Tiada Perasaan Tak Perlu Dipujuk

“Sabar ya Hafiz,” jururawat Yasir menepuk-nepuk belakang saya sewaktu duduk di kaunter. Terpinga-pinga sebentar sambil memandang beliau.

“Tadi kena marah dengan MO ENT…”

“Oh…” baru saya faham. Ceritanya terlewat mengambil darah untuk kultur dan sensitiviti ayah beliau yang ditahan di wad malam itu. Rakan sekerja sudah ingatkan untuk ambil pada pukul 7 malam, tapi terleka dengan kes yang baru masuk. Akibatnya antibiotik tak dapat diberi selagi darah belum diambil.

Masih terngiang-ngiang ayat beliau, “If anything happens to my father, do you want to be responsible?

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menelefon MO bertugas malam dan mengugut mahu membawa perkara berkenaan kepada pengarah hospital. Ini bukan kali pertama, sebelum ini sudah beberapa kali makian dihamburkan kepada hosmen dalam wad tersebut. Kata orang tua, datang wad orang, buat macam wad sendiri mengarah-arah hosmen.

“Hafiz ini tiada perasaan, kau tak perlu pujuk, ” sampuk Kakak Baju Biru.

“Sedangkan HOD pun beliau boleh selamba buat bodoh bila kena marah, apalah sangat MO cabuk dari ENT,” sambung beliau.

“Itulah Sistur, hari itu saya tengok HOD yang tertekan waktu marah beliau. Hafiz siap senyum-senyum macam tak ada apa,” seorang lagi jururawat menambah.

Kau tahu rekod kau sangat buruk bila HOD tertekan hingga putus asa dengan kau. Sila jangan contohi hosmen ini.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain