Denyut Kasih Medik karya Dr Farhan Hadi ini menceritakan kisah seorang doktor muda yang memperjuangkan syariat Islam di hospital sepanjang masa beliau bertugas sebagai Houseman. Cabaran demi cabaran beliau tempuhi dengan sabar, malah cuba untuk membawa ruh Islami ke dalam suasana hospital.

Ia juga merupakan best-seller bukan hanya di kalangan pelajar perubatan, juga di kalangan orang awam. Mungkin disebabkan:

  • Penulisnya adalah suami Fatimah Syarha, seorang penulis yang ternama.
  • Menampilkan tema kehidupan doktor dan fiqh perubatan yang jarang diketengahkan.

Namun begitu, bagi saya novel ini adalah novel paling membosankan pernah dibaca. Mungkin juga tidak layak untuk digelar novel.

Format penceritaan setiap bab sangat cliche; masalah kemudian hukum. Konflik yang diketengahkan penulis juga samar-samar, ada macam tidak ada. Tiada kesinambungan antara bab, menyebabkan anda boleh baca sebarang bab secara lompat-lompat, tanpa menimbulkan rasa ingin tahu untuk menghabiskan semua bab. Saya juga tidak nampak di mana klimaks, membuatkan saya sedikit sebanyak sangat kecewa dengan novel ini.

Tema yang diketengahkan sudah mantap. Tapi gagal diolah dengan baik, menyebabkan saya lebih suka mengkategorikan novel ini sebagai buku rujukan. Mungkin juga lebih baik anda membeli buku rujukan fiqh perubatan secara khusus yang terdapat di pasaran. Saya juga tidak tahu kenapa dinamakan Kasih Medik. Mungkin kerana watak utama seorang yang sayangkan bidang perubatan?

Berbaloikah RM23 dengan novel ini setebal 390 mukasurat?

Sekiranya anda seorang yang boleh merasa bangga dengan ilmu yang ada dalam novel ini, insyaAllah berbaloi. Fakta yang diketengahkan merupakan sesuatu yang perlu diketahui para doktor Muslim dalam menjalani rutin seharian dengan cara Islam. Terdapat juga tips-tips perubatan yang mungkin berguna sebagai panduan kepada orang awam.

Sekiranya anda merupakan seorang peminat novel yang sudah membaca beratus-ratus karya best-seller, anda mungkin akan merasa kecewa. Mungkin juga anda akan menghentak-hentak novel ini lalu membakarnya seperti penyokong Kelantan yang kecewa dengan negeri mereka.

Apa pun, terpulang kepada pembaca. Rating saya? 2 bintang. Gagal berdenyut.

p/s: Novel ini saya dapat sebagai hadiah. Maka Aibee, jangan kecewa, saya tetap menghargai hadiah kamu. =)

Sila LIKE post ini sebab saya tahu ramai yang akan bengang. Haha~

IKLAN!
Can you taste the ummph in your tea?