Post ini berkisar drama Atsu-hime, dan kenapa anda mesti cuba untuk cari dan tonton.
Info:
Dramawiki
Wikipedia
Drama Atsu-hime mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita bernama Atsu, sejak kecil hinggalah dewasa dan perubahan politik Jepun yang berlaku di sekeliling beliau. Menurut Wikipedia, beliau merupakan antara figur penting dalam peristiwa penyerahan diri istana Edo ke tangan penyokong Diraja yang akhirnya membawa kepada perubahan pemerintahan Jepun.
Latar masa drama ini di penghujung pemerintahan Tokugawa Shogunate (digelar era Bakumatsu) sebelum bermulanya era Meiji (Meiji Restoration). Bagi yang pernah menonton drama JIN, latar masa kedua-dua drama ini adalah hampir sama. Bagi yang lebih mengenali Rurouni Kenshin, drama ini berlaku lebih kurang 10 tahun sebelum anime tersebut, ataupun Himura Kenshin zaman masih lagi Hitokiri.
Download:
Torrent (D-Addicts) – Atsu-Hime TVRip
Torrent (D-Addicts) – Atsu Hime 720p
Torrent (Asiatorrents) – Atsu Hime 720p [need registration]
Sepanjang drama ini anda akan menemui ramai pelakon yang mungkin anda kenali. Atsu-hime sendiri dilakonkan oleh Miyazaki Aoi. Nama beliau pernah didengar tapi lupa di mana. Eita memainkan watak Komatsu Tatewaki, rakan baik Atsu-hime. Sakai Masato sebagai Tokugawa Iesada (suami Atsu-hime). Matsuda Shota dan Horikita Maki digandingkan bersama sebagai Tokugawa Iemochi dan Kazu no Miya. Tamaki Hiroshi turut membuat penampilan memegang watak legenda, Sakamoto Ryoma.
Watak dalam drama ini sentiasa bertukar memandangkan Atsu-hime berpindah dari rumah beliau ke istana Shimazu (sewaktu di Satsuma) kemudian setelah tiba di Edo beliau menginap di rumah Satsuma clan sebelum akhirnya ke Ooku. Setiap kali berpindah, nama gelaran beliau akan bertukar disertai pelayan-pelayan di sekeliling beliau maka anda boleh mula mengenali ramai pelakon baru yang tidak pernah didengari sebelum ini.
Baca: Perubahan nama Atsu-hime
Walaupun drama ini berkisar sejarah, tidak dinafikan bahawa ia telah diolah semula seperti mana drama-drama sejarah yang lain. Namun begitu, latar masa yang digunakan adalah tepat berdasarkan sejarah. Sepanjang menonton drama ini anda akan dihidangkan dengan tarikh dan narration menceritakan peristiwa bersejarah yang berlaku secara ringkas.
Baca: 70% drama Atsu-hime adalah fiksyen
Pemerintahan Tokugawa Shogunate (Bakufu) menggunakan sistem negara yang tertutup kepada kuasa luar (polisi Sakoku), atau dengan kata mudahnya seperti Korea Utara sekarang (dengan lebih ekstrem). Maka era Bakumatsu (penghujung zaman Edo) ini merupakan rentetan detik Jepun mula mengamalkan polisi terbuka dan menerima teknologi dari Barat.
Satu perkara lagi yang mesti diketahui adalah Jepun mempunyai keluarga Diraja (Imperial) namun diperintah oleh keluarga Tokugawa dan clan-clan yang lain mengikut hirarki status (Bakufu). Kata mudahnya seperti Malaysia mempunyai Yang Dipertuan Agong tapi pentadbiran masih dijalankan oleh Perdana Menteri dan kabinet. Era Bakumatsu bakal menyaksikan kejatuhan Bakufu disebabkan percubaan Imperial mengambil alih kuasa.
Beberapa peristiwa penting bakal dilihat seperti ketibaan kapal USA (black ships) di Edo, Convention of Kanagawa, Sakuradamon Incident, Terada-ya Incident, dan banyak lagi. Setakat yang kita tonton baru sahaja selesai Richardson’s Affair, pembunuhan rakyat USA yang bakal membawa kepada Perang Anglo-Satsuma.
Sangat teruja untuk mengetahui episod seterusnya, namun download rate sangat perlahan maka cuma mampu bersabar.
Selain daripada sejarah, penonton juga boleh mengetahui serba-sedikit budaya Jepun pada waktu tersebut. Sebagai contoh, sewaktu Kazu no Miya masuk ke Ooku (Edo) untuk menjadi isteri Shogun, Tokugawa Iemochi, dapat dilihat dengan jelas pertembungan budaya Kyoto-Edo (Kazu no Miya berasal dari keluarga Imperial yang berpusat di Kyoto). Paling jelas adalah cara mereka berjalan, bercakap dan penggunaan set makan dan minum. Pertembungan ini telah menjadi sebab perselisihan dalam Ooku pada waktu tersebut kerana secara asasnya, Kazu no Miya berkahwin ke dalam keluarga Tokugawa maka beliau harus mengikut budaya Edo. Tapi Kazu no Miya berasal daripada keluarga Imperial yang berstatus lebih tinggi daripada keluarga Tokugawa maka beliau ingin kekal mengamalkan budaya Kyoto.
