Dari Universiti ke Hospital

Panduan perjalanan ini saya tulis untuk rakan PENGULANG, rasa membazir terperap dalam Whatsapp. Panduan ini juga tidak akan memperincikan dokumen apa perlu dilampirkan kerana segalanya telah disediakan di laman web yang berkenaan dan mungkin berubah seiring masa.


1. Daftar MMC.

Muat turun borang, isi dan hantar secara serahan tangan. Anda akan memperoleh Surat Layak Didaftar. Surat ini perlu untuk urusan SPA nanti.

Klik: Guideline & Application Form for Provisional Registration

Semua dokumen yang dilampirkan kepada MMC wajib disahkan.

Graduan Mesir biasanya tidak mempunyai sijil ijazah yang asal maka Surat Dekan yang asal wajib dilampirkan. Fotostat surat tersebut sebagai simpanan supaya boleh digunakan dalam urusan seterusnya.
provisional registration flow chart


2. Isi borang SPA.

Klik: Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i). Baca panduan sebelum mengisi borang.

Pastikan anda cetak Slip Akuan Pendaftaran Permohonan Pekerjaan SPA setelah selesai mengisi borang. Sesetengah penaja mahu slip ini untuk urusan lapor diri.


3. Lapor diri penaja.

Lapor diri JPA memerlukan Slip Akuan Pendaftaran Permohonan Pekerjaan SPA. Penaja lain mungkin tidak perlu maka lapor diri boleh dilakukan lebih awal. Hubungi penaja masing-masing untuk prosedur terperinci.


4. Temuduga SPA.

Temuduga SPA akan dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan. Sila peka dengan pengumuman di laman web SPA. Calon akan dihubungi melalui SMS dan emel. Anda juga boleh menelefon SPA supaya memasukkan nama anda dalam temuduga paling awal (jika ada kekosongan).

Semua dokumen yang perlu dibawa akan dimaklumkan melalui emel.

Keputusan akan diumumkan selepas sebulan++ dan boleh disemak melalui laman web. Surat tawaran akan menyusul selepas itu dan dihantar melalui emel.

Surat Tawaran Pelantikan wajib untuk dua langkah seterusnya;
tawaran pelantikan


5. Sijil Pendaftaran Sementara MMC

Pergi semula ke MMC untuk mendapatkan Sijil Pendaftaran Sementara. Sijil ini penting untuk pendaftaran penempatan latihan dan cop rasmi sewaktu berkhidmat.

Bawa salinan Surat Tawaran Pelantikan tadi.


6. Daftar penempatan eHousemen

Isi borang Senarai Semak Permohonan Penempatan Pegawai Perubatan. Selepas borang ini diisi barulah boleh mendaftar di laman web e-Housemen pada tarikh yang ditetapkan. Seeloknya telefon/emel Bahagian Sumber Manusia untuk memastikan borang lengkap dan maklumat anda telah ada dalam simpanan KKM (03-8883 2735 / [email protected])

Tempoh mendaftar akan dibuka untuk calon yang menerima surat tawaran SPA pada tarikh tertentu, maka mesti peka tarikh surat tawaran tersebut. Kebiasaannya tempoh mendaftar akan dibuka setiap 2-3 bulan sekali. Semak laman web e-Housemen untuk pengumuman.

Walaupun tempoh permohonan selama seminggu, jangan bertangguh sekiranya anda mempunyai hospital pilihan. Terus isi sebaik sahaja dibuka dan jangan teragak-agak dalam membuat pilihan. Jika tidak kekosongan tempat tersebut mungkin diisi orang lain. Kebanyakan hospital Semenanjung sudah habis dalam masa sejam hingga dua jam dibuka.
tempoh ambilan


Nasihat umum

  • Jangan tunggu lama untuk memulakan langkah ini. Tingkap masa antara setiap proses lama dan memakan masa berbulan-bulan.
  • Maka Sila cari kerja sambilan (guru sementara, pemandu lori, jual tudung). Banyak benda kena beli. Sampai bila mahu menghabiskan duit mak bapak?
  • Telefon dan emel adalah penting. Sila guna sebaiknya. Hubungi pihak berkenaan untuk soalan (dan permintaan melajukan proses).
  • Laman web kerajaan adalah serabut dan sering bermasalah. Jangan luah makian di Facebook.
  • Join group yang berguna di Facebook. Contoh Excellent HO Nowadays, Dobbs

Disahkan benar setakat post ini ditulis. Jangan guna panduan ini selepas Jun 2016.
Akan dikemaskini jika rajin. Sebarkan sekiranya bermanfaat. Tambah jika tak lengkap. Maki kalau maklumat di atas sesat.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain