Dunia perubatan sebenarnya dunia yang unik. Unik dalam erti kata mempunyai ruang yang terasing daripada hukum dunia manusia biasa.
Dalam mengenalpasti penyakit yang dihadapi manusia, proses pertama yang mesti dilalui adalah history taking. Kata mudahnya, history taking bermula apabila seorang doktor bertanya, “Pakcik sakit apa?” Pensyarah universiti juga selalu menegaskan history taking yang cemerlang selalunya menyumbang 60-80% kepada diagnosis penyakit. Sentuh-sentuh dan x-ray kadang-kadang hanya menyumbang kepada confirmation, mengesahkan sangkaan yang dibuat.
Dalam history taking, manusia perlu bercerita. Tiada rahsia antara manusia dan doktor. Aib diri sendiri, aib pasangan, cerita rumah tangga, cerita tempat kerja, kecurangan di Thailand, pergaduhan dengan rakan, dalam sesetengah kes perlu didedahkan. Gagal menyampaikan cerita tersebut mungkin menyumbang kepada salah diagnosis, atau gagal mengelakkan penyakit berjangkit kepada orang lain. Tahukah anda haram hukumnya menceritakan keburukan orang lain? Apatah lagi mendedahkan aib sendiri.
Ada juga situasi dalam satu peperangan, Yahudi menentang Islam. Doktor yang dihantar ke medan perang tersebut sedang bersiar-siar di tepi pantai apabila melihat seorang askar Yahudi cedera parah terkulai lemah. Setelah diperiksa, manusia tersebut masih boleh diselamatkan. Namun begitu, fatwa Sheikh Yusof Qardhawi pada waktu tersebut adalah wajib dibunuh setiap manusia Yahudi yang wujud di muka bumi. Doktor tersebut berada dalam dua persimpangan: janji setia menyelamatkan sesiapa sahaja tidak kira zalim, pendosa, adil, amanah; atau janji setia dalam agama wajib terikat dengan kata ulama’ besar umat Islam.
Dalam perbahasan kes euthanasia (mercy killing), pesakit yang brain dead (mati otak) adakah boleh ditamatkan riwayat mereka atau perlu berusaha mengekalkan nyawa mereka? Jika ditanya kepada ahli keluarga, pejalan kaki, juruterbang, buruh binaan mahupun tukang sapu sampah, sudah pasti mereka mengatakan jantung masih bergerak, tubuh masih hangat, dada masih bernafas – manusia yang sedang terlantar ini masih hidup, haram hukumnya dibiarkan mati. Namun jika ditanya alim ulama, jawapan mereka – yang menentukan manusia itu hidup atau mati adalah para doktor. Bukan manusia biasa.
Sama juga dalam perbincangan kes perbidanan dan sakit puan, idea pemisahan jantina dalam kepakaran tertentu nampak sungguh cantik namun tidak praktikal. Usahkan perbidanan dan sakit puan, pemisahan kepakaran jantung (cardio) dan bedah am (general surgery) sudah merumitkan keadaan dalam sesetengah kes. Praktikal dunia sebenar, ibu bapa dan suami sudah merungut apabila perempuan mereka pulang lewat malam dalam keadaan Malaysia masih aman, bagaimana pula sekiranya kita ingin menghantar pasukan menuju tempat bencana alam yang penuh cabaran? Tempat yang mangsanya berbilang lelaki dan perempuan, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak, belum bersalin dan telah bersalin.
Cadangan doktor lelaki hanya dibenarkan masuk campur urusan perbidanan dalam keadaan darurat tanpa sebarang latihan waktu normal? Jawabnya mengundang musibah. Aset paling penting seorang doktor adalah pengalaman, bukan pengetahuan. Darurat bagi manusia mungkin nyawa, tapi darurat bagi doktor adalah pengalaman dan skil. Kedua-duanya jika hilang boleh mengakibatkan kematian.
Fatwa bererti hukum yang ditentukan untuk manusia tertentu pada keadaan tertentu. Manusia yang datang ke hospital penyakit mereka mungkin sama, tapi umur yang berbeza sudah membuatkan perancangan rawatan mereka berbeza. Kata lainnya, setiap pesakit sebenarnya diberi fatwa yang berbeza.
Kesimpulannya?
1. Daripada seorang senior berkata seorang doktor, “Jantina manusia ada tiga; lelaki, perempuan, dan doktor.” Dalam maknanya, tapi hingga hari ini masih saya fikirkan.
2. Doktor sebenarnya seorang mufti bagi pesakitnya. Ulama mungkin menetapkan garis panduan am, tapi doktor yang membuat keputusan akhir dan melaksanakan. Maka wajib seorang doktor memahami agama secara sahih terutamanya fiqh perubatan. Atau lebih keji boleh dikatakan ulama tidak layak menentukan apa yang seorang doktor perlu lakukan haha
3. Fikir sendiri. Semua nak kena suap buat apa ruang komen di bawah kan? komen Facebook tak berguna, bukan saya boleh baca. Tak seronoklah takleh gaduh =P
IKLAN!
Tiap-tiap pagi minum Nescafe boleh jadi seizure kalau tak amik satu pagi. Bila Milo nak sampai?