“Ma dah tak ada?” Soalan itu menggamit perhatian kami di ruang tamu. Kakak menggawangkan tangan membuat isyarat tangan tak-ada.
Azan Maghrib baru sahaja selesai menandakan waktu berbuka. Hanya sempat meneguk segelas air. Bergegas kami membasuh tangan dan menuju ke dalam bilik.
Di situ, terbaring kaku tidak lagi bernafas tubuh Ma. Masa seolah terhenti kaku. Tidak tahu apa perlu kami adik-beradik lakukan. Segalanya kosong.
Rasanya hampir dua minggu Ma sakit-sakit. Beberapa kali juga aku berbalas mesej dengan Abah tentang keadaan Ma. Tapi mesej sekadar mesej, tak pernah terbayang bahawa sakit Ma sebegini teruk.
Ada juga sahabat Ma merangkap guru satu sekolah mesej di Facebook, suruh pulang menjenguk. Waktu ini aku sudah gusar dengan pelbagai kemungkinan, tapi masih sedapkan hati Ma cuma sakit biasa. Sementelahan tempat kerja sangat sibuk. Dulunya enam orang jaga tiga wad, sekarang hanya dua orang berlari-lari supaya semua pesakit tak terabai.
Akhirnya Abah sendiri telefon petang semalam. Usahakan supaya balik sekejap. Aku habiskan syif petang dengan fikiran menerawang. Berkira-kira bagaimana mahu ambil cuti. Dua hari. Cuma dua hari untuk balik dari Sarawak ke Terengganu.
Aku beritahu ketua pasukan aku perlu balik. Syif malam esok pun aku sudah kawtim dengan kawan, nanti aku gantikan syifnya. Sebaik sahaja menerima tanda OK, aku beli tiket paling awal. Itupun cuma ada trip tengah hari.
Sampai di KLIA ada satu panggilan masuk. Dr Sofia Pakar Perubatan Sakit Puan. Beliau baru tahu aku ambil cuti kecemasan hari itu. Silap aku juga tak beritahu orang atasan, sekadar kawtim sesama hosmen. Rasa lega sedikit bila Dr Sofia bagi cuti tiga hari, extra satu hari daripada rancangan asal.
Transit KLIA sejam, sebelum terbang ke Kuala Terengganu. Ateh dah menunggu di Lapangan Terbang Sultan Mizan. Kami pecut terus ke rumah di Dungun. Perjalanan dua jam jadi satu jam lima belas minit. Sampai di rumah aku jenguk Ma sekejap dalam bilik. Adik-adik yang lain tengah baca Yasin di sisi beliau.
GCS E2V2M5. Gasping. Waktu itu baru aku rasa bahawa masa yang aku ada dengan Ma tak lama. Waktu aku tahu Ma menghidap kanser payudara tahap empat dengan metastasis ke tulang dahulu, aku tak pernah rasa sedemikian. Rasa bakal kehilangan.
“Sempatlah Ma tengok Balong kahwin.” Itulah yang selalu diulang tiap kali aku telefon rumah. Sekarang aku belum kahwin, tapi Ma sudah siap-siap mahu pergi.
Jam sudah dekat waktu Maghrib, jadi Tok Su suruh kami adik beradik berbuka dahulu. Kami cuma menurut. Baru sahaja meneguk air, Kakak sudah panggil kembali ke bilik.
“Anak-anak bolehlah lap badan ibu,” Tok Su memecah kekakuan tadi. Baldi berisi air dihulurkan.
Perlahan aku berlutut di sisi kiri Ma. Kain basah dalam baldi dicapai. Kakak pula mengambil tempat di sisi kanan.
Tangan kiri Ma aku genggam. Masih terasa hangat. Tangan inilah yang bertungkus lumus membesarkan kami. Yang membelai kami penuh kasih sayang. Yang membetulkan kami tiap kali melakukan kesalahan.
Tanpa sedar air mata berjurai keluar. Anak sulung mesti kuat demi adik-adik, tapi aku merasakan akulah yang paling lemah saat itu.
Aku lap perlahan tubuh Ma. Baru aku sedar banyaknya luka-luka di tubuh Ma, tanda betapa lama Ma terlantar di atas katil. Bersih dijaga penuh kasih sayang oleh adik-adik.
Saat aku menyentuh kaki beliau, terimbas kembali semua dosa-dosa aku terhadap beliau. Jari jemarinya aku bersihkan dengan kain di tangan. Menggeletar tangan aku seolah-olah mencari di mana syurga kami terletak.
Maafkan anakmu, kerana selalu berjauhan darimu. Maafkan anakmu, kerana bertahun tak pernah menelefon bertanya perkhabaran. Maafkan anakmu, kerana selalu membuat dirimu menangis.
Serius tolonglah jangan jadi anak derhaka, kerana saat inilah kau akan rasa penyesalan tak henti. Rasa kau sepatutnya buat yang lebih baik untuk ibu bapa kau.
Al-Fatihah untuk bonda kami anak-anak Azlan, Rosilawati binti Ramli yang kembali menemui Ilahi tanggal 5 Jun 2017M bersamaan 11 Ramadan 1438H.