Antara sebab lain drama Atsu-hime menjadi menarik adalah di hujung sesetengah episod ada promosi tempat yang berkaitan dengan episod tersebut. Maka menambahkan lagi keterujaan penonton antarabangsa untuk melawat Jepun. Tidak hairan drama ini menjadi sebab keuntungan ekonomi Kagoshima sebanyak 25+ billion Yen, terutamanya menerusi industri pelancongan.
Namun begitu, secara peribadinya nilai terbaik drama ini adalah bagaimana olahan semula sejarah menggunakan aspek sangka baik yang sangat tinggi, hinggakan anda akan merasa ‘bersetuju’ dengan watak jahat dalam drama ini.
Sebagai contoh Ii Naosuke, Ketua Menteri yang kejam telah menghukum lebih kurang 100 orang dalam peristiwa Ansei Purge kerana mereka bertindak berkomplot dengan keluarga Imperial untuk menjatuhkan kuasa Shogunate. Namun begitu Atsu-hime telah bertemu beliau untuk berbicara secara berdepan dan digambarkan bahawa Ii Naosuke mula tergerak hati untuk menghormati pandangan Atsu-hime sebagai penasihat Shogun dan mengurangkan hukuman yang beliau laksanakan. Tapi Sakuradamon Incident (pembunuhan Ii Naosuke) berlaku sebelum sempat beliau berbaik semula dengan Atsu-hime. Selepas itu juga Atsu-hime dilihat memuji Ii Naosuke dengan ketegasan beliau menghadapi tekanan daripada keluarga Imperial, dibandingkan dengan menteri-menteri yang ada selepas pembunuhan beliau.
Satu lagi yang boleh dijadikan contoh adalah Terada-ya Incident; peristiwa pembunuhan samurai dalam Satsuma clan oleh ketua Satsuma sendiri, Shimazu Hisamitsu. Kisahnya, sewaktu Satsuma clan menemui keluarga Imperial untuk mengemukakan permintaan mengubah pemerintahan Bakufu, keluarga Imperial kurang yakin dengan mereka kerana Satsuma clan adalah bukan clan yang utama.
Arima Shinshichi dan beberapa samurai telah berpakat merancang untuk membunuh beberapa ahli Imperial yang menentang Satsuma clan supaya rancangan mereka berjalan lancar. Namun begitu rancangan mereka dihalang dan kedegilan Arima Shinshichi menyaksikan mereka akhirnya dibunuh. Dalam babak seterusnya digambarkan bahawa Arima Shinshichi sengaja belot supaya kesanggupan Satsuma clan membunuh samurai sendiri dilihat sebagai kesetiaan clan mereka terhadap Imperial.
Dalam drama ini banyak ditekankan persoalan ‘yakuari’ (tugas) manusia di muka bumi ini, hinggakan apabila Ii Naosuke disoal Atsu-hime adakah beliau menyesal dengan tindakan beliau dalam Ansei Purge, beliau dengan yakin menjawab itu adalah tugas beliau sebagai Ketua Menteri untuk melindungi Shogunate walaupun cara beliau agak kejam. Tindakan beliau tidak dinyatakan betul dan tepat namun begitu, membuka satu aspek penting dalam memahami manusia lain seterusnya bersangka baik kepada mereka.
Nilai-nilai lain yang menarik untuk ditonton adalah bagaimana Atsu-hime yang belajar banyak perkara sepanjang pengembaraan beliau sejak kecil. Banyak kali kita tersentuh dengan nasihat ibu beliau, nasihat ketua pelayan beliau (Ikushima), hubungan beliau dengan suami (Tokugawa Iesada) dan kisah persahabatan beliau dengan Komatsu Tatewaki.
Sewaktu menonton, kita juga sangat kagum dengan ketabahan seorang gadis pada usia muda berpisah dari keluarga, menuju ke Edo demi sebuah misi besar untuk dilaksanakan. Memandangkan waktu tersebut pengangkutan masih lagi mundur, perjalanan dari Satsuma ke Edo mengambil masa lebih kurang 2-3 bulan. Atsu-hime juga tidak pernah lagi pulang ke Satsuma sepanjang hayatnya. Dibandingkan dengan kita sekarang ini yang bercita-cita besar tapi masih manja diulit rindu, masih beralasan yang pelbagai.
Kesimpulannya drama ini masih lagi menerima 8/9 bintang. 15 episod terakhir ini mungkin akan meningkat atau menurun, kita sendiri tidak pasti. Yang penting drama ini mesti ditonton jika anda tiada pekerjaan lain.
giler bnyk episode..kalau tgk ni,kompem tak study aku