Jang Yeong-sil Cari Jawapan Fenomena Alam

Jang Yeong-sil seorang genius yang lahir sebagai hamba, tiada pendidikan formal tapi idea berkepuk-kepuk. Hobi tengok bintang dan cari jawapan terhadap persoalan-persoalan alam semula jadi.

Untungnya beliau lahir zaman King Sejong yang buat reformasi ambil individu berbakat tak kira kasta untuk berkhidmat kepada negara. Cerita hidup beliau lebih kurang Da Vinci versi Korea.

Tonton drama ini buat kita lebih menghargai ilmu sains dan teknologi. Ya tuan puan, sangat sukar memperkenalkan satu konsep baru dalam dunia yang sebelumnya dipenuhi tahyul. Lagi-lagi kalau pengetahuan tentang alam semesta bakal memusnahkan kepercayaan bahawa King itu jelmaan Tuhan dan bencana alam itu bukan lagi amaran dari Kayangan.

Sekaligus, merosakkan Joseon yang dibina atas nilai Confucianisme yang mementingkan keharmonian berdasarkan kedudukan hirarki sosial; Darjah Tiga mesti hormat Darjah Lima. Memang mengundang tentangan yangban dan scholar pada zaman tersebut. Logiknya pengetahuan sains bakal membantu rakyat, tapi logik moden tak boleh diguna pakai untuk nilai situasi zaman silam.

Ada penonton suka keakraban hubungan King Sejong dan Jang Yeong-sil, saya lebih suka love-hate relationship Yeong-sil dan Hee-jae. Dengki dengan Yeong-sil tapi Hee-jae tetap teruja nak tengok sejauh mana idea gila Yeong-sil boleh pergi. Antara karakter yang buat kita rasa hopeless bila bertemu genius, tapi akhirnya sedar semua orang ada jalan hidup dan pencapaian sendiri.

Sentuh tentang perkembangan sains dan teknologi zaman King Sejong, tak dapat dinafikan sebenarnya kita boleh jejak pengaruh tamadun Islam pada waktu tersebut. Lagi-lagi China pada zaman tersebut bawah Dinasti Ming, dan Laksamana Zheng He/Cheng Ho disebut-sebut sebagai pelayar hebat dalam beberapa babak drama ini.

Joseon dalam drama ini disebut menggunakan kalendar dari China, tapi Dinasti Ming menggunakan terjemahan jadual astronomi Muslim yang kemudiannya dinamakan Huihui Lifa. Jadual astronomi ini mengandungi rekod tentang kedudukan planet dan bintang serta bulan dan matahari. Pengetahuan astronomi dan kalendar Hijri yang lebih superior berbanding kalendar China pada zaman tersebut menjadi asas untuk Jang Yeong-sil mencipta honcheonui – sejenis model untuk memerhati kedudukan planet dan bintang secara real-time.

King Sejong juga dikatakan mendapat ilham untuk menggunakan konsep konsonan-vokal Hangul setelah meneliti tulisan daripada tamadun Arab yang diketahui mempunyai makhraj tersendiri. Ini disebabkan hubungan Joseon pada waktu itu lebih ke arah China dan Jepun yang tidak menggunakan konsep tersebut. Tapi disebabkan bentuk Hangul dan huruf Hijaiyah tiada persamaan langsung, teori ini masih boleh disangkal. Kemungkinan besar Hangul sememangnya hidayah Allah secara langsung kepada King Sejong.

Antara produk sumbangan teknologi Muslim yang lain ialah soju. Kaedah penyulingan alkohol untuk soju dipelajari daripada Muslim yang asalnya digunakan untuk pembuatan ubat-ubatan. Kita boleh lihat pada hari ini, sebagai tanda hormat, ritual memorial nenek moyang biasanya tak guna soju yang dianggap ‘berasal dari tamadun asing’ sebaliknya menggunakan wain beras tradisional lain seperti cheongju (adik beradik makgeolli).

OK dah. Done claim tamadun Islam.


  • Baker, Don. “Islam Struggles for a Toehold in Korea.” Harvard Asia Quarterly. Web.
  • Bradley, Hallie. “How To Perform A Korean Jesa Ceremony.” The Soul of Seoul. Web.

Telah disiarkan melalui Facebook Group GengKDrama

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain