Pulang dari program, sembang bersama rakan sebaya. Ada soalan tentang perbezaan PRIME dengan STEP3 anjuran IKRAM yang disampaikan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Disebabkan saya tidak pergi maka tak dapat nak bandingkan. (Jika ada yang pergi dua-dua bolehlah kongsi melalui ruang komen)
Namun begitu berdasarkan perkongsian rakan-rakan yang pergi serta promosi di laman maya, saya boleh simpulkan bahawa STEP3 lebih berbentuk peribadi manakala PRIME lebih berbentuk pendedahan umum tentang ekonomi Islam.
Perkara paling penting dalam PRIME yang mesti dibawa pulang oleh peserta adalah konsep riba. Pemahaman ini boleh membantu mengesan amalan yang mengandungi riba walaupun tidak dilabel ‘riba/bunga/faedah’.
Secara asasnya riba boleh berlaku dalam hutang atau jual beli. Riba dalam hutang atau pinjaman berlaku apabila penghutang membayar lebih daripada yang dipinjam sama ada ditetapkan sewaktu akad ataupun syarat tambahan apabila ingin melanjutkan tempoh hutang. Riba dalam jual beli pula apabila pembeli membayar lebih daripada harga akad (sekiranya dijalankan secara bertangguh) ataupun jual beli barangan yang sama jenis tapi tidak sama kuantiti (sekiranya dijalankan secara barter). Jual beli emas dan perak juga dikira riba sekiranya dijalankan secara bertangguh.
Keseluruhannya PRIME memuaskan hati walaupun pengurusan masa masih lagi sangat teruk. Masalahnya bukan penganjur tapi semua orang. Peraturan kata pukul 4:20 masuk dewan, saya sudah kelam-kabut apabila jam menginjak 4:19 petang sedangkan orang lain masih sembang santai di taman. Soalan perwakilan dalam mesyuarat agung tentang Hari Profesional mungkin perlu diambil berat dengan konsep pengurusan masa indidvidu sebagai masalah utama yang mesti ditangani.
Seperti seminar-seminar yang lain juga, saya tetap menegaskan bahawa pendedahan awal ekonomi Islam ini perlu diteruskan dengan lebih banyak pembacaan dan penerokaan lebih lanjut tentang ekonomi Islam. Tidak kira indidvidu atau organisasi, boleh perlahan-lahan mencari maklumat lanjut tentang ekonomi Islam dan berkongsi melalui kekuatan sedia ada. Banyak lagi istilah-istilah yang mungkin kurang difahami sewaktu berurusan dengan pihak bank, ataupun situasi normal bagi masyarakat sekeliling yang sebenarnya tidak boleh dilakukan.
Bagi saya belajar tentang pengurusan wang bukan melalui teori semata-mata tapi lebih banyak yang dapat dipelajari jika diri kita sendiri terjun dalam bidang tersebut. Persoalannya bukan untung rugi tapi bagaimana kita menguruskan kerugian dan menjana keuntungan.
Orang nampak kad debit lebih baik berbanding kad kredit tapi tak ramai sedar bahawa kad debit sekiranya hilang, pencuri boleh guna kad tersebut sesuka hati (berdasarkan pengalaman sendiri berurusan online, pengesahan bank hadir lewat). Orang juga nampak pelaburan saham memerlukan komitmen setiap hari sedangkan ada cara pelaburan saham secara spekulasi masa depan jangka panjang (berdasarkan pengalaman beberapa sahabat yang melabur tak tengok turun naik nilai saham selama 6 bulan tiba-tiba harga sudah 150%).
Saya sendiri pada 2011 pernah memberi pinjam USD2500 yang hanya dilangsaikan pada hari ini, maka menguruskan kehidupan tanpa wang tersebut merupakan pelajaran berharga bagi diri saya. Apatah lagi tidak menerima elaun selama setahun setengah, tanpa bantuan FAMA dan tiada perniagaan yang boleh diharapkan.
Kesimpulannya ekonomi Islam bukan teori yang mengharap penggunaan istilah semata-mata namun konsep dan penghayatan perlu diserap dalam menguruskan perbelanjaan seharian. Lambakan skim-skim penipuan cepat kaya dan pelaburan juga perlu diperhalusi dan berhati-hati dalam memilih ke mana wang anda disalurkan walaupun mempunyai nama Islam dan menjanjikan keuntungan lumayan. Lebih penting lagi, amalan jual beli sewa pinjam juga tidak boleh dipandang ringan agar riba dapat dielakkan.
Tahniah PCK atas penganjuran seminar ini, semoga terus segar dengan idea dan produk yang menambah nilai kehidupan.