Anjing Kan Comel?

Polemik anjing semakin menjadi-jadi setelah berita program “I Want to Touch a Dog” mendapat liputan hangat dalam portal-portal isu semasa. Tulisan ini sekadar nota untuk diri sendiri, bahawa saya pernah berfikiran begini.
iwanttotouchadog-poster

Amar Maaruf Nahi Mungkar

Prinsip pertama yang saya pegang sejak belajar Pendidikan Syariah Islamiah di sekolah menengah adalah – tidak boleh menghalang atau menegah orang lain dalam perkara khilaf. Menyentuh anjing adalah perkara khilaf kerana ada mazhab yang tidak menganggap anjing itu najis, malah suci. Dr Yusof al-Qardhawi juga berpandangan sedemikian dalam kitab Fiqh at-Taharah. Sengaja saya sebut nama beliau kerana umat Melayu Islam di bumi ALLAH ini taksub beliau dalam pandangan kontemporari dan haraki.

Berbeza jika program tersebut mengadakan aktiviti dijilat atau makan anjing, kerana dua perkara ini disepakati haram, maka wajib ditegah.

Sekalipun kita masih menggunakan pendapat mazhab Syafie, menyentuh anjing dalam program ini dianggap dibolehkan kerana dilakukan dalam program kesedaran awam, bukan suka-suka tanpa tujuan.

Bucailisme Anjing

Ada perbahasan menarik apabila bercakap mengenai dalil dalam isu anjing.

Pertama, hadis suruhan mencurah air dalam baldi yang dijilat anjing. Terdapat hadis lain yang menyuruh supaya anjing hitam dibunuh kerana mereka adalah syaitan. Secara logiknya, tidak boleh membunuh haiwan tanpa sebab, maka anjing hitam yang dimaksudkan adalah anjing gila yang garang. Saintifiknya kita boleh sebut mempunyai penyakit rabies.

Maka, hikmah mencurah air adalah untuk mengelakkan penyakit rabies yang berjangkit melalui air liur. Ini juga menjadi sebab kenapa kita dihalalkan memakan haiwan dari anjing memburu, kerana mereka sudah pasti tidak berpenyakit.

Kedua, hadis yang sama, suruhan membasuh dengan tanah dan air sebanyak tujuh basuhan. Ini bertepatan dengan amalan perubatan tradisional yang menggunakan tanah dan air sebanyak tujuh kali. Perbahasan ini menimbulkan persoalan samada isu anjing sebenarnya isu hukum atau cuma isu dunia? Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah berkata, urusan dunia biarlah diserahkan kepada ahlinya.

Persoalan-persoalan ini biarlah diabaikan dan anggaplah isu anjing sebagai tanda ubudiyah kepada ALLAH dan taat kepada ulama’.
iwanttotouchadog-info

#IWantToTouchAPig #IWantToDrinkArak

“Selepas ini mungkin akan wujud program sentuh babi dan minum arak. Kemudian sentuh perempuan.”

Pertama sekali mesti faham kenapa penganjur mengadakan program ini dan diluluskan Majlis Agama Islam Selangor. Program ini bersifat kesedaran awam, untuk menghilangkan rasa takut atau gerun terhadap anjing. Golongan sasaran bukan Muslim tapi untuk semua bangsa dan agama. Anjing yang dimaksudkan bukan anjing liar berpenyakit rabies tapi anjing peliharaan serta anjing jinak yang tidak ganas.

Isu ini timbul kerana anjing sering dijadikan mangsa pembulian tanpa sebab. Malah ada teksi Muslim yang tidak mahu mengambil penumpang buta yang menggunakan guide dog. Fobia anjing dalam kalangan masyarakat lebih daripada sekadar jijik atau takut. Pernah satu ketika saya membawa perempuan berjalan pulang ke rumah mereka, jalan dekat ada anjing tidur. Mereka sanggup mengambil jalan jauh padahal saya sudah bereksperimen di depan mata mereka, anjing tersebut tidak mengganggu langsung.

Berdasarkan objektif tersebut, kita sendiri tahu beza; babi tidak dibawa berjalan-jalan seperti anjing. Orang buta tidak menggunakan babi sebagai guide. Apatah lagi sebagai guard. Arak pula jelas haram diminum. Perempuan pula sudah biasa disentuh secara bebas di khalayak. Maka saya tertanya-tanya bagaimana anda boleh buat kertas kerja untuk mendapatkan kebenaran mengadakan program sedemikian kerana terang-terang menghina Islam.

Jauhi Perempuan Jauhi Rokok

“Lebih baik buat kempen Jauhi Zina atau Anti-Rokok.”

Pernyataan ini perlu dipulangkan kembali kepada mereka yang menuturkannya. Penganjur mempunyai kesedaran, kemahuan dan kemampuan dalam isu anjing maka mereka telah bertindak mengadakan program sedemikian. Anda yang mempunyai kesedaran dan kemahuan tentang pentingnya kempen menjauhi perbuatan zina dan rokok, maka kenapa tidak mengorak langkah bertindak?

Adakah masih ralit dan bermalas-malasan?

Hujah “Kenapa tidak buat program [isi nama program di sini]” adalah pincang kerana sampai esok pun tidak akan habis. Malah bukan hujah kukuh untuk menolak program yang sedang diadakan. JAKIM akan menyiasat program sentuh anjing, kenapa tidak siasat Akademi Fantasia? Kenapa tidak siasat adegan seks filem Melayu? Kenapa tidak siasat itu dan ini? Tidak akan habis soalan tersebut.
B0Yg7u3CcAEbkVq

Permainan DAP

Sebelum program ini dijalankan, langsung tidak kelihatan bunyi bantahan di laman sosial. Ini menandakan bahawa program ini dijalankan dalam skala yang kecil dan tidak ditujukan kepada umat Islam secara khusus. Malah menurut temuramah penganjur, Syed Azmi Alhabshi, beliau sendiri mensasarkan tidak sampai 100 orang menghadiri program tersebut kerana faham sensitiviti umat Islam terhadap anjing.

Namun begitu, setelah kejayaan program tersebut, portal berita pembangkang dan anti-kerajaan mula membesarkan isu ini, dipercayai untuk menutup skandal seks Dyana-Zairil. Umumnya diketahui umat Islam lebih sensitif dengan menyentuh anjing berbanding menyentuh perempuan.

Nampak tak permainan DAP di situ?

Teringin mahu bela Siberian Husky. Serius macho!
Teringin mahu bela Siberian Husky. Serius macho!

#IWantToTouchADog

Secara umumnya program ini sangat bermanfaat untuk diadakan. Selain mendapat pengalaman baru, peserta Muslim juga berpeluang mendapat pencerahan daripada ustaz dan belajar cara sertu dengan betul. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak tahu bahawa kini terdapat sabun taharah yang diperbuat daripada tanah liat. Sedangkan istilah sertu dan samak pun masih keliru.

Namun begitu, nama “I Want To Touch A Dog” menimbulkan keresahan kerana seolah berkempen supaya umat Islam menyentuh anjing secara berleluasa tanpa garis panduan Islam. Saya percaya nama ini diilhamkan daripada rasa ingin tahu penganjur dan sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan. Mungkin pada masa hadapan nama yang lebih sesuai digunakan. Begitu juga dengan perbuatan muat naik gambar yang menunjukkan keceriaan menyentuh anjing seolah ia dilakukan untuk suka-suka, menghapuskan matlamat asal program tersebut diadakan.

Respon terhadap isu ini juga seharusnya lebih lembut dan menyeluruh. Tidak sedikit komen biadap yang tidak menampakkan tarbiah ikhwan muslimin, malah ada yang komen sekadar membaca dari tajuk berita sahaja.

Lagipun, anjing sebenarnya lebih bagus daripada kucing. Kucing memperlakukan tuannya seperti hamba, namun anjing adalah hamba kepada tuannya.

“Pluralisme tunjang perpaduan, Liberalisme pemangkin kemajuan.”

READ ALSO:
The Amazing Lengths Parents Go Through For Their Children

  1. Abdullah, Hafiz Firdaus. “Hukum Kenajisan Anjing: Satu Penilaian Semula.” Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3). Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2005. Ebook.
  2. Firdaws, Nawar. “‘I received hate messages’ says dog event organiser.” The Rakyat Post. 19 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  3. Mustafa, Muzliza. “‘I Want to Touch a Dog’ dapat sambutan besar di kalangan umat Islam.” The Malaysian Insider. 19 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  4. Looi, Sue Chern. “Pengasas Muslim ‘I Want to Touch a Dog’ atasi prejudis bagi rapatkan jurang.” The Malaysian Insider. 18 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  5. Acara sentuh anjing: JAKIM siasat penganjuran.” Sinar Harian. 20 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  6. Gambar Skandal Dyana Bersama Zairil Kecoh Di Media Sosial.” Ameno World. 19 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  7. Ederer, John (Yahya). “Man’s Best Friend? The Islamic View on Dogs.” SuhaibWebb.com. 8 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  8. A reconciliation with man’s best friend.” YouTube. KiniTV, 19 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  9. Zainul Abidin, Mohd Asri. “Anjing Dan Isu Masyarakat Malaysia.” Minda Tajdid. 22 Aug 2013. Web. 20 Oct 2014.
  10. Asyraf, Hilal. “Sentuh Anjing Haram?” Facebook. 19 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.
  11. Meor Omar, Siti Sakinah. “‘I Want to Touch a Dog’ Programme and Me.” Facebook. 19 Oct 2014. Web. 20 Oct 2014.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain