Doa Mudah Bersalin

“Dokter, sakit dokter!” Suara yang dari tadi memanggil ibunya bertukar jadi dokter bila aku mendekati beliau. Gadis 16 tahun itu masih meraung kesakitan di atas katil bersalin. Bukaan sudah 9cm sejak 15 minit yang lalu.

Kahwin muda kerana desakan keluarga. Selepas ibunya bercerai, beliau dinikahkan supaya suaminya boleh menjaga beliau dan ibunya. Suaminya pula bukan CEO kacak hitam manis dan tinggi, tapi cuma mekanik biasa yang gemuk. Percayalah, modal ilham cerita Melayu sebenarnya lebih menyakitkan daripada apa yang dijadikan skrip drama.

Melihat beliau seorang anak manja yang rendah daya tahan kesakitan, mudah-mudahan selepas ini terus tabah mengharungi sakit pedih menjaga seorang anak. Kesian anak nanti, mudah sahaja dapat gelaran derhaka kalau maknya selalu menangis.

Kakak Baju Biru sudah bersedia di hujung kaki. Laluan faraj berkali-kali diregangkan agar bersedia menerima kepala bayi.

Jururawat di sebelah masih belum putus asa memberi arahan kepada beliau. Jangan menangis, simpan tenaga kata mereka. Tapi MO sudah putus asa selepas ugutan mahu ‘belah perut’ tidak diendahkan.

Tangan kanan gadis itu yang tadi memegang pagar katil tiba-tiba menggenggam erat lengan aku, tak mahu dilepaskan. Mujur bukan rambut. Atau jambang.

“Hafiz, kamu bacalah doa jampi sikit! Bagi mudah bersalin!” Kakak Baju Biru bersuara. Aku pandang beliau tak berkelip.

Oh shit. Aku mana hafal surah Maryam. Doa makan boleh? Anak kan rezeki.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain