Cinta Jaja Untuk Burhanuddin

Burhanuddin al-Helmy.
Faiza.

Siapa tidak pernah dengar kedua nama di atas. Satunya adalah nama pejuang. Satu lagi sinonim dengan nama beras. Apabila keduanya bertemu, tentulah pejuang itu mengharapkan beras yang boleh digunakan demi perjuangannya.

Tapi ini bukan kisah pejuang. Bukan juga kisah beras. Ini kisah Jaja, yang mencari cintanya, Din.

Pertama kali saya membeli buku keluaran Jemari Seni. Juga pertama kali saya membeli buku secara online. Juga buku ini adalah yang pertama saya buka di Mesir. Lebih mengujakan lagi, inilah kali pertama saya bertemu gaya bahasa seperti novel ini. Lupakan kisah pembelian buku online, saya akan ceritakan lain kali.

Jaja & Din merupakan kisah seorang wanita yang jatuh cinta dengan seorang lelaki melalui sekeping gambar yang diambil secara tidak sengaja oleh teman sekerjanya. 2 tahun mencari lelaki itu, akhirnya mereka bersatu. Ditulis banyak dengan gaya bahasa monolog Jaja bercerita, novel ini mengungkap tema betapa cinta mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik.

Bagi mereka yang skeptikal dengan tajuknya yang agak ‘kekampungan’, saya bawakan 3 sebab anda mesti membaca novel ini. Sudah tentu, terdapat lebih daripada hanya 3 sebab ini untuk membaca Jaja & Din karya Noor Suraya. =)

1. Perigi mencari timba.

Ya, ini kisah Jaja yang melamar Din. Menebalkan muka meminta ibu bapa dan uncle-nya menilai Din seterusnya menjadi wakil Jaja meluahkan hasrat kepada lelaki itu. Segala perancangan disusun rapi. Meminta Din ke rumah atas alasan kerja, hinggalah aksi mencuit hati untuk memenangi hati ustaz lulusan Azhar itu; bagi saya babak ini sangat comel.

2. Lelaki baik untuk perempuan baik.

Frasa ini selalu digunakan untuk memilih jodoh. Malah, adakalanya ramai beranggapan perjuangan dakwah suami hanya akan difahami isteri yang telah berada di lapangan dakwah dan memahami tuntutan Islam. Tapi Jaja bukanlah seorang yang alim. Solat sering ditinggalkan. Tidak pula menutup aurat dengan sempurna. Layakkah beliau untuk Din yang bercita-cita ke Afghanistan?

Novel ini mengulas persoalan bahawa isteri itu boleh dibentuk. Malah kadang-kadang isteri yang ‘bodoh’ ilmu agama ini lebih mudah ‘diperbodohkan’ agar menjadi acuan yang dikehendaki. Kalau isteri ustazah, alamatnya berperang hujah dan dalil jawabnya! XD

3. Ikhlas, jihad, reda, taat, dan zuhud.

5 perkataan ini adalah apa yang Din harapkan difahami seorang isteri. Sejujurnya saya boleh simpulkan perkataan-perkataan inilah yang menjadi asas penceritaan kisah Jaja dan Din setelah berkahwin. Tidak mampu saya ceritakan bagaimana 5 perkataan ini sedaya upaya ditunaikan oleh Jaja. Dari kezuhudan tinggal di rumah kampung, hinggalah reda terhadap jihad suaminya.


Keseluruhannya novel ini sangat menarik. Tahniah kepada Noor Suraya. Gaya bahasanya santai, umpama penulisan blog. Menyebabkan saya sedikit merangkak-rangkak untuk memahami intonasi dan lenggok bahasa yang digunakan. Salah satu kelemahan walaupun gaya bahasa santai lebih terasa seolah-olah penceritaan direct daripada penulis.

Ataupun mungkin saya telah terbiasa dengan gaya bahasa formal dalam novel PTS dan Alaf 21, ini merupakan permulaan yang baik untuk melihat bagaimana teknik penceritaan yang berlainan.

Paling saya gemari adalah teknik penulis menimbulkan rasa ingin tahu pembaca dengan fast-forward sekejap, sebelum kembali meneruskan penceritaan. Seperti yang telah saya sebutkan di awal tadi, majoriti penceritaan menggunakan teknik monolog Jaja, iaitu Jaja yang bercerita. Maka kisah ini sebenarnya adalah flashback masa lalu yang diselang-seli dengan celoteh Jaja di masa sekarang.

Untuk memberi skor, saya bukanlah penulis review profesional tapi sekiranya anda bertanya perlu baca atau tidak, saya sangat menggalakkan anda membaca buku ini. Terutama kepada mereka yang merasakan diri mereka tidak layak memiliki lelaki yang baik.

Ah, kalau sudah cinta, segalanya mungkin! XD

p/s: membaca novel ini mengingatkan saya pada kak Krim. =P

Soalan bonus:

Sekiranya tiba-tiba anda bertemu dengan lelaki yang membuat jantung anda berlari setara dengan kelajuan jet Sukhoi buatan Rusia, dan mata anda pula tak bisa berpaling daripada dia biarpun sedetik, lalu apa tindakan anda?

=A= katakan: lupakan sahaja itu hanya logamaya
=B= rahsiakan perasaan anda dalam diari merah jambu
=C= kenal pasti siapa dia, dan suruh ayah ibu meminang dia
=D= segera periksa jantung, mata dan tekanan darah, ke doktor pakar

Jaja telah memilih =C=, anda pula bagaimana?

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

9 thoughts on “Cinta Jaja Untuk Burhanuddin

  1. denmak.suwitnyaaaaa
    my answer wud be E.

    yakni tepok2 muka berkali2 untuk sahkan yg tak bermimpi. lps tu bila dh tahu ianya realiti, buat bodoh dan balik smbil berangan2 dan hati kembang menguntum.

    pastuh kalau teringat doa la, kalau tak teringat anggap jek la tu hanya satu crush di tepi jalan. dan meneruskan kehidupan normal.

    Xd sengal tataw nk komeng apa

  2. buah tgn noor suraya yg inipun sgt byk mksud trsirat.. slps mbaca surat ungu utk nuha dan yg jauh di pulau, kisah jaja & din ini lebih santai tetapi sarat dgn ilmu dan nasihat.. ada teman yg sungguh2 mnyarankan baca nyanyian tanjung sepi oleh noor suraya, katanya novel terbaik yg pernah dia baca.. wow mcmna agaknya tu =)

  3. alhamdulillah dah baca novel ni..lepas baca review kamu, terus order online :)
    thanks ye sbb perkenalkan buku ni

  4. Salam Tuan Rumah,

    Terima kasih untuk catatkan rasa hati selepas membaca kisah kecil Jaja di sini. Aduhai, ada yang ‘terpengaruh’ dan membeli pula…

    – kaksu –

    1. Wslam kaksu,
      Ha kan, orang asyik terpengaruh apabila saya menulis tentang buku. Agaknya boleh minta royaltikupon diskaun tak?
      =)

  5. salam.

    saya kenal kamu dengan gaya penulisan kanak-kanak.

    tak lama kemudian, saya buka kembali, nampaknya banyak kemajuan baru, semoga terus maju.

    kata orang, bila dah boleh mengkritik penulisan orang, maknanya sudah boleh menulis buku.

    bila lagi mahu terbit buku?

    1. Err, rasanya sebelum kamu kenal penulisan kanak-kanak tu, saya dah tulis review pasal buku kot. Maka apa kaitannya dengan menulis buku? =)

      Ini bukan Review Profesional. Saya cuma menyampaikan apa yang saya rasa.

Komen di sini, bukan di tempat lain