Bolehkah kalau saya simpulkan buku ini dengan sebaris ayat sebegitu? Hampir semuanya kisah sedih tapi menguatkan. Seolah-olah kita bersama 22 orang perempuan duduk bercerita suka duka dalam satu pillow talk. Sambil salah seorang mengomel kenapa lelaki suka pandang buah dada. Man of culture katanya.
Lagipun awal-awal lagi saya sudah tertarik dengan prakata;
Kenapa kita – perempuan yang mahu jadi kuat – ‘takut’ dengan imej sensitif dan lemah lembut? Kenapa kita ‘takut’ untuk dilihat memakai blaus bunga-bunga dan gaun merah jambu?
Wani Ardy. “Prakata i.”
Situasi berulang tiap kali saya keluarkan cap nama warna merah jambu untuk sain autograf atas kertas triage. Ditemani dengan stetoskop raspberry ala-ala warna pink di leher. Sambil pegang telefon pintar jenama Samsung edisi Bubblegum Pink yang terlindung di sebalik kulit warna maroon. Pasti ada yang tanya, “Kenapa semuanya pink?”
Bukankah warna merah jambu senang dilihat berbanding hitam atau kelabu? Jujurnya itu sahaja sebab meredah kedai membelek berkali-kali. Bukan kerana warna merah jambu sinonim dengan perempuan. Bukan juga kerana mahu dilihat sebagai perempuan.
Tak akan jatuh maruah seorang perempuan dilihat sebagai seorang ‘perempuan.’ Dan tak akan jatuh maruah seorang lelaki dilihat seolah-olah ‘perempuan.’
Tiba-tiba sahaja buku ini sampai hari ini. Kebetulan pula kerja pagi balik petang, pukul 5 posmen sudah hon di luar rumah. Macam sudah berjanji, di kala bungkusan-bungkusan lain masih terperap dalam stor Pos Laju menanti masa tiba di tangan pembeli.
Beginilah perempuan-perempuanku,
Indri (Finn Anuar. “Kisah Seorang Perempuan Yang Ditimpa Musibah Berganti-ganti.”)
menjadi perempuan adalah menjadi segalanya
Meski dipatahkan berkali-kali
Kita harus tumbuh lagi
lebih lebar
lebih tinggi
Buku Untuk Perempuan Yang Bernama ___ ini boleh dibeli melalui Facebook Helium Books