Antaranya, suatu ketika selesai kelas Physiology, ingin solat Zohor di ‘surau’ berdekatan. Apabila masuk, rupanya telah penuh. Lebih menakjubkan, jarak antara saf rapat tidak seperti biasa kita solat jemaah. Cukup-cukup untuk meletak lutut ketika sujud. Rukuk sahaja kepala sudah menyentuh punggung jemaah di hadapan.
Kehairanan bagaimana mereka sujud, rupanya ketika sujud kepala mereka masuk ke celah kaki jemaah hadapan!
Kalau cabaran mereka di negara barat tiada tempat untuk solat, cabaran mereka di negara Mesir adalah banyak tempat solat tapi kecil dan sentiasa penuh. Adalah suatu kebiasaan ketika solat yang menjadi kebesaran Islam (Solat Jumaat, Terawih, Raya) jemaah melimpah hingga ke jalan raya.
Maka sepanjang berada di sini telah merasa pengalaman solat di bawah terik mentari musim panas. Pernah juga sujud di atas tar jalan raya. Sesekali angin bertiup membawa bau hapak hancing entah dari mana. Jangan lupa hiruk pikuk kebingitan hon kereta yang melintas laju di belakang jemaah dengan jarak cuma beberapa sentimeter dari tumit.
Pernah juga sesekali ditemani anjing yang berkeliaran. Agak menakjubkan kerana anjing sungguh pandai berjalan tanpa menyentuh sejadah. Kalau sempat rakam mungkin boleh upload ke internet dengan tajuk mengujakan “Subhanalllah, Anjing Tak Ganggu Jemaah Solat!” Bakal viral dalam masa beberapa hari. Orang kita kan suka benda-benda menakjubkan seperti ini.
Pengalaman-pengalaman ini kita sebut supaya dapat berkongsi rasa bahawa kita semua hanyalah hamba yang hina apabila berada di sisiNya. Tiada lagi kepentingan dunia dan keselesaan yang sementara. Semua ditinggalkan ketika menyembah Dia.
Kekesalan yang berlaku apabila masyarakat kita gagal membuang perasaan ini ketika solat.
Inginkan tempat solat yang luas, sengaja menjarakkan kaki ketika berdiri. Tak ingin kepanasan, mencari tempat duduk di bawah kipas. Tak suka sempit, sangat susah merapatkan saf. Tak suka bunyi bising, anak-anak tak dibawa ke masjid.
Alasannya? Mahu khusyuk dalam solat. Kononnya.
Tapi, kita bukannya kena khusyuk untuk solat. Kita cuma kena solat untuk khusyuk.
Pernah dengar kan? Sahabat yang solat untuk membuang panah di badannya.
Tapi kenapa kita tak ambil pengajaran? =)