Ubat Malas

Antara masalah terbesar seorang pelajar (mungkin juga semua manusia), adalah rasa malas. Malas nak buat kebajikan, malas nak belajar, malas nak bertanya, segalanya malas. Tapi makan minum berak rajin.

Pernah juga sesi sembang-sembang bersama sahabat-sahabat, masuk topik ini. Memang bosan kan? Maknanya waktu tersebut kami dah kering idea mahu mengumpat siapa. Presiden mahu kahwin sudah, akhawat keluar malam tiada mushrif sudah, junior kurang diajar pun sudah.

Selalunya penyelesaian yang diberi adalah mentaliti manusia yang perlu diubah. Mindset perlu diperbetul. Tujuan kita datang belajar adalah kerana ALLAH dan Rasul. Demi ummah. Belajar ilmu perubatan adalah misi suci demi agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia. Tanam dalam minda malas itu penyakit yang perlu dibuang jauh-jauh.

Tak lupa juga ada yang mengingatkan kepada ibu bapa di kampung. Raut wajah mereka yang berkerut menahan sedih menghantar kita di lapangan terbang. Urat-urat di tubuh mereka yang membanting tulang siang dan malam mencari wang untuk menghantar kita belajar setinggi awan. Doa-doa mereka usai solat malam mengharapkan kejayaan anak-anak di perantauan. Syahdu-syahdu begitu masih mahu bermalas-malasan?

Kalau sahabat yang materialistik, penyelesaian mereka selalunya berkisar pada wang tajaan. Duit rakyat yang diberi jangan dibazir dipersiakan. Nanti tak ubah seperti menteri yang makan gaji tapi goyang kaki tidak peduli untung sabut untung batu rakyat jelata. Hancur hati rakyat kalau tahu wang mereka diperlakukan sebegitu rupa.

Exco Pembangunan Insan (merangkap bekas Ketua Dakwah dan Rohani sekolah menengah) sudah tentu dengan senarai doa-doa dan ayat-ayat Quran yang perlu diamalkan. Sebabnya malas itu datang daripada syaitan. Mudah-mudahan jauhnya syaitan, malas pun menghilang. Juga nasihat solat malam dan qiam. Tambah lagi air jampi yang dibaca 30 juzuk Quran.
DSC02897
Tapi bagi saya, ubat malas adalah “terus buat”.

Selalunya bila kita rasa malas, kita akan terfikir dalam otak, “Malasnya nak xxx…” Kalau kita tak terfikir maknanya kita lupa. Kalau lupa, tidak dipanggil malas. Maka setiap kali ayat tersebut hadir, terus buat perkara tersebut.

“Malasnya nak study,” terus ambil pen, buka buku, baca dan buat nota. Walaupun dalam hati menyumpah-nyumpah mahu habiskan Level 7658 Candy Crush.

“Malasnya nak solat,” terus bangun solat. Tak kira solat awal waktu atau solat berjemaah. Kalau belum masuk waktu, pergi ambil wudhu’ siap-siap dan solat sunat.

“Malasnya nak pergi kelas,” terus bangun, mandi dan pergi ke kelas. Pernah satu ketika, kelas pukul 10 tapi pukul 7 saya sudah berguling-guling di perkarangan universiti. Temperature 10’C. Macam orang bodoh mundar-mandir selama 3 jam tanpa arah tujuan dalam dingin winter tapi apakan daya memang bodoh sebab itu mengulang tahun.

Pendek kata, alasan bermalas-malasan “Malasnya nak xxx…” adalah trigger untuk buat sesuatu.

Setakat ini, itulah ubat paling mujarab pernah saya jumpa. Anda pula bagaimana?

p/s: dekat luar 20’C, malasnya nak pergi kelas!

IKLAN!
Rasa nak beralih kepada Smartphone, tapi malas. Maknanya kena terus buat la kan? =P

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

1 thought on “Ubat Malas

Komen di sini, bukan di tempat lain