Keluar Darah Perlu Solat?

“Pagi, Puan. Hari ini OK?” Aku memulakan rutin harian wad sakit puan seperti biasa pagi itu.

“Ok, tak ada masalah. Cuma bosan duduk lama dalam wad.”

Perempuan di hadapan aku sudah menginjak 35 tahun. 10 tahun berkahwin, masih belum dikurniakan anak. Pernah mengandung sebelum ini, tapi kehamilan luar rahim. Natijahnya tiub sebelah kiri dibuang. Bertahun mencuba, akhirnya ALLAH makbulkan doa; beliau disahkan mengandung sekali lagi.

Tapi malangnya kali ini, masuk wad dengan masalah yang sama; hamil luar rahim tiub sebelah kanan. Tapi ALLAH masih bagi peluang; hasil ujian dan pemeriksaan layak untuk cuba rawatan ubat Methotrexate. Tak perlu buang tiub sebelah kanan, selepas ini boleh cuba mengandung lagi.

Kau tertanya-tanya kenapa perempuan tudung labuh, sopan santun solat tak tinggal, taat pada suami di hadapan kau susah benar ALLAH makbulkan doa dikurniakan anak, sedangkan perempuan di bilik sebelah sudah dua kali mengandung luar nikah. Tapi itulah ujian mereka; beliau diuji dengan anak, sedangkan perempuan di sebelah diuji dengan maksiat.

Kau rasa kau sedang diuji maha berat sedangkan orang lain senang lenang tanpa masalah? Bahkan itulah ujian mereka.

“Dokter, nak tanya,” Tiba-tiba beliau bersuara ketika aku menulis dalam nota kes.

“Ya, kenapa?”

“Pagi ini ada keluar darah. Boleh solat tak? Saya belum solat Subuh lagi, was-was.”

Soalan yang tak pernah terjangkau dek akal yang terletak di muka. Kehamilan luar rahim dengan rawatan Methotrexate biasanya akan diteruskan hingga kadar hormon b-HCG dalam darah mencapai tahap tertentu sebelum disahkan bebas rawatan atau kata lain – tidak lagi mengandung. Beliau sekarang dikira belum melahirkan, sedang melahirkan, atau sudah melahirkan?

Darah sebelum melahirkan dikira darah penyakit, wajib untuk solat. Darah selepas melahirkan dikira darah nifas, haram jika solat.

“Ada keluar isi?”

“Tak. Cuma darah.”

“Banyak mana?”

“Suku pad macam tu.”

“Sakit perut?”

“Sakit perut datang pergi, macam sebelum ini.”

Bingung. Nak tanya Cina DAP? Memang taklah. Nak tanya ostat? Ostat sibuk bagi ceramah kafirkan orang. Memang kaulah yang jadi mangsa kerana kau sahaja Muslim berwibawa yang wujud di situ.

Kau ingat jadi doktor kau cuma kena diagnosis penyakit? Fatwa pun kau kena keluarkan sendiri sebab cuma kau yang faham keadaan pesakit. Itulah pentingnya berguru 8 tahun di sekolah perubatan, bukannya belajar daripada Youtube dan Google.

Jawapan yang aku beri? Baik kau tanya mufti.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain