Klinik Suruh Ujian Kencing

Seorang budak perempuan masuk ke wad Gynae dengan ibunya di sisi. Sampai di kaunter tengah-tengah wad, dia menghulurkan kertas kecil bertulis nota daripada MO di klinik.

“Ya dik, kenapa datang sini?” Aku memulakan perbualan sambil membelek nota tersebut.

UPT stat and inform MO. Ringkas arahan bertulis pada nota tersebut.

“Klinik bawah suruh datang sini buat ujian kencing.” Aku cuma angguk mengiyakan jawapan tersebut.

“Jadi pergi klinik tadi kenapa?

“Sakit perut dah seminggu. Juga ada berdarah dari bawah,” cermat beliau menuturkan. Nampak masih muda remaja, muka bersih pakai ADANIA setiap hari.

“Datang dengan mak sahaja? Suami tak temankan?”

“Dia belum kahwin lagi dokter. Baru habis SPM,” melihat anaknya tersipu-sipu, emaknya menyampuk.

Inilah dia perempuan zaman sekarang. Pakai tudung labo jubah seret lantai jadi naqibah usrah bagi tazkirah tapi rupanya mengandung luar nikah. Ini mesti terpedaya dengan pujuk rayu ostat PAS.

Akhirnya ibu bapa jadi mangsa. Ibu di sebelahnya pasti tidak menyangka anak yang dihantar ke PASTI sanggup menconteng arang ke muka keluarga. Selepas ini mungkin mereka sekeluarga dipanggil pengkhianat PAN; sudah tidak maksum lagi. Keguguran sedangkan belum berkahwin.

“Kalau begitu, tak apalah. Ambil botol ini, nanti kamu boleh kencing dalam tandas di hujung wad sana.” Aku ambil botol warna merah di rak sebelah dan menghulurkannya kepada gadis tersebut.

“Bukan saya dokter. Mak saya yang kena buat ujian kencing. Saya cuma temankan beliau pergi klinik hari ini.”

Telah disiarkan melalui Facebook.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain