Rokok Memang Membunuh

Gadis umur 25, baru pulang dari hospital setelah selesai temujanji untuk penyakit asma yang dihidapinya. Gembira kerana segalanya baik.

Dia menaiki van sewa pulang ke rumah yang mengambil masa sejam. Tempat duduk depan sudah penuh lalu dia ambil tempat di belakang. Pemandu meneruskan perjalanan dengan rokok di tangan.

Sesekali van berhenti apabila ada penumpang mahu turun. Di pertengahan perjalanan naik sekumpulan pemuda. Rancak bersembang bergelak ketawa. Asap berkepul dari mulut masing-masing.

Saat itu dia mula rasa tidak selesa. Nafasnya jadi semakin laju. Rasa tersekat-sekat di kerongkong. Ubat pancit warna merah tak berkesan walau berkali-kali disedut.

Tiba di rumah terus kakaknya bawa ke klinik berhampiran. Gadis itu diberi nebula dua kali. Belum reda. Terus dihantar ke hospital, dan nebula diberi lagi. Steroid dan ubat-ubatan disuntik.

Wajah dah bertukar biru. Alam dah terasa berpusing, perlahan-lahan menjadi semakin gelap dan kelam. Sedang doktor di Jabatan Kecemasan cuba mengintubat, jantungnya terhenti. Bekalan oksigen yang sampai ke jantungnya tidak cukup.

Tekanan dada diberikan 10 minit sebelum jantungnya bergerak semula. Berpeluh dua doktor yang bersilih ganti cuba menyelamatkan nyawa gadis tersebut. Akhirnya intubat berjaya selepas cubaan keempat, dan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

Kau jangan ingat hisap rokok membunuh selepas berpuluh tahun. Kau tak tahu selepas kau hisap rokok dalam van, siapa yang dikejarkan ke hospital selepas itu.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain