Cerpen: Alternatif Natural

Jilaka menjenguk melalui tingkap. Dilihatnya jiran sebelah rumah berdiri di sebelah kereta sambil menggaru kepala. Muka berkerut seolah ada masalah.

“Wei Hanat, kenapa?” Jilaka menegur jirannya.

“Minyak habis, Jilaka. Aku lupa nak isi semalam. Hantar aku beli sebentar boleh?”

“Hmm rasanya tidak perlu guna minyak petrol, entah bahan kimia syarikat Yahudi mana yang buat. Aku ada jual minyak sawit Saji. Natural keluaran bumiputera Melayu Islam. Selamat siap boleh guna untuk masakan.” Jilaka memberikan cadangan.

“Boleh ke?” Hanat masih ragu.

“Aku baru sahaja Google, ada kajian menyatakan minyak sawit boleh guna untuk kereta. Kita ikhtiar dahulu. Dengan izin Allah kereta ini boleh berjalan.”

Jilaka masuk ke dalam rumah kemudian keluar dengan sebotol besar minyak sawit Saji 25 liter.

“Bismillah.” Jilaka membaca beberapa ayat lazim sambil menuang minyak ke dalam tangki kereta.

Selepas membayar RM200 kepada Jilaka, Hanat cuba menghidupkan kereta. Masih tidak berjaya.

“Ini takdir. Kita sudah berusaha tapi Allah tidak izinkan. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.” Jilaka cuba memujuk Hanat.

Dia kemudian masuk ke dalam rumah sambung menonton drama Akasia Suami Aku Hosmen, sementara Hanat sambung menggaru kepalanya kembali. Berkira-kira mahu menelefon mekanik.

Kau dah bagi cadangan pelik kemudian buat bodoh sambil berselindung dengan nama Tuhan. Perangai celaka.


  1. S. Mekhilef, S. Siga, R. Saidur. “A review on palm oil as a source of renewable fuel.” Renewable and Sustainable Energy Reviews. Volume 15, Issue 4. May 2011.
  2. “Saji – Jenama Islam.” Mukmin Brands. Web. May 2013.

Penafian: Nama dan jenama yang diguna dalam cerita ini hanya untuk tujuan pendidikan dan tidak melambangkan pendirian rasmi mereka di alam nyata.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain