Ada tiga babak tunjuk tulisan misteri dalam Mr Queen episod 16 semalam.
Satu, Byeong-in ceroboh masuk bilik Soyong jumpa buku Dongmonseongseup. Belek-belek jumpa satu halaman kemudian buat muka perasan sesuatu dan dia koyakkan halaman tersebut. Masuk bilik orang cari surat cinta sudahlah, namahal sebat buku orang pulak haha.
Kemudian babak di penjara, pemberontak Donghak ditunjukkan satu tulisan yang kononnya hanya pengikut Donghak boleh baca. Diikuti dengan babak Byeong-in lagi sekali tunjuk ini adalah kod misteri pengikut Donghak.
Jadi apa tulisan misteri tersebut?
Mungkin Hangul.
Hangul dicipta oleh King Sejong the Great pada 1443M sebagai usaha memandaikan bangsa. Dengan Hangul, golongan B40 sampailah T20 boleh belajar dan guna, berbanding Hanja yang cuma dipelajari VIP dan pembesar.
Tapi sebenarnya tulisan tersebut masih mendapat tentangan golongan elit T20 yang menganggap cuma Hanja tulisan rasmi untuk Joseon. Sehinggalah zaman King Yeonsangun tahun 1504, Hangul diharamkan terus kerana rakyat marhaen mengkritik kezaliman Sultan menggunakan tulisan Hangul.
Sama ada tulisan Hangul hilang terus dan tak digunakan langsung, wallahua3lam. Hangul muncul kembali dalam 1700-an apabila digunakan untuk karya-karya pop ketika itu. Contohnya novel Temptation of Wife dan World of Married Couple.
Apa kaitan Hangul dan Donghak?
Donghak adalah aliran Neo-Confucianisme yang diasaskan sekitar 1860M oleh Choe Je-u. Gerakan ini ala-ala Dasar Pandang ke Timur, sebagai reaksi kepada pengaruh Barat yang semakin berkembang terutamanya ajaran Kristian.
Donghak menekankan konsep nasionalisme, demokrasi dan hak asasi sama rata manusia sebagai jalan menuju ke sorga dan melawan pengaruh Barat yang saban hari mengikis nilai keJoseonan. Ajaran ini ternyata jadi tarikan kepada golongan kasta bawahan yang tertindas sekian lama bawah kuasa yangban.
Familiar? Ini intipati usrah Soyong-Cheoljong tiap-tiap malam.
Konsep nasionalisme ini juga dipercayai menjadi pencetus kebangkitan Hangul dalam usaha reformasi Joseon. Jadi tak hairan kalau kod rahsia Donghak yang disebut dalam drama ini adalah Hangul.
Cuma ironi sikitlah. Kebangkitan Hangul sebenarnya juga hasil usaha missionary Barat yang guna Hangul dalam sukatan pembelajaran mereka. Dakwah akan jadi lebih mudah kalau guna tulisan yang boleh dibaca semua lapisan masyarakat.
Usaha-usaha reformasi Joseon ini mengalami turun naik pertumpahan darah, hingga akhirnya Hangul digunakan dalam urusan rasmi penghujung 1895M.
Tapi ini cuma teori. Sama ada akan dijelaskan dalam episod seterusnya mungkin ya, mungkin tidak. Percubaan untuk baca tulisan dalam drama itu pun tak berjaya, mungkin kerana teori ini salah (kod rahsia bukan Hangul) ataupun Hangul zaman lama tak sama dengan Hangul moden.
Telah disiarkan dalam Facebook Group GengKDrama