Seronok Tak Kahwin?

Soalan yang diajukan kepada Faeid saat beliau menjejak kaki di rumah kami semalam, maklumlah pengantin baru;

“Seronok tak kahwin?”

Logiknya soalan tersebut tidak relevan diajukan kerana beliau baru seminggu menamatkan status bujang.

Pengantin baru masih fresh sedang menikmati saat halal bercinta dengan pasangan sudah tentu segalanya indah-indah belaka.

Hakikatnya dunia perkahwinan bukan sementara, dan bukan-sementara itu tidak selamanya disulami gembira. Ada mehnah dan tribulasinya. Ada badai gelora yang bakal melanda.

Cuti summer ini sahaja ada 9 jemputan kahwin di pihak GEN6 yang diterima. Belum lagi dikira jemputan batch lain yang bertimbun. Juga tidak dikira majlis rakan sekolah rendah dan menengah. Sayangnya tidak pulang ke Malaysia maka tiada satu pun dapat dihadiri. Cuma ucapan tahniah dan doa keberkatan yang mampu dihulurkan.

“Barakallahulakuma wa jama3a bainakuma fi kheyr”

Soal jodoh kekal lama atau sementara, pendek panjang adalah urusan ALLAH. Maka doa “kekal ke anak cucu”, “bercinta hingga ke syurga” atau seumpamanya adalah tidak relevan. Namun keberkatan waktu menempuhi dunia tersebut yang lebih utama dicari.

Buat semua yang telah mendirikan rumah tangga, 6 bulan akan datang, 12 bulan tahun depan, 5 tahun selepas ini, 10 tahun menjelang, susah atau senang, kaya atau miskin, lapang atau sempit, anda semua akan kekal mengingati jawapan anda saat ditanya soalan ini, lalu dengan yakinnya pada waktu tersebut masih lagi menjawab;

“Seronok.”

Gambar: Google | Gen6MDCairo Facebook Group

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain