Paksaan untuk pulang ke tanahair kali ini, saya sambut dengan aktiviti di luar jangkaan. Tiba di Mesir, menghubungi beberapa individu, dan diberitahu mengenai program yang bakal menjelang. Antaranya, menyertai FEWWIT anjuran iLuvIslam yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa.

FEWWIT atau nama penuhnya Fun & Exciting Weekend With iLuvIslam Team kali ini hadir dengan konsep bedah buku, menampilkan tajuk Bebas Dari Belenggu karangan Dr Azhar Sarip.

Bagi saya, program ini agak bermakna kerana menjadi pertemuan kedua dengan Forum Team, juga kali pertama saya menyertai program iLuvIslam dan menemukan saya dengan krew yang lain walaupun saya tidak begitu mengenali mereka =P. Peluang ini juga dimanfaatkan untuk melepak di pejabat baru iLuvIslam walaupun sebenarnya tiada apa untuk dilihat di sana XD.

Suka untuk saya kongsikan sesuatu dari FEWWIT ini, yang juga saya sebut sewaktu usrah di pejabat iLuvIslam iaitu bagaimana kita biasanya melihat dunia dengan pandangan zahir, yang menentukan batin/emosi seterusnya mempengaruhi spiritual kita. Begitulah urutan yang biasanya kita gunakan.

Pandangan zahir boleh jadi positif atau negatif. Mungkin kemiskinan. Mungkin juga kepayahan. Mungkin juga ia adalah kekayaan dan kebijaksanaan. Pandangan zahir yang negatif selalu mempengaruhi batin/emosi kita secara negatif. seringkali kemiskinan dan kesukaran hidup menyebabkan emosi terganggu dan jiwa menjadi stress/tertekan.

Kemudian barulah kita bergerak kepada spiritual. Boleh jadi tekanan hidup menjadikan kita menyalahkan takdir. Boleh jadi juga gangguan emosi itu yang menyebabkan kita ingat dan kembali kepada Allah. Boleh jadi juga kegembiraan hidup dalam kemewahan itu yang menjadikan kita lupa kepada Allah.

Di sini Dr Azhar membawa pendekatan baru iaitu melihat dunia dengan spiritual terlebih dahulu. Pendekatan spiritual menjadikan emosi lebih positif yang kemudiannya dizahirkan dalam kehidupan juga secara positif.

Melihat dunia sebagai ayat Allah, menjadikan apa sahaja yang berlaku di dunia ini tidak kira positif atau negatif sebagai peringatan/ujian/teguran daripada Allah. Maka pastinya segala daripada Allah itu baik-baik semuanya. Dengan itu, kita menjalani hidup dengan emosi yang tenang dan zahirnya kita melakukan semua perkara dalam hidup secara efisien dan tidak kelam kabut.
Kenapa ada orang kaya tak bahagia, kenapa ada orang miskin nampak bahagia? Jawapannya kerana mereka memilih pendekatan yang berbeza dalam hidup. Bebaskan diri anda dari belenggu dunia, dan masuklah ke dalam hidup yang dikelilingi ayat Allah.

Paling penting, ujian dan nikmat Allah itu pasti ada hikmahnya. Kalau tak sesat, kita takkan tidur di rumah Pakcik Lisam dan berjaya menyusahkan beliau dan isteri. Kalau bawa duit banyak-banyak, nanti banyak pula benda akan dibeli sendiri dan tidak bolehlah kita paw Makngah. Bukankah begitu?

Sekiranya anda ingin mendapatkan buku ini (Bebas Dari Belenggu), boleh lihat di mall Karangkraf. =)


Credit gambar: iLuvIslam | FB Bro Zulhafidz