Hashtag #MakeSchoolASaferPlace cerita anak murid lawan cikgu ni bukan benda baru. Cumanya kalau nak bantai cikgu tak cukup kalau setakat jadi juara isu, kena ada kabel kuat, duit banyak dan kekal konfiden walaupun bukannya betul pun.
Shining Eun-soo / Still Loving You (2016)
Cerita ini tentang Bit-na budak sekolah kerek dan cikgu Eun-soo. Masa awal-awal jumpa di supermarket dah bergaduh sebab Bit-na kurang ajar dengan orang tua, tapi bila tahu bahawa Eun-soo tu cikgu praktikal baru grad lagilah sedap diorang bergaduh. Sampailah satu hari gaduh2 sampai Bit-na mengadu dekat nenek dia Eun-soo tampar muka dan rotan tangan sampai lebam-lebam.
Pakai naratif guru violent, hasilnya Eun-soo kena dakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan, putus tunang, di-banned daripada jadi cikgu seumur hidup dan tukar kad pengenalan merah. Bit-na dengan konfiden cakap dekat cikgu dia, “Saya cuma menjalankan hak saya sebagai seorang pelajar.” Yalah, mana boleh biarkan cikgu bengis kaki pukul kekal di sekolah kan? Kita perlukan persekitaran selamat untuk anak-anak kita.
Laju ke masa hadapan, mereka berdua bertemu kembali untuk menyelesaikan perseteruan yang tak berkesudahan. Kali ini Bit-na dan Eun-soo jadi ipar kahwin satu keluarga; Bit-na dengan abang, Eun-soo dengan adik. Lagi sedap, ayah Bit-na jatuh cinta dengan emak Eun-soo lalu mereka berdua jadi adik beradik tiri.
Apa kesudahan cerita mereka berdua, kena tonton habis 125 episod x 30 minit.
Cerita ni santai drama opera sabun tipikal yang tak ada bunuh-bunuh orang, tak ada berebut lelaki. Cuma ada seorang budak ego yang kita rasa nak tampar tapi apa nak buat, kalau dah dimanjakan ditatang bagai minyak yang penuh memang susah nak diajar dan ditegur. Muka cantik tapi perangai menyakitkan hati.
Kadang-kadang kita tak rasa benda yang kita buat itu akan bagi impak besar pada orang lain, rasa macam remeh temeh alaa buat video tiktok je pun. Tapi hasilnya jadi besar sampai satu negara bergaduh saling mengecam dan dimalukan. Alaa gurau kasar tempah nama masuk keranda je pun, tapi ramai yang kehilangan ahli keluarga terluka. Ala bluetick je pun tapi sampai tak bertegur sapa.
Kesimpulannya, dunia ini kecil sahaja. Bumerang yang pergi akan berputar kembali. Pengkhianatan hari ini satu hari akan makan diri sendiri. Pusing-pusing akhirnya ayah sendiri kahwin dengan mak orang paling dibenci (tapi comel gilalah diorang kenapalah moment berdua sikit sangat sobs).
Penghujungnya ALLAH sahajalah yang layak menghukum manusia, 125 episod itu cukup panjang untuk kita semua muhasabah ketepikan ego dan berubah jadi lebih baik. Juga untuk kita belajar maafkan orang dan terima orang paling dibenci dalam hidup.