Secara teorinya, ahli bERUBATAN ada 6500 (Data dari Projek Dana PERUBATAN 2012).
Kita andaikan ahli lebih kurang 5000 untuk memudahkan pengiraan. Kalau seorang ahli menyumbang sebanyak USD 100 setahun, berapa banyak kita boleh kumpul?
Lebih kurang USD 500,000. Atau LE 3,000,000. Atau RM 1,500,000.
Duit sebanyak itu agaknya apa kita boleh buat? Mungkin program percuma sepanjang tahun. Mungkin membeli sebuah bangunan. Mungkin menambah aset sedia ada. Mungkin juga lebih banyak pelajar susah dapat dibantu.
Ada orang kata, sanggup ke ahli bagi USD 100? Jumlah tersebut terlalu banyak, budak medik bukan semua kaya.
Sekali lagi disebut – USD 100 setahun.
Pelajar tajaan JPA menerima lebih kurang USD 400 sebulan. Setahun jumlahnya USD 4800. Belum ditambah dengan elaun buku, penginapan, baju musim panas, dan lain-lain. Ada desas-desus mengatakan pelajar JPA paling sedikit tajaan mereka. Entah benar entah tidak.
Kita genapkan USD 5000 untuk memudahkan pengiraan.
USD 100 daripada USD 5000 bersamaan 2% daripada elaun setahun. Hanya 2%, dan tak perlu memberi apa-apa sumbangan lagi sepanjang tahun. Mungkin ada jualan produk dan sebagainya sepanjang tahun tersebut, tapi kita sedang bercerita tentang sumbangan.
Dalam harta kita pasti ada hak orang lain. 2% tersebut, kalau kita anggap hak orang lain insyaALLAH boleh membersihkan harta.
Berikut adalah pengeluaran wang (kredit) oleh bERUBATAN mengikut Penyata Akaun Mesyuarat Agung Tahunan ke-8, setelah ditukar kesemuanya kepada EGP:
- Akaun Tunai Semasa bERUBATAN ~ LE 96,000
- Akaun Tunai Semasa Dana bERUBATAN ~ LE 41,500
- Akaun Tunai Semasa Tabung Kasih Sayang bERUBATAN ~ LE 32,500
Jumlahnya lebih kurang LE 170,000. Kalau kita menganggap pengeluaran wang di 4 Cawangan lain adalah sama, maka jumlahnya adalah LE 850,000.
Pengiraan ini secara mudah dan tidak mengambil faktor lain, maka boleh dipertikaikan namun apa yang ingin diketengahkan di sini adalah dengan kuasa ahli kita boleh menampung perbelanjaan setahun bERUBATAN.
Tapi ini cuma teori, melaksanakannya mungkin payah. Ramai menganggap USD 100 terlalu banyak dan tidak munasabah.
Bagaimana kita boleh memaksa ahli yang tak pernah hadir program bERUBATAN untuk menyumbang sebanyak itu? Tapi bila difikirkan, kalau kita tak berminat untuk hadir, menyumbang adalah satu cara untuk mengganti diri sekaligus membantu mereka yang hadir. Aktiviti yang dijalankan semuanya bermanfaat, tiada kerugian langsung.
Jika pelaksanaan di peringkat pimpinan sukar kerana memikirkan ke-kedekut-an ahli, maka ahlilah yang perlu membuat inisiatif sendiri menyumbang jumlah tersebut. Sekiranya kita menganggap orang lain turut sama menyumbang USD 100, mungkin senang hati lapang dada sedikit untuk mengeluarkan duit meraikan pemurahnya manusia lain.
Kita boleh menyimpan beribu-ribu USD untuk melancong, hingga sanggup mengikat perut semata-mata untuk melawat tempat menarik tapi masih ragu-ragu untuk memberi di jalan kebaikan. Mungkin bERUBATAN selama ini kerjanya melesapkan duit ahli.
Apabila teringatkan teori ini, seringkali teringat kisah Saidina Umar dan Abu Bakar. Berlumba-lumba bersaing menyerahkan harta ke jalan ALLAH.
Hinggakan suatu ketika, Saidina Umar menyangka beliau sudah menang, tapi Saidina Abu Bakar lebih hebat. Apabila beliau menyerahkan seluruh hartanya dan disoal Rasulullah SAW, “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu?” lalu dijawab dengan yakin oleh Saidina Abu Bakar, “ALLAH dan Rasul.”
Kita? 2% setahun masih berkira. Kisah para sahabat kita hafal dan kononnya terharu mengalir air mata, tapi pengajarannya sedikit pun kita tak ambil. Ini muhasabah untuk diri sendiri, bukan anda semua.
Maka sekarang ingin berusaha untuk mencampak dunia dalam hati dengan membuang USD 50 sebulan ke dalam tabung di Markas. Kalau tak mampu, mungkin akan menghubungi Bendahari Kehormat untuk membuang USD 100 setahun ke dalam Dana bERUBATAN.
Apa kata kita semua berusaha bersama-sama? :D
IKLAN!
Brainstorm dan keluarkan idea hebat untuk menjadikan komuniti anda lebih baik dari sekarang.