Peminat rancangan keilmuan pasti teruja dengan kandungan yang disediakan. 30 Minit Ustaz Don, Assalamualaikum, Fattabiouni, Dengan Basikal Aku Menjelajah, Malam Cinta Rasul, Bicara, merupakan nama-nama yang selama ini hanya mampu terliur apabila menonton promo di YouTube. Lebih-lebih lagi jika anda seorang pelajar di luar negara. Mencari rakaman di YouTube adalah sangat sukar, melainkan jika rancangan tersebut mempunyai peminat yang ramai.
Namun begitu video yang disediakan tidak semua percuma. Pendaftaran tidak perlu dibayar, namun akses sepenuhnya hanya diberikan kepada pengguna Premium. Tapi saya tidak merasa RM60 setahun adalah nilai yang besar dibandingkan kandungan yang disediakan. Cuma RM5 sebulan atau 60 sen sehari untuk akses berpanjangan.
Video di AlHijrah Media menggunakan server Vimeo, yang saya kira merupakan satu alternatif yang baik. Berbeza dengan Tonton.Com.My atau MyKlik RTM yang menggunakan server sendiri. Saya akui masing-masing ada pro dan kontra namun bagi saya ini satu tindakan yang bijak demi memenuhi kepuasan pengguna. Video berkualiti tinggi dengan siaran yang pantas serta pilihan HD.
Namun begitu mereka yang ingin menonton drama atau telefilem pasti kecewa kerana setakat ini hanya dua telefilem wujud – Pencari Jalan Lurus dan Di Sini Bermula. Satu kerugian bagi mereka yang mencari karya patuh syariah, apatah lagi setelah diberi harapan tinggi menerusi Matahari Terbit Lagi yang memenangi Anugerah Skrin 2014 tahun lalu. Saya percaya kategori ini dalam perancangan pihak AlHijrah Media tapi bila akan terlaksana saya tidak pasti.
Kelemahan yang lain mungkin penggunaan sistem infinite scroll yang membuatkan semakin banyak kita mengklik More, semakin terbeban browsing experience pengguna. Sistem paging lebih baik untuk laman video yang memakan resource yang tinggi.
Tajuk video juga tidak dilabel tarikh siaran atau episod membuatkan kita tertanya-tanya video mana perlu ditonton terlebih dahulu. Apatah lagi video dimuat naik secara rambang; saya menemui susunan bahagian 7 kemudian 9 dan bahagian 8 terperosok di belakang. Ini satu kelemahan yang perlu dibaiki supaya lebih mudah membuat carian. Kekurangan ini juga membuatkan kita tidak pasti sama ada laman AlHijrah Media dikemaskini secara kerap atau tidak.
Saya juga mengesan kesilapan coding apabila video didapati bertindih dengan paparan antaramuka laman web, menyukarkan pengguna menekan butang Play. Namun dapat diatasi dengan full screen terlebih dahulu. Kesilapan coding ini juga membuatkan sesetengah laman mempunyai dua video yang dimainkan serentak.
Kesimpulannya laman AlHijrah Media ini merupakan usaha yang sangat baik dan perlu digiatkan lagi promosi agar lebih popular dalam kalangan penonton internet. Jangan lupa Like laman Facebook dan sebarkan kandungan yang tersedia di laman sosial anda, moga-moga semua pihak memperoleh saham akhirat yang berpanjangan.
terbaik!