Tarbiah Membayar Hutang

Sistem pinjaman menurut Islam memang diketahui secara umum, lebih-lebih lagi sewaktu pergelutan kes PTPTN dan bayaran tambahan 4% yang dikenakan adakah menepati syariah atau tidak. Itu sebelum polemik pendidikan percuma dan debat-debat yang diadakan lanjutan daripada polemik tersebut.

Antara yang ditekankan dalam sistem pinjaman menurut Islam adalah nilai bayaran balik pinjaman adalah tidak lebih dan tidak kurang daripada nilai yang dipinjam. Secara kasarnya wajib dibayar begitu. Caj tambahan adalah riba jika ditetapkan sejak awal dan riba adalah haram. Namun begitu, sekiranya penghutang ikhlas ingin membayar lebih sangat digalakkan.

Berpengalaman menjadi pemiutang beribu-riban, maka bolehlah kita simpulkan bahawa sistem bayaran hutang ini mempunyai nilai tarbiah yang tersendiri dalam pembinaan karakter individu dan masyarakat.

PEMIUTANG

Bayaran balik hutang dengan nilai yang tepat, mengajar pemberi hutang (pemiutang) nilai ikhlas dalam kehidupan. Tidak mengharapkan keuntungan dan tidak pula mengambil kesempatan. 100% ikhlas memberikan bantuan.

Datang manusia menawarkan perniagaan untuk dilaburkan, tapi tiada keuntungan ditawarkan. Malah dividen tahunan pun tiada. Modal yang dilaburkan itulah akan diperolehi kembali selepas suatu jangka masa yang lama.

Maka siapakah yang bersedia melaburkan harta mereka dengan mengharapkan keuntungan daripada ALLAH semata?

PENGHUTANG

Bayaran balik hutang dengan nilai yang tepat, mengajar penerima pinjaman (penghutang) nilai berterima kasih atas bantuan. Di saat penghutang dalam kesempitan, siapakah yang sanggup memberikan bantuan tanpa mengharapkan balasan.

Tidak terasakah anda, pemiutang sebenarnya terbeban dengan hutang yang diberikan.

LE10,000 yang diberi pada hari ini, tidak sama dengan LE10,000 yang dibayar tahun hadapan. LE10,000 hari ini boleh membeli sebuah kereta, LE10,000 hari esok mungkin hanya cukup untuk sebuah motosikal. Bukankah itu satu kerugian bagi pemiutang?

Waktu pemiutang memberi hutang dia mungkin dalam kesenangan, namun esok siapa tahu mungkin dia pula dalam kesempitan. LE10,000 yang berkurang dalam simpanan mungkin mengurangkan beban jika tidak diberi kepada penghutang.

Maka penghutang mestilah berterima kasih atas bantuan pemiutang.

Dan rasa berterima kasih itu diterjemahkan dengan Islam membolehkan penghutang membayar lebih daripada nilai hutang sebagai tanda kesyukuran.

KESIMPULAN

Manusia selalu berkata, Islam itu indah. Walaupun hutang nampak seperti transaksi wang, namun ia adalah tarbiah kehidupan. Walaupun namanya perniagaan, ia adalah ukhuwah persaudaraan.

Maka insan yang kesenangan, jangan ragu untuk menjadi pemiutang. Penghutang pula, jangan lupa membayar hutang!

p/s: HA! Services menawarkan khidmat pinjaman wang, bergantung kepada stok dan budi bicara.

IKLAN!
Musim panas ini apa kata kongsikan gambar anda bermandi keringat menahan kepanasan dunia?

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain