak mau kena lempang.”

“Belum ada anak lagi kak.”

“Mudah-mudahan isteri dia beranak nanti tak ada doktor perempuan di wad bersalin.”

Ah sudah. Kakak baju biru biasanya mulut masin doa mustajab tak ada hijab. Kau jangan main-main, sekali mulut celupar mereka berbunyi, sampai cerah kau takkan dapat dokter perempuan masa bersalin.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain