Potong Kaki Selamatkan Nyawa

Petang itu seorang makcik umur pertengahan tahun masuk dengan troli. Ceritanya lemah badan dan rasa sesak nafas selepas makan ubat tidur yang dibeli dari farmasi. Sesekali meracau tak ketahuan.

“Tachypneic and tachycardic. Tapi SPO2 masih maintain 99%,” Hosmen di sebelah memberitahu.

“Ubat apa yang dia ambil?”

Bungkusan kecil dari farmasi dibuka. Ringkas sahaja label ‘tidur’ pada bungkusan tersebut. Kadang-kadang sakit hati dengan label begini. Ubat bentuk bulat warna putih kecil-kecil dilabel ubat tidur. Apa ubatnya? Clonazepam? Atau Midazolam? Mungkin Succinylcholine? Itupun ubat tidur kita bagi sebelum intubat.

Tapi kali ini bernasib baik. Isinya masih dalam papan. Sebiji dah dibuka. Label pada papan ubat dibaca.

Chlorpheniramine. Antihistamine yang selalunya guna untuk hidung berhingus atau kegatalan. Ubat ini biasanya buat orang mengantuk maka tak disarankan guna kalau nak memandu atau buat kerja yang perlu tumpuan penuh. Tapi tak pernah dengar kesan sampingan boleh buat pesakit jadi meracau begini.

Kemungkinan lain, anafilaksis.

“Lungs?”

“Very clear. No creps or rhonchi.”

Aku pakai stetoskop dengar kembali paru-paru untuk memastikan hosmen tidak mensabotaj eMO mereka sesuka hati. Mati nak menjawab. Kain disingkap sekadar untuk periksa kalau makcik ada kaki kembang penuh air.

Akhirnya jawapan teka teki ditemui.

“OKlah. Right foot dusky appearance till knee. Foul smelling also. Likely wet gangrene.”

Elok pula masa itu seorang lagi hosmen balik dengan Full Blood Count, “Total white count 50.”

“Buat satu xray. Rule out osteomyelitis or necrotizing fasciitis. Start sahajalah Tazosin. Bagi oxygen, start IV drip. Gula OK kan? Kalau tinggi terus sahaja start Insulin Sliding Scale.”

Aku bagi arahan sebelum cari semula keluarga pesakit di luar. Dua orang anak muncul dari ramai-ramai manusia yang sedang menunggu.

“Kaki hitam begini sudah berapa lama?”

“Lama sudah. Dekat tiga bulan. Terlanggar pintu. Pergi klinik dia cuma suruh cuci sahaja.”

Rekod dalam kad kesihatan tunjuk pernah melawat klinik kesihatan kira-kira tiga bulan yang lalu. Tapi waktu itu cuma jari kelingking sahaja yang luka.

Sebenarnya selipar tak perlu Muslim-Friendly. Cukuplah Diabetic-Friendly. Kaki tak luka atau melecet. Penghidap kencing manis biasanya tak sedar kaki dah luka disebabkan reseptor sakit kurang berfungsi. Kandungan gula yang tinggi juga menyebabkan luka susah untuk sembuh dan senang dapat jangkitan kuman.

Sebaris perkataan dalam rekod kad kesihatan tersebut menarik perhatian.

DAMA. Discharge Against Medical Advice. Keluarga bawa pulang walaupun setelah diberitahu perlu rawatan lanjut.

“Dulu luka dia sikit, sekarang jangkitan dah sampai ke lutut. Besar kemungkinan perlu potong,” Aku menjelaskan lagi. Anak sulung agak terkejut apabila mendengar saranan tersebut.

“Kalau boleh tak perlu potong, dokter. Cuci sahajalah. Saya rasa kaki dia lagi bagus daripada awal dulu.”

Seriuslah lagi bagus? Hitam sampai ke lutut. Ada bau yang kalau tak biasa hidu boleh muntah. Mujur tak ada ulat atau lalat berterbangan.

Kadang-kadang keluarga dan pesakit tak faham kenapa dokter cadangkan potong kaki. Ini adalah keputusan yang dibuat setelah melalui pertimbangan yang teliti. Kaki yang telah mati adalah tempat pembiakan kuman. Jangkitan yang kuat boleh merebak ke seluruh tubuh dan bakal membunuh pesakit. Antibiotik tak akan sampai ke bahagian kaki yang telah mati. Membuang punca jangkitan adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan nyawa.

“Tak apalah, nanti kita minta doktor bahagian tulang tengokkan.”

Apa yang perlu dirisaukan? Tiada kaki? Teknologi sekarang banyak jenama kaki palsu yang ada. Cuma yalah, proses rehabilitasi agak sukar dan memerlukan sokongan padu semua pihak termasuklah keluarga.

Mengabaikan nasihat dokter adalah kecuaian di pihak keluarga. Tapi dengan rekod DAMA, apa yang boleh diharapkan? Aku cuma menyampaikan, kefahaman tetaplah daripada Allah.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain