Cerpen: Tujuh Hari Mencintaiku – 1

Fatima merenung ke luar jendela. Air matanya tumpah lagi pagi ini. Cuba ditahan tapi tetap mengalir. Namun wajahnya tidak beriak, tak seperti setahun yang lalu. Teresak-esak hingga putus nafas, malah demam beberapa hari.

Semuanya gara-gara gambar bahagia Anwar dan isteri yang muncul di laman utama Facebook. Pernah juga dia bercadang untuk ‘Tidak Berkawan’ sahaja, tapi dia enggan mengaku kalah kepada Anwar. Lelaki itu yang meninggalkannya, kenapa mesti dia yang mula-mula klik ‘Tidak Berkawan’?

Pintu bilik dibuka dari luar. Fatima menoleh melihat manusia yang muncul di balik pintu. Air mata cepat-cepat diseka dengan hujung lengan baju.

“Ima, Kak Aisyah datang nak jumpa kau.”

Fatima cuma angguk. Kak Aisyah sudah memberitahu mahu datang ke rumah tengah hari tadi. Ada hal penting katanya. Tidak sempat pula bertanya lebih lanjut. Masing-masing sibuk dengan jadual sendiri. Berkejaran ke dewan kuliah.

Fatima cuba senyum di hadapan rakan serumahnya, menyembunyikan perasaan ketika ini. Berjaya atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Kak Aisyah muncul di muka pintu. Setelah meminta izin, dia duduk di birai katil. Atiqah sudah berlalu ke dapur.

“Kenapa mata sembap? Menangis lagi?” Kak Aisyah memulakan perbualan. Dia perasan Fatima nampak lain malam itu.

Setahun yang lalu, dia yang menjadi tempat Fatima mencurahkan segalanya. Itu pun setelah dipujuk berkali-kali. Kisah cinta bertahun-tahun Fatima, hingga kisah kecurangan Anwar, semuanya dia tahu.

Betapa terlukanya Fatima hingga setiap hari kemurungan. Gagal peperiksaan akhir tahun dan mengulang semua kertas. Setiap hari berkurung dalam bilik tenggelam dalam khayalan sendiri. Kalau tidak menangis, termenung di tepi tingkap tanpa bicara. Sangkanya Fatima sudah melepaskan kisah silam tapi malam ini gadis itu tewas lagi.

“Saya dah lupakan segalanya, kak. Cuma kadang-kadang pedih itu datang tanpa disedari. Saya tak menangis, air mata sahaja yang mengalir tadi.”

Fatima menoleh ke arah Kak Aisyah. Bibirnya senyum paksa.

“Tadi akak cakap ada hal penting mahu berbincang dengan saya.” Fatima mengingatkan kembali tujuan asal perempuan di sebelahnya datang bertandang ke rumah.

Kak Aisyah merangka ayat yang sesuai. Tidak tahu sama ada ini masa yang sesuai atau tidak. Kalau dia tahu situasi sekarang ini, mungkin dia tidak akan datang. Tapi amanah masih perlu ditunaikan. Fatima pula perlukan ‘sesuatu’ untuk melangkah ke hadapan.

“Akak mahu Ima isi kekosongan yang ditinggalkan Anwar. Agar tiada lagi ruang untuk kenangan lama datang mengusik.” Berhati-hati dia mengatur bicara.

“Maksud akak?” Fatima buat-buat tidak faham.

“Ada lelaki minta Abang Munawir carikan calon isteri-”

“Sekejap,” Fatima memotong bicara Kak Aisyah. Setahunya dia tak pernah mendaftar Bait Muslim. Tidak ada keperluan mencari jodoh melalui Bait Muslim kalau dirinya sudah ada calon suami pilihan sendiri – hinggalah setahun yang lalu.

“Akak tahu cadangan akak tiba-tiba. Ima mungkin tak bersedia. Tapi akak yakin dengan cadangan akak. Ima akan sukakan dia.”

“Tapi-” Fatima tahu Kak Aisyah takkan mencadang calon suami yang tidak baik. Tapi dia takut dikecewakan lagi. Masih terngiang-ngiang ayat Sheikh Rahim di telinganya.

“Perempuan memang tolol. Saat dikecewakan, lelaki semuanya dilabel penipu. Tapi akhirnya mereka tertipu sekali lagi dengan cinta lelaki.”

“-saya takut kak.” Dia sedar dia bukan perempuan yang baik. Lelaki yang menggunakan khidmat Bait Muslim sudah tentu kaki usrah. Malamnya tadarus satu juzuk sehari. Dahi hitam tanda sujud setiap malam bertahajud.

Fatima bukan begitu. Tudungnya singkat, kain pula lutcahaya. Setiap malam khatam drama Korea. Tak mungkin dia menaruh harapan sekali lagi. Sudah pasti akan dikecewakan.

“Apa yang Ima takutkan?”

“Saya takut dia tak boleh terima saya apabila dia tahu calon isterinya begini. Saya takut dikecewakan.”

“Kalau Ima letak harapan pada beliau untuk terima Ima, pasti selamanya Ima akan kecewa.”

Fatima merenung Kak Aisyah dalam-dalam. Mencari maksud di sebalik kata-kata beliau.

“Letak harapan pada Allah. Dia tahu yang terbaik untuk kita.”

Fatima melepaskan keluhan. Ayat terlalu klise! Mudah diucap tapi sukar diterima. Sukar juga untuk disanggah.

Melihat gadis di hadapannya masih ragu-ragu, Kak Aisyah melontarkan cadangan, “Kenal dahulu, boleh?”

Akhirnya Fatima mengalah. Tangan Kak Aisyah digenggam erat.

“Siapa?”

Bersambung…

Pernah tengok JAKSI the Movie? Ada beberapa rakan suruh buat video Bait Muslim dengan menjadikan sambungan kisah cinta Anwar-Azmi di awal video sebagai tema tapi tak kesampaian. Skripnya terperap dalam komputer dan minda selama bertahun-tahun. Mungkin sudah masanya untuk saya tulis kembali semua skrip yang pernah saya dan rakan-rakan rancang dahulu.
p/s: Ini bukan kisah cinta Anwar-Fatima di alam realiti. Kedua-duanya dah kahwin dan beranak pinak dengan calon pilihan masing-masing. Anggap sahaja nama samaran.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain