KEMASKINI 28 NOV:
Untuk pengetahuan pembaca, pemilik blog ini mengamalkan dasar exaggeration yang melampau dalam setiap penulisan beliau. Maka blog ini tidak sesuai dibaca oleh mereka yang mudah terpengaruh, mudah tersinggung, tidak mempunyai akal, lurus bendul, mengulang tahun, alim terlajak atau yang seumpamanya.

Rentetan daripada post ini juga, Jawatankuasa Mesyuarat Agung Khas telah mengemaskini blog mereka dan telah membuat perubahan untuk menjelaskan lagi proses perjalanan mesyuarat yang akan diadakan. Maka beberapa fakta dalam post ini boleh dianggap invalid dengan perubahan yang telah dibuat.

Sila rujuk blog MAK sendiri untuk mengelakkan kekeliruan fakta. Penulis tidak bertanggungjawab atas kefahaman pembaca yang salah akibat tidak menyiasat fakta yang diberikan.

Baca juga: Usul Bantahan untuk MAK, Wajarkah ke MAT-9?


POST ASAL 25 NOV:

Tajuk kena jahat, kejam dan keji baru ramai yang akan baca. Ini adalah post yang akan membongkar penipuan yang telah dibuat Panel Pindaan Perlembagaan menjelang Mesyuarat Agung Khas yang akan berlangsung 30 November ini.


APA ITU MAK?

MAK atau nama panjangnya Mesyuarat Agung Khas merupakan mesyuarat yang diadakan bersempena isu atau keadaan tertentu sepertimana yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Mesyuarat pada 30 November ini diadakan kerana terdapat pindaan yang agak besar terhadap Perlembagaan setelah usul Majlis Tertinggi PERUBATAN diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu.

Namun begitu, terdapat unsur Freemason dan Illuminati dalam PERUBATAN yang telah mengambil kesempatan terhadap situasi yang berlaku. Memandangkan draf Pindaan Perlembagaan telah dibentang kepada Lembaga Penasihat dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi, tidak keterlaluan untuk disebut bahawa unsur ini telah meresap masuk dalam pentadbiran PERUBATAN.


PENIPUAN DALAM PINDAAN PERLEMBAGAAN?

Perkara utama dalam MAK adalah berkaitan Fasal MTP dan Cawangan maka ramai terlepas pandang Fasal yang dimansuhkan dan ditambah dalam Perlembagaan.

Lebih menerukkan keadaan, susunan dalam blog sengaja dibuat dengan serabut untuk menyusahkan pembaca maka berkemungkinan besar Jawatankuasa MAK turut terlibat dalam konspirasi Yahudi ini.


BUKTI

Saya bawakan beberapa bukti untuk pembaca nilai sendiri:

Dari laman Tatabahasa dan Istilah, “Pada slot ini, hanya proses pengumuman dan pengundian untuk kelulusan akan dijalankan. Hal ini kerana pembetulan yang dibuat adalah berdasarkan tafsiran perlembagaan dan tidak merubah maksud perlembagaan sedia ada.”

Sila lihat perubahan berikut:

Perubahan 4

Asal: Tidak boleh memegang jawatan dalam PERUBATAN

Pindaan: Tidak mempunyai hak memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN atau Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan

Perlembagaan asal menetapkan tidak ada satu jawatan dalam PERUBATAN, dari setinggi-tinggi AJKT hingga serendah-rendah AJK Unit, yang boleh diberikan kepada Ahli Bersekutu. Perlembagaan baru menetapkan hanya AJKT tidak boleh diberi kepada Ahli Bersekutu. Tidak mengubah maksud eh? Nampaknya sudah ada perancangan untuk menguasai PERUBATAN melalui perkahwinan.

Jaga-jaga akhawat sekalian, suami anda yang bergelar Ustaz itu mungkin bakal merosakkan persatuan kita.

Kita naik satu tingkat yang lebih tinggi. Lihat perubahan berikut.

Perubahan 39

Asal: Bendahari Kehormat dibolehkan menyimpan wang yang akan ditetapkan jumlahnya oleh Jawatankuasa dari semasa ke semasa, tetapi tidak boleh melebihi LE 1000 (satu ribu) pada sesuatu masa.

Pindaan: Bendahari Kehormat PERUBATAN dibenarkan untuk menyimpan wang yang akan ditetapkan jumlahnya oleh Majlis Tertinggi PERUBATAN dari semasa ke semasa.

Tidak mengubah maksud eh? Pindaan yang dibuat jelas tidak berkaitan penubuhan MTP, kalau tidak diubah MTP takkan terjejas sedikit pun. Malah memberi kuasa kepada Bendahari Kehormat untuk memegang sebanyak mungkin wang milik persatuan sepertimana yang ditetapkan oleh MTP.

Kalau wang yang sudah ditetapkan pun boleh berlaku masalah akaun, apatah lagi bila tidak ditetapkan. Mungkin ini langkah menggelapkan wang persatuan secara senyap.

Kita lihat perubahan lain.

Perubahan 101

Asal: Perlembagaan PERUBATAN tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan tidak kurang daripada 2/3 (dua per tiga) dari jumlah ahli yang layak mengundi atas usul-usul mengenainya dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Pindaan: Perlembagaan PERUBATAN tidak boleh diubah atau dipinda kecuali setelah dinilai dan dipersetujui oleh sebuah panel khas yang disebut sebagai Panel Pindaan Perlembagaan (PPP) yang akan dilantik oleh Majlis Tertinggi PERUBATAN.

Tidak mengubah maksud eh? Setelah semakan dibuat, tidak ada satu pun kenyataan dalam Perlembagaan Baru menerangkan ketetapan untuk mengubah Perlembagaan. Bermakna PPP boleh ditubuhkan pada bila-bila masa sahaja tanpa suara ahli.

Anda perlukan lagi? Lihat perubahan berikut.

Perubahan 24

Asal: Jika kuorum tidak mencukupi, ahli yang hadir mempunyai kuasa untuk meneruskan urusan mesyuarat tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menerima dan membahas usul untuk pindaan Perlembagaan PERUBATAN

Pindaan: Jika kuorum tidak mencukupi selepas 1 (satu) jam, Mesyuarat Agung Tahunan boleh diteruskan dengan syarat mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 50 (lima puluh) peratus daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Tidak mengubah maksud eh? Ini adalah penipuan terbesar yang dilakukan. Sekiranya hanya AJKT yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan, mereka masih boleh meneruskan mesyuarat. Gabung dengan perubahan sebelum ini; lantik PPP untuk mengubah Perlembagaan, kemudian diluluskan oleh mereka sendiri?

Penipuan apakah yang sedang dilakukan ini?


KESIMPULAN

Bukti yang dikemukakan tiada kaitan dengan “Tidak mengubah maksud” dan masih boleh dipinda? OK sengaja letak supaya pembaca teruja membaca hingga akhir.

Tapi adalah hakikat bahawa, pindaan yang telah dilakukan langsung tidak menjejaskan MTP sekiranya tidak diubah. Umum mengetahui betapa malasnya manusia membaca Terma & Syarat yang panjang dan berjela-jela, maka taktik yang sama turut digunakan di sini – pindaan dilakukan secara senyap dalam banyaknya Fasal Perlembagaan. Kemudian Perwakilan tanpa sedar meluluskan.

Maka apakah sebenarnya yang sedang berlaku?

Saya menyeru semua ahli untuk menyemak seteliti mungkin Pindaan Perlembagaan yang telah dibuat dan membantah perubahan-perubahan yang syubhah dan mempunyai niat jahat seperti ini. Sekiranya sudah diluluskan, untuk mengubah kembali akan menjadi sangat sukar.

Perlembagaan juga adalah undang-undang. Dalam dunia undang-undang, segalanya mesti jelas. Disebabkan inilah kita menetapkan “Yuran ahli adalah LE25”. Untuk diubah memerlukan perbahasan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mesti diluluskan 2/3 perwakilan. Kita tidak menetapkan “Yuran ahli akan ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN” supaya AJKT tidak sewenang-wenangnya memperlakukan ahli seperti binatang; Menetapkan yuran LE1000, kemudian disebabkan dalam Perlembagaan yuran di bawah kuasa AJKT, maka ahli mesti membayar jumlah tersebut.

Perlembagaan Baru mempunyai banyak vague statement (Pernyataan yang tidak jelas) lantas memberi kuasa penuh kepada AJKT PERUBATAN (Atau perlu saya sebut MTP?). Ini bukan lagi Perlembagaan ahli, ini adalah Perlembagaan AJKT. Ini bukan lagi Perlembagaan demokrasi, ini adalah Perlembagaan kuku besi. Ini bukan lagi Perlembagaan Islami, ini adalah Perlembagaan Yahudi.

Usul bantahan untuk fasal berkaitan MTP dan Cawangan dibuka hingga 27 November. Manakala Usul bantahan berkenaan fasal-fasal yang lain dibuka hingga 30 November. Kemukakan bantahan anda sekarang setelah mendaftar sebagai perwakilan, hari ini hari terakhir.

Lawan tetap lawan. Orang tua seperti saya sudah tidak dipengaruhi oleh PERUBATAN pada masa akan datang, mungkin sudah tidak terlibat dengan PERUBATAN. Tapi adik-adik yang masih menyusu inilah yang bakal menerima kesan daripada kejahatan yang telah dilakukan. “Gagasan Bersepadu Bersama Bersatu”? Tolong jangan buat bekas ahli PERUBATAN muntah.

“Hilangkan Vague Statement, Kembalikan Hak Ahli” adalah tema perwakilan pada Mesyuarat Agung Khas kali ini.

IKLAN!
Who here has a story to share? If it’s interesting enough, you may just walk away with cool cash prizes! #NESCAFEonthelife