Kali ini kita bercerita tentang koleksi cerpen. Jemari Seni agak menarik, menggunakan istilah Tiga Ceritera Dalam Sebuah __. Biasanya orang guna Antologi __. Cuma tak boleh dikatakan cerpen kerana panjang hingga beratus-ratus muka surat. Novel mini mungkin?
Kita mulakan dengan Tiga Ceritera Dalam Sebuah Warna. Koleksi ini memuatkan hasil karya Nazurah Aishah, Rnysa, dan Nasz. Kejian di bawah adalah mengikut suka hati, bukan susunan dalam buku.
Hikari Ainori – Rnysa
the love ride of hikari
Ceritera paling panjang dalam buku ini. Tulisan Rnysa yang pernah dibaca adalah Relevankah Aku di Hatimu, itupun sudah bertahun-tahun dibaca waktu belum dibukukan. Sudah lupa kisahnya, mungkin perlu dapatkan bukunya pula, tambah lagi cover pink – comel gila kot.
Latar tempat di Jepun, dan kadang-kadang guna bahasa Jepun yang manusia seperti kita – selalu tengok JDrama – selalunya boleh faham tanpa melihat nota di belakang. Cuma masih terfikir kaedah penulisan mana lebih memudahkan pembaca; terjemahan melalui nota di belakang atau seperti dalam A.D.A.M. terus sahaja terjemahan dalam kurungan selepas bahasa asing tersebut.
Dalam ceritera ini semua watak ada masa kelam sendiri. Kemudiannya bertaubat mencari semula makna kehidupan. Sesuailah untuk orang yang sedang down macam kita ini, terasa seperti pengajaran untuk diri sendiri.
Hikari Ainori banyak adegan ikhtilat yang keterlaluan. Terutama waktu tidur dalam kereta api, mengingatkan kita waktu pulang menaiki Emirates beberapa tahun yang lepas. Boleh pula akhawat tidur nyenyak menyandar di bahu siap peluk lengan. Nasib baik dah biasa sebab di rumah memang penuh dengan perempuan maka taklah kekok sangat nak buat apa.
Cerita ini juga memaparkan bagaimana ilmu yang ada tak menjamin amalan kita. Bersekedudukan, tapi solat tak pernah lupa. Maka doakan hidayah ALLAH selalu bersama kita agar ilmu yang ada menjadi amalan dan menambah iman.
Karamel – Nasz
karamel itu benda hangus yang sedap
Gaya bahasa ceritera ini sangat santai. Mula kenal Nasz melalui Sweet Sour. Bahasa tak terlalu informal tapi monolog dalaman yang berjaya menyebabkan anda berguling-guling ketawa.
Cerita tentang bos yang selalu membuli setiausaha kerana salah faham, akhirnya jatuh cinta. Tipikal tapi moment kelakar itu yang membuatkan cerita ini sesuai mengisi masa lapang di waktu anda sedang down kerana gagal exam.
Membaca cerita ini kadang-kadang terasa juga kerana kita suka membuli anak-anak buah. Kalau terjatuh cinta, terlanggar sumpah tak nak kahwin budak Mesir parah jadinya. Tambah lagi akhawat Mesir ini muka cantik walaupun perangai pelik.
Maka minta maaf awal-awal kalau rasa kita selalu membuli. Biasalah bos masih bujang, dekat mana lagi nak meluahkan perasan. Tahun depan kita resign, bergembiralah sepuasnya.
Bukan Dipaksa – Nazurah Aisyah
kabut ungu di hatiku tanda luka itu tidak pernah sembuh
Ceritera ini mood sedih dan tipikal selalu disebut Sheikh Rohimuddin – perempuan tolol tak percaya lelaki, tutup pintu hati, akhirnya kahwin juga. Haha.
Plot cerita berjaya dibina Nazurah dengan baik walaupun penghujungnya rasa seperti rushing. Unsur saspen, rahsia, kebenaran semuanya disusun dengan baik menyebabkan anda mungkin boleh teka tapi secara samar-samar, makin jauh pembacaan makin jelas cerita sebenar dihuraikan.
Cuma, perlukah emak Ayu mati? Nazurah guna plot kematian ini untuk membina plot Ayu dipaksa kembali ke Singapura meninggalkan kampung halaman, tapi kalaulah emak Ayu tidak mati apa akan jadi? Tambah-tambah Nayli muncul. Sekali sekala fikir spin-off cerita seronok juga kan?
Ending dia sangat tiba-tiba dan anti-klimaks. Ceritera ini sepatutnya boleh dipanjangkan lagi untuk kesan lebih dramatik selepas Nayli pulang ke kampung. Apa pun tahniah Nazurah kerana memberi first impression yang baik untuk kita terus membaca karya beliau.
Suka juga untuk kita ingatkan bahawa istilah yang betul adalah mahram, bukan muhrim. Muhrim itu manusia dalam ihram.
Koleksi cerita begini sangat bagus untuk percubaan mengenali penulis-penulis baru. Dengan harga satu buku kita boleh kenal tiga penulis, kira untunglah kan? Lagipun kalau dalam satu buku ada seorang penulis terkenal, penulis lain boleh menumpang memaksa manusia membeli dan membaca karya mereka, haha.
Tapi kan, nama-nama dalam buku ini sangat urban. Rafique Mukminin, Nardine Zahiyyah, Umar Rayyan, Hazelina, Adriena Ayuni. Nasib baik Nasz masih guna nama Melayu – Encik Tak Arif. Kalau tak memang buku ini boleh ganti buku Koleksi Nama-nama Anak.
Sebelum ini dah baca TCDS Gurindam Jiwa dan TCDS Damai, akan dikeji selepas ini. Minggu hadapan mungkin.
Sekian.