lukisan-takdir_snapshot_00.02.12
Dulu pernah baca, isteri berkerjaya punca keruntuhan rumah tangga umat Islam. Ini disebabkan perempuan apabila pergi ke tempat kerja, berhias berlebih-lebihan dan gagal menjaga batas pergaulan di pejabat. Masalah rumah tangga pula dibawa ke pejabat dan dikongsi bersama rakan sekerja lain yang biasanya tidak memberi penyelesaian masalah.

Mungkin ada logiknya.


Cereka Ahad semalam bertajuk Lukisan Takdir, mengisahkan Rita – seorang isteri berkerjaya – yang dilanda masalah rumah tangga dan cuba untuk kekal setia, namun mula berubah setelah bertemu bosnya, Razif yang mempunyai minat yang sama. Saat lamaran daripada Hayani untuk Razif tiba, suaminya Azlan kembali mengakui kesilapannya.
lukisan-takdir_snapshot_00.10.42
Barisan pelakon telefilem ini memang hebat; Neelofa, Aiman Hakim Ridza, Qi Razali, Nadia Aqilah, Nonny Nadirah, dan pengarahnya sendiri Azma Aizal Yusoof. Baru-baru ini baru sahaja menonton Pilot Cafe, maka satu kejutan budaya apabila melihat Neelofa sebelum hijrah dan selepas beliau berhijab dalam dalam satu tempoh masa yang dekat. Mungkin terlebih excited kerana Neelofa mengakui beliau lebih suka mengacara berbanding lakonan. Sesekali melihat beliau dalam drama apa salahnya kan? Lagipun performance Neelofa dalam Lukisan Takdir banyak improvement berbanding drama-drama lain yang pernah beliau lakonkan.
lukisan-takdir_snapshot_00.13.21
Bagi saya ada dua persoalan penting yang cuba diketengahkan Lukisan Takdir;

Pertama, bagaimana dua manusia berbeza boleh hidup bersama dan mengelakkan konflik dalam rumah tangga mereka?

Razif dan Hayani bukan pasangan yang satu kepala. Seorang introvert suka menyendiri di rumah bersama lukisan manakala seorang lagi extrovert gemar bersosial melancong membeli belah di sana sini. Razif cuba memberi jawapan – masing-masing buat hal sendiri untuk mengelak pertembungan – sekaligus mengajak penonton berfikir adakah ini langkah yang tepat? Adakah ini penyelesaian terhadap konflik dan kunci ke arah rumah tangga bahagia? Ataupun sebenarnya ia cuma alasan untuk melarikan diri daripada menghadapi konfrontasi tersebut. Dialog mereka di penghujung cerita mungkin peleraian – mereka sebenarnya jarang berkomunikasi dan gagal untuk memahami dunia masing-masing.
lukisan-takdir_snapshot_01.01.40
Kedua, punca sebenar keretakan rumah tangga di luar rumah atau di dalam rumah?

Rumah tangga Rita dan Azlan memang bermasalah. Namun begitu Rita tetap setia dengan suaminya dan menurut segala permintaan Azlan. Bertemu dengan Razif merupakan satu kebahagiaan bagi Rita kerana masing-masing mempunyai minat yang sama serta sikap Razif yang berbeza berbanding Azlan. Dia cuba menafikan perkara tersebut dengan menyatakan bahawa hubungan mereka salah. Tapi perkara yang paling penting adalah Rita perlu mengakui adanya masalah dalam rumah tangga menyebabkan dia mencari ketenangan di luar. Memang diakui hubungan lelaki dan perempuan ada batas yang perlu dijaga tapi perkara utama adalah Rita perlu mendepani masalah rumah tangga beliau dari dalam, bukan menyalahkan orang lain.
lukisan-takdir_snapshot_00.35.42
Lukisan Takdir merupakan satu tontonan yang baik untuk seisi keluarga. Ceritanya ringkas tapi ada mesej yang ingin disampaikan. Mungkin memberi sudut pandang berlainan dalam hubungan suami isteri. Ya, kita tidak mahu perpisahan terjadi namun kadang-kadang berpisah mungkin lebih baik. Ya, kita mahu diberi peluang kedua namun kadang-kadang tiada peluang mungkin lebih baik. Ya, kita tidak mahu ada orang ketiga namun kadang-kadang ada orang ketiga mungkin lebih baik.

Drama Melayu perlu lebih banyak cerita seperti ini.
lukisan-takdir_snapshot_01.03.43

DOWNLOAD LUKISAN TAKDIR
Tonton.Com.My
LinkToTheInternet – Best Malaysian Torrent Site
Kepala Bergetar