Pagi tadi terbaca berita ini: Dikatakan mirip lambang Israel (Sinar Harian, 1 Oktober 2014)
sinar-harian-20141001
Pertama sekali, simbol lapan bucu tersebut ialah corak yang selalu digunakan untuk binaan Islam. Boleh baca tentang rub3 el-hizb dalam wiki. Sepatutnya tidak keliru dengan corak enam bucu Star of David yang biasanya dikaitkan dengan Israel.

Kedua, tahukah anda Star of David bukan simbol Israel sahaja?


1. Bendera Khairuddin Barbarossa, laksamana pada zaman Empayar Turki Utmaniyyah mempunyai simbol Star of David.
barbarossa-flag


2. Matawang Morocco, falus yang digunakan antara tahun 1672 hingga 1901 turut mempunyai simbol heksagram enam bucu. Berikut contoh syiling pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad ibn Abd al-Rahman (memerintah tahun 1859 hingga 1873)
Moroccan_4_Falus_Coin_(AH_1290)


3. Masjid Arasta di Prizren, Kosovo musnah pada tahun 1963, meninggalkan hanya menara. Ada simbol Star of David pada menara tersebut.
minaret-of-arasta-mosque


4. Kembali ke India, makam Maharaja Nasiruddin Muhammad Humayun turut mempunyai simbol Star of David. Menggunakan rekabentuk arkitek dari Persia, ia merupakan penghormatan terakhir daripada isteri pertama baginda, Maharani Bega Begum.
kubah-humayun-tomb


5. Paling menarik sudah tentu Kompleks Qutb di Delhi, India. Kompleks ini merupakan koleksi binaan yang ditambah secara berperingkat oleh sultan empayar dinasti Mamluk. Salah satunya ialah Masjid Quwwatul Islam yang dibina menggunakan runtuhan kuil menyebabkan senibinanya banyak dipengaruhi binaan Hindu. Tambah Qutb Minar yang mempunyai ukiran Star of David, menyebabkan anda tertanya-tanya kaitan Hindu dan Yahudi.
qutb-minar-star


Fakta sejarah di atas menyebabkan timbul persoalan terhebat, adakah pengaruh illuminati freemason Yahudi sudah meresap sejak zaman berzaman? (Haha)

Kesimpulannya, senibina merupakan sesuatu yang subjektif. Ciri yang menentukan bangunan ini milik Islam atau Hindu atau Kristian bukan ukiran tapi tujuan tempat tersebut dibina. Rumah pelacuran adalah haram dibina walaupun menggunakan rekabentuk masjid lengkap dengan kubah dan menara sekalipun, tapi sebuah bilik boleh jadi surau walaupun kosong tiada hiasan.

PROMOSI BUKU
Belajar bagaimana menulis seperti Tun Dr Mahathir Mohamad