Cerpen: Titik Hitam Pada Kertas Putih

Rahim guling-guling atas katil. Rambut serabai, muka masam. Bantal golek sudah atas lantai, ditendang-tendang waktu berguling tadi. Selimut sudah rupa kain buruk, berpintal-pintal di hujung katil.

Amir yang sedang main Counter-Strike berpaling ke belakang. Geleng-geleng kepala melihat teman sebiliknya.

“Woi, engkau kenapa?” Dia boleh teka kenapa Rahim begitu, tapi sengaja mahu memulakan perbualan.
usrah-amir-rahim
Rahim duduk di birai katil. Bantal golek dicapai dari lantai, dicampak ke satu sudut.

“Aku kena reject lagi.”

Amir ingin ketawa tapi ditahan dalam hati. Masuk kali ini sudah tiga kali nampaknya Rahim kena tolak. Gagal mendapat perempuan yang dingini.

“Kes engkau memang pelik. Aku tak tahu kenapa selalu kena reject. Kalau aku jadi perempuan memang dah lama aku terima.”

“Tak payah nak membakar, aku tengah sedih berair mata. Tak pasal-pasal nanti mendidih,” Rahim menyembam muka ke bantal.

“Serius. Engkau dah lah handsome. Anak orang kaya, harta juta-juta. Badan tough ada six packs. Cemerlang dalam pelajaran. Tahu serba-serbi. Bijak berkata-kata. Pandai memasak dan buat kerja rumah dengan sempurna. Apa lagi perempuan mahu?”

Rahim bangkit semula, menyandar pada dinding. Bantal golek dipeluk erat.

“Itulah, aku sendiri pun hairan.”

Celaka, kena puji sikit dah riak, Amir menyumpah dalam hati. Tapi memang benar apa yang dia puji. Lelaki-lelaki dalam asrama pelajar perubatan Mesir tajaan FAMA semuanya tabik hormat pada Rahim. Kalau Rahim terkacau tunang mereka pun, sanggup berundur dek inferiornya mereka dibandingkan dengan Rahim. Memang kalah.

“Engkau ingat lagi yang mula-mula aku taqdim dulu?”

Amir cuba ingat balik memori lama. “First, Siti kan? Yang engkau taqdim direct pakai Message Facebook.”

Rahim angguk-angguk. Amir gelak walaupun dia tidak pasti samada kes tersebut kelakar atau tidak.

“Itu memang silap besar. Engkau tahu tak perempuan pantang kalau lelaki taqdim direct?”

“Waktu itu mana aku tahu. Direct pakai Message Facebook senang. Aku dan dia sahaja yang tahu. Apa masalahnya? kalau nak, balas ya. Tak nak, balas tidak. No hard feeling, no heart feeling.

Logiknya memang begitu. Tapi Amir pernah baca artikel, perempuan rasa offended kalau dipinang secara terus. Tidak gentleman. Apatah lagi kalau perempuan tersebut jenis yang baik-baik dan sangat menjaga hati dan perasaan.

Second, Nurul. Selamba engkau pergi taqdim tunang orang. Nasib baik kali itu kau pakai orang tengah.”

Rahim tekup muka dengan bantal. Ini yang dia bengang kalau orang cakap bertunang mesti dirahsiakan. Melampau sangat sampai kalau tanya pun tak nak jawab. Bila bagi tahu nak masuk meminang baru gelabah bagi alasan tunangan orang.

Bagi beliau rahsia pertunangan mesti ada matlamat, bukan sekadar ikut-ikutan. Supaya tak jadi tiket berdua-duaan. Jadi adat kalau pakai alasan tunang, orang sekeliling tak kisah pasangan keluar berduaan. Memanglah salah. Tapi kalau setakat orang tahu, bukankah lebih sejahtera. Tiada siapa yang memendam dalam diam.
bait-muslim
“Formula mudah, Tahun Enam yang lawa dan engkau berkenan, semuanya taken. Kira dah terlewat.” Amir pusing-pusing kerusi yang dia duduk. Rahim rasa nak stress balik.

“Sebab itu kali ini aku memang dah pastikan bahawa Wan bukan tunang orang. Pakai Unit Bait Muslim lagi, takkanlah sebab belum bersedia? Belum bersedia memang tiada dalam list.”

“Dia tahukah engkau yang taqdim?”

Zaujah Hafizi pujuk, siap bagi tahu nama aku lagi.”

“Kahkahkah sengal.” Amir mengilai macam syaitan. Dia dah kata tadi, saham Rahim memang tinggi. Beritahu nama dengan harapan pinangan lebih senang diterima, tapi akhirnya tetap kena tolak. Pening memikirkannya.

Pakej suami sudah lengkap, cara taqdim dah bersopan berhalus, calon perempuan pun belum berpunya, apa lagi yang kurang? Apa lagi perempuan mahu?

“Aku yakin satu sahaja sebabnya,” Amir cuba bagi jawapan untuk menghilangkan serabut di kepala Rahim.

“Apa dia?” Rahim pandang Amir.

“Engkau tak cukup sikah.” Das tembakan Counter-Strike bergema semula.

“Siapa suruh taqdim akhawat,” tambahnya lagi. Rahim sambung berguling, meraung atas katil. Esok kena turun solat jemaah nampaknya.

VIDEO
Layang-layang, warna-warni kehidupan, negara-negara Asia, 240 juta manusia. Ini sungguh mengharukan.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

4 thoughts on “Cerpen: Titik Hitam Pada Kertas Putih

  1. Alamak kenapa emoticon tu keluar pelik.

    Isu ikhwah akhawat rupanya masalah global. Kih3.

Komen di sini, bukan di tempat lain