Prioritize Organize

Waktu kecik-kecik zaman sekolah menengah dahulu, asrama pernah buat kem motivasi untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Saya pada waktu tersebut Tingkatan Lima. Kem ini ada sejarah hitam tersendiri, tapi tidak akan diceritakan di sini.

Kami semua – Tingkatan Tiga dan Lima – dikumpulkan bersama untuk menjalani aktiviti yang sama. Menariknya, yang menjadi penghulu selaku pemimpin kami pada waktu tersebut bukan dari golongan tua tapi Tingkatan Tiga. Segala pergerakan kami diatur oleh anak muda yang pada ketika itu sudah tentu menjentik ego Tingkatan Lima selaku orang lebih tua, walaupun saya tidak peduli sangat siapa pun yang menjadi penghulu asalkan munasabah.

Modul ini sebenarnya disengajakan, dan memang dirancang banyak insiden yang menjatuhkan air muka Tingkatan Lima oleh seorang budak Tingkatan Tiga. Namun sudah tentulah, pada akhirnya modul ini diceritakan tujuannya dan soalan menusuk kalbu pada waktu tersebut, “Adakah kamu Tingkatan Lima sanggup berada di bawah telunjuk seorang Tingkatan Tiga?”
infiru-talkshow-efc
Hari ini ada program motivasi talkshow sempena Exam Fever Campaign, (EFC – EFFECT) atau nama Melayunya Kempen Demam Peperiksaan (KUDAPAN). Program PERUBATAN sekarang ini kebanyakannya bersifat kanak-kanak yang berulang setiap tahun, hinggakan kadang-kadang jiwa tua dah luntur keinginan mahu pergi. Tambahan pula program motivasi.

Motivasi sebenarnya datang dari dalam diri, bukannya dicari atau diberi. Realitinya, mereka yang mencari bahan motivasi adalah mereka yang sudah termotivasi, tinggal lagi mahu mengembangkan motivasi mereka tersebut. Kalau dibiarkan, samada kekal di takuk lama ataupun hilang ditelan masa. Sebab itu kita bagi makan bahan motivasi supaya berkembang.

Sebenarnya mahu bercerita bahawa perkara yang kita pandang remeh tetap ada manfaatnya. Panel-panel bukanlah seseorang yang saya rasa mampu memberi sesuatu yang sama taraf dengan duduk saya sebagai pelajar perubatan Tahun Enam. Ustaz Shafiq Sahimi bukanlah pelajar perubatan, sudah dijangka beliau akan membebel dengan menggunakan ayat Quran dan hadis. Siti Khadijah pula sama tahun dengan saya, juga masih terkapai-kapai mahu menghabiskan pengajian yang masih berbaki. Maka berbaloikah pergi ke program ini? (Tiba-tiba rasa perenggan ini ditulis dengan sungguh melampaui batas kemanusiaan, anggap sahaja ini bayangan peristiwa sebelum ke point seterusnya haha)

Peristiwa kem tadi, dengan program hari ini – juga situasi-situasi lain dalam kehidupan – saya rasa tidak banyak bezanya. Ego kita tinggi – merasakan kita lebih hebat – hinggakan kita tidak nampak manfaat yang ada pada orang lain. Perenggan di atas saya catit “ditulis dengan sungguh melampaui batas kemanusiaan” kerana directly kita tidak berfikir sedemikian tapi indirectly kita sering memberi bermacam-macam alasan bermakna sedemikian.

Sesungguhnya manfaat itu tidak terdapat pada orang yang hebat, manfaat itu didapati oleh orang yang hebat. Walaupun pada perkara yang biasa-biasa. Walaupun daripada orang yang biasa-biasa.

Prioritize organize. Hari ini dapat satu kata kunci.

IKLAN
A good reason for you to put that smartphone down NOW and reconnect with family. Disconnect to reconnect.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain