Latihan mengajar telah bermula sejak kecil lagi, seawal umur 11-12 tahun sudah mula mengenal apa itu proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Ini akibat menjadi anak Mak, sering mengekor di belakang beliau ke mana sahaja beliau pergi.
Masih ingat lagi pada umur 11 tahun menggunakan komputer yang dipasang Windows 3.1, belajar Power Point daripada sebuah buku kertas kerja kursus. Kulitnya tertulis slogan “Anjakan Paradigma Mencipta Zaman“. Susah-susah belajar kerana Mak suruh buat Presentation untuk mengajar. Maka seronoklah bermain Transition dan Effect pada waktu tersebut.
Kadang-kadang bila Mak menulis dalam buku P&P beliau, suka bertanya apa tujuan garis itu dan ini, apa maksud simbol ini, apa fungsi ruang itu dan ini. Sedikit sebanyak belajar tentang profesion perguruan pada waktu tersebut.
Mungkin pengalaman dilatih secara tidak langsung oleh seorang guru sekolah rendah (Darjah 1, 2, 3) membuatkan kita sering berfikir dari sudut kaca mata seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa, minta diajar suatu ilmu yang asing baginya. Perangai ini terikut-ikut hingga sekarang, membuatkan proses pengajaran yang mudah menjadi kompleks lantaran terlalu banyak perkara yang ingin disampaikan bermula dari asas.
Kebaikannya? Kita sering menggunakan analogi yang mudah difahami, sebagaimana satu kata-kata yang kita dapat dari mana entah, “Sila terangkan perkara tersebut seolah-olah saya seorang budak berumur 5 tahun.” JDrama Change mungkin?
Cuma kelemahan yang diperolehi hasil menetap di Terengganu sedikit sebanyak mempengaruhi proses Pengajaran dan Pembelajaran. Namanya “Kemahiran Mengutuk Melampaui Batas Kemanusiaan”. Kalau anda bertemu rakan-rakan sekolah menengah, nasihat mereka kalau ingin kita mengajar adalah, “Tahan telinga dulu kena maki habis-habisan baru boleh belajar daripada Hafiz Adam” (atau yang seumpamanya).
Anda bertuah kerana kita sudah lama meninggalkan perangai tersebut. Sekarang teknik mengajar sudah berlainan. Lebih suka memerhati dan menegur apa yang silap dan kurang. Ilmu boleh diperoleh daripada buku dan cikgu, tapi kemahiran hanya diperoleh melalui pengalaman.
Post ini tak berkaitan Hari Guru atau apa-apa yang seumpamanya, cuma ingin memberitahu sasaran peribadi untuk tahun ini adalah mengajar sebanyak-banyaknya. Masa sudah semakin suntuk. Entah esok entah lusa entah sekarang, akan pergi meninggalkan mereka di sisi.
Maka silalah bertanya sebanyak-banyaknya. Akan cuba dijawab apa yang mampu :D