Tahun ini saya membuat keputusan sekadar menjadi pemerhati dalam Mesyuarat Agung PERUBATAN. MTC Kaherah yang lalu pun saya tidak mendaftar kerana saya berpandangan hak mengundi dan berbahas lebih elok sekiranya diberikan kepada mereka yang betul-betul tahu tentang perjalanan persatuan sepanjang sesi yang lepas. Lagipun saya tidak rasa perbahasan dalam mesyuarat akan mempengaruhi kehidupan saya untuk setahun akan datang.

Namun keputusan tersebut memakan diri sendiri kerana undian presiden hanya untuk perwakilan. Sungguh kurang ajar penilaian abang kakak supersenior ini diabaikan dalam penentuan presiden persatuan yang mereka sayangi ini. Itu pun masih ada perwakilan yang gagal mengundi. Grr mahu jari tengah?

Oleh itu, izinkan saya merapu dalam blog peribadi kerana saya tidak mungkin bersuara dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 nanti.
poster-mat-11
Kita mulakan dengan maksud mesyuarat. Sepanjang keterlibatan saya dalam persatuan, mesyuarat seperti yang digariskan oleh sahabat saya, Dr Nasrullah ada dua jenis; membuat keputusan atau meribut otak. Namun begitu sekiranya anda melangkah ke peringkat lebih tinggi seperti dalam pengurusan syarikat, selalunya brainstorming dinamakan diskusi dan dihadiri kelompok kecil yang betul-betul mahu memberikan pandangan. Hasil diskusi akan dibawa ke dalam mesyuarat untuk dibuat keputusan menerima atau menolak.

Apa-apa pun, adalah sangat penting untuk ahli mesyuarat melibatkan diri dalam majlis tersebut. Persediaan sebelum mesyuarat perlu lengkap, pembentangan semasa mesyuarat perlu diteliti dan follow-up selepas mesyuarat perlu dibuat. Maka semua laporan perlu dibaca, persoalan perlu dicatat dan hal berbangkit mesti diluahkan. Sekiranya anda hadir mesyuarat semata-mata ukhuwah fillah atau makanan atau nak pergi ke Kaherah saya rasa boleh perbaiki semula niat anda dan buat persediaan dari sekarang.

Seperti biasa, tumpuan mesyuarat agung pastinya slot usul. Slot usul merupakan slot paling mengarut dan overrated pernah wujud dalam sejarah mesyuarat agung PERUBATAN. Pada zaman paleolitik PERUBATAN dahulu, usul hanya berkaitan hal-hal dalam perlembagaan. Kemudian diubah supaya dimasukkan hal-hal berkaitan perjalanan atau agenda persatuan. Saya tidak nafikan perubahan ini baik dari segi matlamat – supaya kita dapat bersatu dalam merancang perjalanan PERUBATAN bersama persetujuan majoriti perwakilan.

Namun begitu, agenda yang dibawa selalunya adalah baik dan mendapat persetujuan semua perwakilan. Sekalipun terdapat isu kontroversi, masa perbincangan adalah terhad dan kebanyakan perwakilan gagal memahami matlamat usul serta banyak persoalan yang tidak berjawab. Tambah menjahanamkan lagi keadaan, perkara yang hangat dibahaskan perwakilan adalah sama ada matan usul perlu mempunyai perkataan “yang” atau tidak. Sepertimana yang dijelaskan tadi, usul pada awalnya hanya berkaitan perlembagaan, disebabkan itulah syarat “setiap perkataan dalam usul boleh dibahaskan oleh perwakilan” itu wujud. Perlembagaan pula adalah undang-undang yang boleh dibicarakan di mahkamah.

Saya sebenarnya tidak berapa berkenan dengan perlembagaan baru kerana jika diteliti dalam konteks ahli, anda bakal kalah jika cuba mendakwa Majlis Tertinggi PERUBATAN di mahkamah. Ulasan terbaik mengenai hal ini anda boleh baca di blog Dr Humairah: Usul Bantahan untuk MAK, Wajarkah ke MAT-9? (Exco PasMa yang bakal bertanding di DUN Chempaka nanti kah3)
senarai-usul
Dalam MAT-11 kali ini ada empat usul yang diluluskan.

Pertama, kajian penubuhan alumni PERUBATAN. Alumni PERUBATAN ini telah disebut sejak Seminar PERUBATAN Ketiga, tahun 2011. Bagi saya persoalan penubuhan alumni sebenarnya lebih elok sekiranya dibuat oleh alumni kerana merekalah yang akan menggerakkan alumni tersebut, bukan pelajar. Tapi tidak dinafikan kajian awal mungkin bermanfaat dari segi merangka penubuhan sebelum ia benar-benar terlaksana.

Persoalan yang timbul mungkin tujuan dan aktiviti yang boleh dijalankan alumni. Ada beberapa perkara yang saya kira lebih baik diadakan bersama persatuan kesihatan yang lain kerana capaian yang lebih meluas. Tapi apa-apa pun, penubuhan alumni sebenarnya sangat baik sekalipun hanya sebagai medan ukhuwah dan penyampaian maklumat yang berkesan. Sekurang-kurangnya dapat membantu program cuti musim panas PERUBATAN nanti.

Kedua, menghapuskan JAKSI dan bidang tugas diletakkan di bawah unit biah solehah Pembangunan Insan. Ulasan lanjut daripada pencadang usul boleh baca di Facebook beliau. Saya kira langkah beliau mempromosi usul awal-awal perlu dipuji kerana kita boleh melihat sudah banyak perbincangan dan pertukaran idea di laman maya berlaku (Boleh rujuk wall Ahmad Naufal sendiri untuk melihat berapa banyak status yang bertag nama beliau).

Status JAKSI sebagai badan bebas di bawah Presiden (atau Pengerusi di Cawangan) saya kira ada kelebihan dan kekuatan walaupun sering disalah erti dan dijadikan kambing hitam. Gandingan bad cop good cop bersama Pembangunan Insan. Status inilah yang kami cari sewaktu dalam webteam dulu supaya berkuasa lebih tinggi daripada biro lain walaupun gagal sewaktu Mesyuarat Agung ke-xx (saya pun dah lupa). Namun perjuangan tetap diteruskan dan hasil penat lelah Dr Damak dan Dr Radin, kini mediaPERUBATAN merupakan nama yang gah dalam kalangan komuniti PERUBATAN. Tidak keterlaluan jika saya kata mediaPERUBATAN tanpa sedar merupakan entiti yang agak berkuasa dalam PERUBATAN terutama dari segi penerbitan dan dokumentasi perjalanan persatuan.

7 Perkara Pelik Dalam mediaPERUBATAN – Dr Radin Rahmah

Walau apa pun, usul ini sebenarnya membuka mata bahawa tarbiah PERUBATAN belum layak diakui sebagai tarbiah Ikhwan Muslimin sepertimana tarbiah persatuan-persatuan lain di Mesir. Maka bolehlah perlahan-lahan ahli PERUBATAN merentas jemaah dan cuba menyertai program mereka pula.

Ketiga, mendesak pengiktirafan jurusan farmasi. Ini antara usul yang saya kira usul mengarut. Pengiktirafan bukan didapati melalui desakan, ada kriteria yang perlu dipenuhi pihak universiti. Tambahan pula usul ini sepatutnya menjadi tugas persatuan sejak azali, bertepatan dengan objektif dalam perlembagaan Fasal 6 Perkara 1, “Menjaga dan memperkasa kebajikan ahli”, tidak perlu dibahaskan dalam mesyuarat pun. Persoalan kenapa diluluskan ini pernah dijawab penasihat, kita bawa sebagai usul supaya mendapat sokongan dan komitmen perwakilan bersama-sama mendukung usaha desakan. Pfffttt kah3

Saya lebih merasakan isu ini perlu dibawa melalui media. Jujurnya berita mediaPERUBATAN sekarang agak hambar kerana tiada isu besar yang dimainkan. Saya masih ingat lagi wartawan agung Dr Atiqah Hanifah pernah membawa isu keselamatan lorong hitam berdasarkan rungutan komuniti mahasiswi yang diganggu Arab di kawasan tersebut. Hasilnya beliau dikecam hebat kerana kononnya tidak menyalurkan aduan di tempat yang betul malah bertujuan memburukkan JAKSI gagal menjalankan tugas. Rentetan berita itu juga rumah beliau dibakar oleh pentaksub tegar JAKSI. Namun akhirnya JAKSI tewas lalu mengeluarkan kenyataan rasmi dan memperketatkan langkah keselamatan di kawasan tersebut.

Saya yakin dengan kemampuan wartawan Jabatan Liputan membawa isu komuniti mahasiswa perubatan, bukan sekadar melaporkan program PERUBATAN (yang sepatutnya dilakukan setiausaha program). Kuasa mahasiswa dalam media sebenarnya tidak boleh dipandang ringan apatah lagi jika dilakukan media rasmi persatuan. Ada beberapa perkara yang pernah dibincangkan dalam hal ini, sebagai contoh bagaimana mengekalkan neutraliti dalam laporan peristiwa dan bagaimana untuk menjaga nama baik PERUBATAN selaku media rasmi persatuan. Tapi hakikatnya haterz gonna hate walaupun kita letak disclaimer “tidak melambangkan pendirian persatuan.”

Usul keempat saya kira kesinambungan drama MAT-10. Contoh yang sering disebut sebagai model unit kajian ilmiah adalah MANHAL PMRAM. Kajian ilmiah sebenarnya mempunyai disiplin tertentu. Penubuhan unit kajian ini saya rasa sangat baik untuk menjawab isu kesihatan yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat walaupun sebenarnya ada batasan dalam kemampuan kita sebagai mahasiswa untuk menjalankan kajian sendiri. Ini merupakan intipati paling penting dalam usul keempat – mesti tahu matlamat, skop dan batas kemampuan. Saya merasakan pembawa usul menyedari persoalan ini lalu menyebut “kajian lapangan” dalam matan beliau.

Sekiranya usul ini gagal, saya sebut kembali ayat yang pernah saya berikan kepada Shafiq Kadir tahun lepas – mari bersama mediaPERUBATAN. Jabatan Artikel memerlukan kepakaran anda untuk menghasilkan artikel berkualiti.
laporan-mat-11
Persoalan lebih penting dalam mesyuarat agung sebenarnya muhasabah gerak kerja sesi kali ini. Adakah calon yang anda undi telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan?

Laporan aktiviti tahunan dan penyata akaun telah dikeluarkan maka bolehlah bertanya kenapa dan mengapa. Tulis siap-siap dalam buku catatan sebelum hadir ke mesyuarat.

Antara yang menarik perhatian adalah jejak kasih sejarah bumi anbiya’ yang dilakukan Jabatan Setiausaha Agung. Persoalan yang boleh ditanya seperti progress, pencapaian serta apakah saluran untuk ahli-ahli melihat rakaman sejarah tersebut. Gerakan mahasiswa sebenarnya telah banyak dikritik lantaran gagal mendokumentasikan sejarah persatuan mereka dengan lengkap. Ini satu cabaran untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya silap.

Dalam laporan juga banyak disebut tentang pelajar farmasi. Sekiranya ini merupakan kes yang sama dalam usul di atas maka sebenarnya PERUBATAN telah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini. Maka persoalan yang timbul adalah apa tujuan perbahasan usul tersebut?

Laporan jabatan Ekonomi juga kita boleh lihat kebanyakan buku yang diterbitkan adalah buku-buku agama tulisan geng ustat. Mana perginya geng profesional penulis jurusan sains kesihatan? Hati ini sedikit terkesot lantaran artikel di laman web PERUBATAN Cawangan sebenarnya sangat hebat. Masih terbayang-bayang bunga bahasa Hamba Nan Merdeheka sewaktu mengadili Anugerah Artikel NILAKANDI hari itu. Mindblown! Belum lagi tengok komik manga di laman-laman Facebook, boleh menang Bakat Baru Komik GempakStarz atau Anugerah PeKOMIK. Maka adakah kita menyalurkan bakat mereka di tempat yang sepatutnya?

Dalam muka surat 28 laporan Jabatan Penerbitan & Penerangan juga ada ditulis, “Februari 2015, saudara Muhammad Shazwan bin Shahron telah menghasilkan melodi untuk Lagu PERUBATAN”. Mungkin anda perlukan teaser untuk menambah keterujaan di Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 nanti maka terimalah teaser rasmi di bawah:


Selamat bersidang dan selamat bersembang kencang.