Bukan saya yang ingin berpuasa di sini, tapi dipaksa untuk mendengar hingar bingar orang Arab yang mengunjungi Basyandi1 tiap kali sahur. Ya, saya dipaksa oleh Yang Maha Kuasa. Ada sesuatu pada Ramadan di Mesir yang mungkin Dia ingin saya cari. Walaupun hingga kini saya belum bertemu dengan ‘mutiara’ yang sebenar di sebalik debu Mesir yang muncul tika Ramadan.
Ada pengunjung meminta saya menulis sesuatu tentang Ramadan. Mungkin dia tersilap tempat. Ini bukan blog ceramah atau tazkirah. Ini blog hiburan. Ataupun dia inginkan sesuatu yang tidak berkait dengan tazkirah. Maka kali ini, saya akan sentuh semula tentang Maidah Rahman2 yang pernah saya tulis dahulu di blog lama.
Maidah Rahman yang saya selalu pergi di simpang empat berhadapan rumah saya kini sudah tiada lagi sejak tahun lalu. Saya tidak pasti kenapa. Ada orang membuat kesimpulan kerana wabak H1N1. Ada pula yang menjangkakan tiada penderma untuk mengadakan Maidah Rahman di situ. Apa pun, saya tidak berminat untuk ke tempat lain maka tahun ini samada masak sendiri, atau berkumpul beramai-ramai untuk berbuka.
Bagi saya, Maidah Rahman adalah tempat di mana kita boleh belajar banyak perkara:
1. Bersederhana sewaktu berbuka.
Post yang lalu saya bercerita tentang menu Maidah Rahman yang istimewa iaitu hati. Cuma hati, dengan nasi. Ditambah kurma dan air serta jeruk sayur. Selesai makan, saya pasti tiada yang pulang ke rumah untuk melantak nasi ayam dengan murtabak serta kuih donat, kemudian mengopak durian.
Jauh berbeza dengan menu di rumah yang mewah, kadang-kadang membazir. Air 1.5 liter dihabiskan terlebih dahulu sebelum makan. Kemudian lauk pauk yang ada dimakan sedikit sahaja, kononnya masih boleh disimpan untuk sahur. Akhirnya, ibadah malam ke mana, sahur pun tidak terjaga.
Semangkuk nasi dengan segelas air kosong, dan 3 biji kurma. Selesai makan, solat Maghrib terus sambung dengan bacaan Quran dan bersiap untuk Isyak. Kalau lapar semula selepas terawih, kedai makan masih ada untuk mengisi perut.
Bukankah itu lebih baik?
2. Menerima Qada’ dan Qadar Allah.
Bercerita tentang menu Maidah Rahman, dulu menunya cuma dua; hati dan daging. Bergilir-gilir setiap hari. Lain tempat mungkin lain menunya. Tapi saya cuma ingin menyebut bahawa kadang-kadang apa yang kita jangkakan itu tidak sama dengan apa yang berlaku.
Ada orang yang telah hafal jadual menu, “Ahah, hari ini daging. Tak perlu masak, kita layan Maidah Rahman di depan.” Setibanya di sana, rupanya lauk hati.
Sama juga dengan hidup. Kita semua ingin kehidupan yang selesa. Kalau kita buat begini, cemerlang. Buat begitu, terus out. Buat begini, kaya. Buat begitu, bankrap. Tapi tak semua yang kita buat “begini” itu diakhiri dengan baik. Maka, kita belajar menerima setelah berusaha.
Kalau tak pergi Maidah Rahman, bagaimana kita akan tahu menu hari itu daging atau hati? =)
Lain-lain pengajaran mungkin sudah biasa dengan majlis berbuka puasa masjid di Malaysia, ataupun yang kita sendiri adakan di rumah. Merapatkan ukhuwah, bertukar cerita, blablabla skema SPM.
Saya akan menghadapi peperiksaan minggu depan. Kalau tidak, pasti saya jamu anda semua dengan video-video menarik sepanjang pengembaraan saya di Malaysia. Oh, tentunya video Fitri yang ter-feeling ketika akad nikah bakal menarik perhatian anda semua. XD
Saya boleh sahaja upload bodoh, tapi itu bukan kepuasan bagi saya. Pastinya juga tidak menarik untuk anda tonton. Maka proses edit selama 12 jam perlu dilakukan terlebih dahulu. =)
Jumpa lagi dalam post berikutnya, salam Ramadan.
Ramadhan Kareem~
1 Basyandi: Nama kedai makan di bawah rumah saya.
2 Maidah Rahman: Tempat berbuka puasa percuma.