Sekali sekala outstation seronok sebenarnya. Hari ini triaj 200 pekerja syarikat milik taikun balak Sarawak. Semua sudah disahkan positif COVID melalui ujian RTK beberapa hari lalu. Kali ini kerja saringan siapa yang berisiko dan perlu pantauan lanjut.
“Nama siapa?”
“Muhyidin.”
“Muhyidin ke Mahiadin? Nama pada kad ni lain.” Kad vaksinasi warna kuning Sinovac dibelek-belek. Semua pekerja sudah divaksin penuh dua dos bulan Julai.
“Itu salah pendaftar kelahiran, dia pekak sikit.”
“Ada sakit apa-apa tak Din? Darah tinggi, kencing manis, asma, sakit jantung, sakit buah pinggang, kanser prostat, sawan babi?”
“Tak ada dokter.”
“Ada merokok?” Sambil tanya soalan, tekanan darah diambil dan oksimeter diletak pada jari.
“Merokok sikit.”
“Dua tiga hari ini ada rasa tak sihat, tak selesa mana-mana?”
Tangan ralit tekan smartphone. Kerja saringan sebenarnya jadi mudah guna Google Form. Cuma isi sahaja maklumat yang diperlukan. Lagipun kalau perlu penilaian lanjut, kita bawa sahaja ke hospital boleh sembang dan buat apa yang patut.
“Ada rasa demam, batuk-batuk?” Sekadar memberi contoh supaya senang faham.
“Nadai.”
“Ada sesak nafas, sakit dada, muntah-muntah, cirit birit?” Sesekali tangan buat gaya, tak tahulah kenapa. Mungkin rasa memudahkan penyampaian sementelahan bercakap dalam PPE pakai topeng N95 dan pelindung muka agak sukar untuk dengar suara dengan jelas.
“Enggak Dok.” Geleng kepala lagi.
“Makan OK? Ada macam tak boleh nak rasa masin manis atau bau kentut?”
Hilang deria rasa dan bau itu real. Ikut cerita kawan-kawan yang pernah positif COVID, lagi teruk daripada makan makanan hospital. Tak rasa apa-apa langsung.
“OK, banyak saya makan.”
“Ayam goreng sedap lagi la hor.”
Teringat ayam KFC Hot & Spicy budak-budak hosmen beli dua hari lepas. Sedap sampai cirit satu hari. Agaknya tak berkat sebab mereka kena paksa belanja.
“Jalan naik tangga, buat kerja rumah, masak-masak, menyapu tak ada rasa lelah atau letih?”
“Tak ada, Dokter.”
“Tak ada, ke tak pernah buat?”
Din sengih nampak gigi. Biasalah lelaki memang pemalas. Semua benda harap pempuan.
“Disebabkan kamu malas tolong bini buat kerja rumah, saya denda ketuk ketampi. Nanti kamu berdiri duduk berdiri duduk satu minit. Faham ke?”
Din angguk tanda faham walaupun muka sedih. Sudahlah kena COVID, dokter pula denda ketuk ketampi.
Ujian ini paling senang nak buat masa saringan. Tujuannya untuk lihat sama ada oksigen dalam badan pesakit COVID cukup atau tidak apabila dalam keadaan memerlukan tenaga yang lebih.
Selesai satu minit, oksimeter pada jari diperhati. 99% tak ada pengurangan.
“OK lah, ambil stiker hijau ni, boleh kuarantin di rumah.”
“Stiker merah boleh tak Dok? Saya nak masuk hospital.”
Tiba-tiba sahaja minta stiker merah untuk pesakit yang perlu penilaian lanjut di hospital. Namahal?
“Laa, Afendi beria nak keluar hospital sebab dokter pembunuh, kamu nak serah diri pada Yahudi.”
“Bini saya dapat stiker merah Dok, saya nak ikut. Balik rumah tak ada orang nanti siapa nak buat teh tarik?” Din buat muka kesian kelip-kelip mata kucing.
“Kamu ikut dia masuk hospital pun bukannya dia boleh buat teh tarik dalam sana.”
Mudah-mudahan Allah makbulkan doa abah, selamatkan kita daripada wabak yang memisahkan kita semua daripada keluarga. Takkan tiap-tiap bulan nak pergi melancong ke Langkawi naik kapal terbang.
Telah disiarkan melalui Facebook