Ayat ini menceritakan kisah Nabi Musa AS yang diperintahkan ALLAH agar pergi bertemu dengan seseorang untuk belajar sesuatu daripadanya. Saya kira semua orang tahu kisah ini.
Setelah bertemu Nabi Khidir AS, Nabi Musa AS menyatakan hasratnya untuk mengikut beliau dengan harapan dapat belajar sesuatu, namun Nabi Khidir AS awal-awal lagi menolak dengan alasan:
“Sesungguhnya engkau tidak akan mampu untuk bersabar denganku.” (QS 18:67)
Namun Nabi Musa tetap berkeras dan berjanji akan sabar dengan apa jua yang terjadi. Nabi Khidir lalu memberi syarat:
“Sekiranya engkau mengikutiku, maka jangan tanya apa-apa sehinggalah aku sendiri yang menjelaskannya.” (QS 18:70)
Lalu berjalanlah mereka bersama. Mula-mula sekali Nabi Khidir membocorkan sebuah kapal, kemudian membunuh seorang budak dan akhirnya membaiki sebuah tembok di kota yang enggan memberi mereka makanan. Dalam ketiga-tiga peristiwa, Nabi Musa bengang dengan tindakan Nabi Khidir yang dikira tidak munasabah. Setiap kali juga Nabi Khidir mengingatkan baginda tentang perjanjian mereka berdua dan setiap kali jugalah Nabi Musa tersedar dan berjanji untuk bersabar. Akhirnya pada kali ketiga, Nabi Khidir menjelaskan sebab perbuatan-perbuatan beliau sebelumnya dan meninggalkan Nabi Musa.
Apa hikmah cerita ini?
Sekiranya cerita ini sedang berlaku depan mata kita sekarang, akan wujud dua puak; satu puak bersama Nabi Khidir manakala satu puak bersama Nabi Musa.
Puak Nabi Khidir sudah tentu mempunyai sangka baik yang tinggi terhadap beliau, dengan taraf kealiman yang dimiliki, hingga ALLAH sendiri menyuruh Nabi Musa pergi menuntut dengan beliau. Puak ini juga dikenali sebagai macai, pentaksub, ataupun pencandu.
Puak Nabi Musa pula sudah tentu bersama penentang kezaliman; adakah perbuatan membocorkan perahu dan membunuh kanak-kanak harus dibiarkan? Sudah tentu tidak, malah perlu disaman kerana telah melakukan penipuan, main-main dalam perkara halal haram malah melakukan kezaliman.
Namun begitu ALLAH bawa kisah ini sebagai pengajaran bahawa apabila berlaku perbezaan pendapat antara mereka yang berilmu, kita kena hormat pandangan masing-masing. Dalam situasi ini tiada siapa pun yang salah; Nabi Musa mahupun Nabi Khidir. Orang kata Nabi Khidir lebih mendekati kebenaran sebab ada ilmu ladunni mampu melihat masa depan, namun Nabi Musa juga benar kerana budak kecil jika ditarbiah ibu bapanya pada jalan kebenaran sudah tentu menjadi ulamak besar. Kita tak boleh nafikan usaha mampu mengubah takdir dan pilihan yang ALLAH telah sediakan.
Pengajaran kedua, bila alim ulamak bercakap, kita pergi main jauh-jauh tak payah masuk campur bidang yang kita tidak tahu apa-apa. Apatah lagi melenting tidak tahu hala arah tuju. Nanti akan terbongkar kedangkalan ilmu yang kita miliki, terdedah keburukan akhlak yang ada dalam diri.
“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak ada ilmu pengetahuan mengenainya?” (QS 18:68)
Kesimpulan akhir, kita boleh untuk tidak bersetuju dan mempersoal apa yang kita rasa pelik. Namun perlulah dengan adab sopan dan tatasusila yang tinggi. Kadang-kadang apa yang kita nampak tak sama dengan apa yang orang lain nampak. Paling penting mesti ada sangka baik terhadap mereka yang berautoriti dalam bidang tersebut. Bukankah bersangka buruk itu sebahagian daripada dosa?
Semoga ALLAH lindungi diri kita daripada terjebak dalam fitnah dan keburukan yang sedang berleluasa sekarang.
DERMA KILAT!
Bantu 6 mahasiswi yang kemalangan di Iskandariah. Derma RM1 dapat 1 pahala. Sebarkan jika sayang Islam.