Telefilem Terlewatkah Cinta Kita ini bukan drama yang mesti tonton, tapi sengaja saya coretkan kali ini sebagai kajian kes. Haha. Sekali sekala perlu berlatih menulis.
Lakonan Fahrin Ahmad (Razif) dan Eira Syazira (Balqis). Dibantu oleh Farahdhiya (Aina), Liza Abdullah, Catriana Ross, Khairil Anwar, dan Khaty Azian. Nama-nama yang saya kira cukup lama dalam bidang drama. Maka sedikit sebanyak menggamit memori bila nampak Khaty Azian dalam drama ini – mak Haliza Misbun dalam Cinderella.
Mengisahkan Razif yang bertemu semula dengan kawan lama AKA bekas tunang, Balqis ketika melawat isterinya Aina di hospital. Balqis waktu itu bekerja sebagai jururawat, lalu dia meminta bantuan Balqis untuk menjaga Aina di rumah. Ingin dijadikan cerita, mereka berdua kembali bersatu.
Intro drama ini waktu kredit dimainkan perlu dipuji, kerana menceritakan secara ringkas kisah persahabatan Razif dan Balqis, kisah pertunangan mereka, dan bagaimana putusnya pertunangan mereka setelah pertemuan Razif dan Aina. Maka intro kredit boleh berdiri dengan sendiri sebagai music video lagu tema. Kata lainnya telefilem ini adalah sambungan music video tersebut.
Selain itu, telefilem ini juga memaparkan salah faham orang awam terhadap penghidap penyakit AIDS, digambarkan dengan pemakaian angkasawan sewaktu Razif membersihkan badan Aina. Agak exaggerated lalu segera dibetulkan oleh Balqis.
Namun begitu ada banyak cacat cela yang perlu dibaiki. Pertama sekali drama Melayu biasanya kurang teliti dalam perkara yang tidak sepatutnya silap. Sebagai contoh pemakaian uniform tentera Razif. Ada sahabat saya seorang tentera meluahkan kekecewaan atas kesilapan yang berlaku. Sama juga waktu Balqis ada exam keesokan harinya, beliau cuma baca kamus? Selalunya kalau bersedia untuk exam, meja dan katil penuh bersepah dengan nota untuk dibaca, terutamanya kalau paper yang susah.
Watak Farahdhiya sebagai Aina juga tidak diolah dengan baik, seperti hanya pelengkap kepada cerita. Flashback dosa beliau sering diulang sebagai perbandingan Aina dan Balqis namun tiada penutup yang sesuai. Hanya kantoi dengan suami setelah Razif disahkan negatif HIV. Ini juga satu flaw drama ini; sekiranya Razif yakin dia tidak menghidap HIV sejak awal, kenapa beliau tidak syak sesuatu pada Aina? Gaya beliau juga seolah-olah sudah tahu kecurangan Aina apabila sering menasihati Aina agar bertaubat, tapi alih-alih mengamuk apabila menjumpai video isterinya dengan lelaki lain.
Saya juga tidak senang hati dengan ending telefilem ini. Dalam apa jua teknik penceritaan, sering diulang ayat “Show, don’t tell“. Tidak kira penulisan cerpen, novel, mahupun pembikinan drama.
Maka pengakhiran dengan memaparkan ayat “Razif dan Balqis akhirnya hidup bahagia” bagi saya adalah tidak perlu dan seperti tidak berkesinambungan dengan scene terakhir yang menunjukkan seolah-olah Balqis meninggal. Bagi saya lebih elok ditukar: Balqis yang lemah tidak berdaya lantaran merindui suaminya tiba-tiba menjadi segar apabila Razif datang. Mungkin elok jika ditambah mereka berpelukan sambil menangis. Agak tidak logik tapi tidak begitu melampau dan lebih menzahirkan emosi pada ketika itu.
Ingat, penceritaan maknanya Show, don’t tell.
Pemilihan lagu OST dia menarik, yang ini boleh dipuji. Repvblik Cinta – Sandiwara Cinta. Lagu seorang lelaki yang mengharapkan kejujuran daripada kekasihnya yang curang. Membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana penerimaan Razif sekiranya sejak awal lagi Aina berterus-terang atas kecurangannya? Berpisahkah? Menerimakah? Soalan untuk diri sendiri juga sebenarnya.
Apa pun, telefilem ini berbaloi ditonton. Tidak membosankan, sejam setengah berlalu begitu sahaja tanpa sedar. Mungkin kerana Fahrin Ahmad sangat kacak
Harapan saya juga agar penulis skrip boleh cari ayat lain yang lebih sedap berbanding mengulang ayat “Apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya”. Sangat cliche. Rasa muak mendengarnya.