Hidup Selalu Kena Kencing

“Hafiz, boleh tolong saya pasang CBD untuk pesakit katil 69?” Rakan sekerja saya meminta tolong petang itu. Dari pagi hingga jam hampir pukul 6 petang masih belum duduk berehat, ke hulu ke hilir menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Tidak sanggup rasanya menghampakan beliau, apatah lagi dengan gaya mata kucing bulat berkelip-kelip bercahaya mengharapkan pertolongan. Sedangkan ustat pun boleh tergoda inikan pula iman hosmen yang solat pun entah bila.

Dengan segera saya mengambil alat yang diperlukan dari bilik rawatan. Set dresing. Apron plastik. Topeng muka. Gaun pembedahan. Penutup kepala. Sarung tangan steril saiz 7. Picagari 10ml. Air untuk suntikan. CBD saiz Fr16. Beg kencing. Klorheksidina. Gel lidokain. Jarum biru. Mangkuk buah pinggang. Prong hidung. Tangki oksigen. Semuanya diletakkan di atas troli dan saya bawa ke tepi katil pesakit.

“Pakcik, saya pasang tiub kencing.” Sekadar beramah mesra apatah lagi bukan pesakit saya. Perlu bina hubungan yang baik terlebih dahulu. Pesakit itu cuma mengeluarkan dengusan kasar. GCS tak penuh rupanya.

Saya tarik langsir melindungi katil pesakit daripada pandangan orang luar, lalu mendedahkan aurat lelaki beliau.

Setelah siap mensteril bahagian yang diperlukan, saya memasukkan gel lidokain ke lubang kencing sebelum mengambil tiub CBD.

Baru sahaja tiub menyentuh hujung konek, terpancar air kuning laju menuju ke udara. Mujurlah refleks manusia pantas menjalankan tugas, mengelak dari terkena wajah dan berjaya menghalakan konek pesakit ke arah lain.

Saya percaya, kita semua tak belajar tinggi-tinggi jauh ke luar negara selama 10 tahun hanya semata-mata untuk dikencing pesakit, walaupun beliau seorang perdana menteri mahupun tuan guru.

Selamat Hari Merdeka.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain