Namun disebabkan telefilem ini menggondol 8 pencalonan dalam Anugerah Skrin 2013 (Kategori Drama), rasa nak promosi. Kalau belum tonton, harap selepas ini sila cari.
Secara ringkasnya Mawar Putih Tanda Perpisahan adalah kisah cinta. Mengisahkan Sudin (Rosyam Nor), lelaki berumur yang berkahwin dengan budak baru habis SPM, Dahlia (Nad Zainal) dan bagaimana cinta yang berputik antara mereka berakhir dengan tragedi. Ini bukan spoiler kerana tajuk dan OST sudah spoil – ada perkataan “perpisahan” di situ. Maka penonton sudah boleh agak pengakhiran cerita ini.
Temanya mungkin tipikal – cinta selepas kahwin – namun cerita ini mengadun sama kisah keluarga; Sudin dan ibunya Mak Som (Ruminah Sidek), Dahlia dan hidup ibu bapanya Pak Mail (Omar Abdullah) dan Mak Jah (Mak Wan). Sudah tentu, ada lelaki muda yang sukakan Dahlia iaitu Megat (Shukri Yahya), serta teman-teman Sudin ke laut, Jali (Yus Waisar) dan Meor (Jay Iswazir).
Latar tempat kampung nelayan tepi laut menambah lagi keindahan suasana. Mungkin juga sebab saya rindukan rumah Malaysia di tepi laut. Sudah 2 tahun, masih sama atau sudah banyak berubah? Petang-petang memang biasa melayan angin masin, lambaian pohon kelapa dan deruan ombak – pemandangan yang sama seperti dalam cerita ini. Kalau ada orang kata cerita Melayu semuanya kaya-raya, sila bagi kaki kepada mereka. Nampak sangat tak tengok semua cerita Melayu. Itu cuma benar untuk drama adaptasi novel, khayalan penulis yang kaki drama Korea.
Mawar Putih Tanda Perpisahan dicalonkan dalam 8 kategori; Drama Terbaik, Skrip Terbaik (Mazlan Manan), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Pelakon Harapan Terbaik (Yus Waisar), Pelakon Wanita Terbaik (Nad Zainal), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ruminah Sidek), Pengarah Terbaik (Bade Hj Azmi), dan Videografi Terbaik (Faizal Ali). Selepas menonton, tidak dinafikan memang layak tercalon dalam kategori-kategori tersebut.
Veteran-veteran seperti Rosyam Nor dan Ruminah Sidek tidak mengecewakan. Rosyam Nor dah tua-tua pun masih laku nampaknya. Ruminah Sidek walaupun tersenyum dalam lakonannya, menjadi. Kalau orang lain mungkin pengarah sudah cut awal-awal. Nad Zainal pula sangat cemerlang. Bookmarked cerita beliau yang lain. Cerita ini banyak bermain emosi melalui visual, maka mimik muka dan gerak tubuh sangat penting dalam menyampaikan perasaan. Yang tidak tercalon pun sama hebat – anda tidak akan kata mereka “kaku kayu tak pandai berlakon”.
Jalan ceritanya pula tidak exaggerated. Watak Yus Waisar dan Shukri Yahya tidak jahat melampau seperti yang selalu ada dalam filem lain. Sejahat-jahat Jali, hanya mulut yang jahat. Segila-gila Megat, tidak sampai nak rogol isteri orang ataupun psiko bunuh-membunuh. Skripnya banyak metafora, videografi dan muzik melengkapkan simbolik yang dibuat. Memang cantik.
Saya ingin sekali mohon tunjuk ajar bagaimana untuk shoot video pemandangan seperti ini:
Paling penting tiada adegan seks atas katil dalam filem ini. Selepas ini kalau ada pengarah yang kata adegan seks penting untuk jalan cerita, mohon beramai-ramai bagi kaki. Babak ranjangnya cuma Sudin dan Dahlia berpegang tangan, dan dialognya sangat berkias.
Melalui cerita ini juga ada beberapa soalan yang saya terasa, antaranya omelan Pak Mail dan Mak Jah terhadap kakak Dahlia yang menghilang selepas ke Kuala Lumpur. Usahkan menjenguk, bertanya khabar pun tidak. Memang terasa sebab saya cuma telefon rumah setahun sekali, balik Malaysia dua tiga tahun sekali. Juga bagaimana Sudin memekakkan telinga dengan mulut jahat Jali – ada cerita yang kita perlu terima dengan tenang dan siasat dulu sebelum bertindak. Sudin pula bila bertanya isterinya, dijawab dengan jujur oleh isterinya. Trust, kepercayaan. Memang Sudin terasa bila Dahlia tak jawab samada dia suka Megat atau tidak, tapi tidak pula beliau pukul isterinya atau bertikam lidah gaduh-bergaduh. Cukup dengan senyap dan tidur asing atas lantai.
Paling membuatkan saya terasa, peminangan Pak Mail kepada Sudin, “Aku tanya kamu nak ke tidak, aku tak tanya pasal layak ke tak layak.” Sudahnya, Sudin cuma memberi isterinya makan nasi goreng dengan telur. (Tak tipu, memang terliur waktu Sudin makan nasi putih cuma dengan kicap. Sedap gila!) Rupanya miskin atau kaya bukan persoalan, tapi sanggupkah kita buat yang terbaik untuk isteri kita? Masak, basuh baju, semuanya suami yang lakukan.
Ada penonton kata endingnya tergantung. Tapi bagi saya endingnya perfect. Tak macam tipikal cerita Melayu, hero mati pastu terus TAMMAT dan kredit. Tapi kesudahan MPTP – Dahlia sudah pandai membaca jawi, dapat menghabiskan diari suaminya, lantas scene akhir di tepi pantai secara simboliknya menerima pemergian beliau dengan tenang. Akan kahwin dengan Megatkah? Soalan itu biarlah tergantung.
Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan telefilem ini. Selalunya yang tidak terbit di pawagam lebih berkualiti daripada filem-filem pawagam yang gempak promosinya. Berjaya mengalirkan air mata.
(Versi 2 oleh Baby Shima)
Pencalonan lain ada yang belum tonton, maka target seterusnya adalah drama Dalam Setiap Sujud (Azlee Khairi, Nur Fathia, Elfaeza Ul Haq, Keith Foo) serta beberapa telefilem yang mungkin sempat ditonton minggu ini. Kalau berbaloi dipromosikan, boleh tulis lagi.
Tak dilupakan, Drama Komedi Terbaik – Keluarga Iskandar. Wajib tonton. Kalau belum tonton nanti Mak Jah merajuk, matilah kalau nak pujuk.
IKLAN!
Pejam celik 2013 dah nak habis. Apa yang kita dah buat setahun ini?
Terima kasih kerana dapat membaca apa yang cuba disampaikan.
harap-harap apa yang cuba disampaikan tidak disalah tafsirkan.
saya suka sgt filem ni mptp…walaupon saya agak brutal..tp dgn filem ni trjatuh kebrutalan saya…thanks..
4kali air mata mengalir laju…..adusssss