“ALLAH sifatnya Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.” Ustat dalam satu ceramah memulakan satu topik berkaitan akidah. Di hadapannya murid-murid dari pengajian perubatan duduk bersila menadah telinga. Kelihatan seorang dua rancak menulis point-point yang disampaikan.

“Kenapa ALLAH tak jadikan hidung kita dekat tangan?” Ustat muda dari Universiti Azhar itu memulakan persoalan.

“Kalau hidung – salur pernafasan kita – dekat tangan, nescaya masa makan tersumbat dengan nasi. Lemas tersedut kuah sup,” sambung beliau. Cuba menyelitkan sedikit lawak jenaka. Agak berjaya bila melihat beberapa murid tersenyum ketawa dalam hati.

“Kalau hidung kita terbalik – lubang ke atas – tentu lemas bila hujan. Tak boleh kita mandi laut.” Satu lagi hujah ditambah. Memastikan pendengar-pendengar di hadapannya faham apa yang cuba disampaikan. ALLAH itu Maha Bijaksana, mencipta sesuatu dengan sempurna tidak memberi mudarat pada manusia.
DSC03079
Waktu muda-muda dahulu saya mungkin angguk-angguk dengan penerangan ustat tersebut.

Tapi bila dah tua begini saya cuma mampu geleng-geleng sambil senyum dari sebalik tiang.

Tolonglah, jangan bataskan kuasa Tuhan. Ada limit hingga Tuhan mesti cipta sekian-sekian baru jadi sempurna.

Kalaulah ALLAH jadikan salur pernafasan kita dekat tangan, pasti ALLAH dengan kuasa dan pengetahuan yang tidak terbatas, akan mencipta mekanisme lain bila makan dengan tangan. Umpama epiglottis yang sentiasa menutup trachea apabila kita makan dan minum, mengelakkan makanan masuk ke dalamnya.

Kalaulah ALLAH jadikan hidung kita terbalik, pasti ALLAH dengan kuasa dan pengetahuan yang tidak terbatas, akan mencipta mekanisme lain bila hujan dan berenang. Umpama katak yang bernafas melalui kulit, tetap hidup bila berenang dalam air.

Ada orang cakap, kalau ALLAH buat begitu serabutlah kena ubah banyak benda lain. Serius serabut? Kita sedang bicara tentang Tuhan, di manakah serabut, susah dan payahnya?

Sama juga kita selalu bataskan kuasa ALLAH dalam urusan takdir. ALLAH dah tetapkan hidup kita begini, takkan berubah.

Sedangkan saintis-saintis telah lama mengemukakan teori Parallel World dan Butterfly Effect. Perubahan kecil yang kita buat akan membawa perubahan yang sangat besar pada masa hadapan.

Kata mudahnya, takdir kita bukan satu tapi infiniti. Perbuatan kita pada hari ini, memilih satu daripada infiniti takdir yang telah ALLAH sediakan untuk kita. Teori ini juga menjawab persoalan takdir dan usaha; ALLAH telah sediakan infiniti takdir untuk kita, cuma tinggal kita nak berusaha memilih yang mana.

Maka, tinggal lagi persoalan; kenapa ALLAH cipta hidung kita begini?

Sebab ALLAH Maha Berkehendak, Dia nak design manusia begini, ikut suka Dialah. Haha.

SHARE!
Two Young Malaysians Answer Difficult Questions About Being A Muslim And Christian In Malaysia